Wanita Islam lebih mudah menuntut harta sepencarian apabila berlaku perceraian. Malangnya masih ramai tidak membuat tuntutan kerana gagal mengenal pasti hak mereka mengikut syarak dan perundangan Islam.
Ini kerana wanita sama ada yang bekerja atau tidak selagi menjalankan tanggungjawab dengan baik termasuk menjaga anak dan rumah tangga sepanjang perkahwinan, mereka sebenarnya ada hak ke atas harta bersama.
Bagaimanapun, tidak ramai pasangan suami isteri mengambil tahu atau faham konsep harta sepencarian yang diiktiraf di bawah Undang-Undang Keluarga Islam ini.
Ia tertermasuklah mengenai sejauh mana hak masing-masing wujud dan boleh dituntut di mahkamah.
Menurut Hakim Utama Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Mohammad Taifor Ahmad Rusdi, terdapat perbezaan antara harta dan bukan harta sepencarian.
Katanya, harta sepencarian ialah pendapatan yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan.
Ini bermakna harta diperoleh oleh suami dalam tempoh perkahwinan walaupun pemerolehan itu menggunakan wangnya sendiri atau hasil titik peluhnya tanpa sebarang sumbangan secara langsung daripada pihak isteri (sebagai isteri dikira sumbangan tak langsung).
“Sama ada harta isteri atau harta suami yang dibawa sebelum berkahwin kemudian dimajukan secara bersama dalam masa perkahwinan, maka harta tersebut juga termasuk dalam harta sepencarian.
“Ini termasuk hasil dan nilai tambahan daripada perkembangan dan pemajuan melalui usaha sendiri pihak yang satu lagi kepada perkahwinan itu atau usaha bersama pihak-pihak kepada perkahwinan itu semasa perkahwinan berkenaan dengan harta-harta itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Kursus Lanjutan Pengurusan Harta Keluarga Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), baru-baru ini.
Tambah Mohammad Taifor, harta sepencarian juga bermaksud apa-apa sumbangan oleh isteri dalam menjaga keluarga dan rumah tangga atau apa-apa urusan lain yang perhubungan dengan pemerolehan harta hendaklah dikira sebagai usaha bersama dalam menafsirkan takrif ‘ harta sepencarian’.
Selain itu, sumbangan oleh suami (selain sumbangan dalam menunaikan kewajipannya menjaga keluarga dan rumah tangga sebagaimana yang ditetapkan oleh hukum syarak) yang membawa kepada pemerolehan harta hendaklah dikira sebagai usaha bersama bagi maksud mentafsirkan takrif ‘harta sepencarian’.
BUKAN HARTA SEPENCARIAN
Beliau turut menjelaskan mengenai bukan harta sepencarian iaitu harta bawaan, pusaka, hadiah atau hibah diperoleh oleh suami atau isteri.
“Harta isteri atau suami yang diperoleh sebelum berkahwin dengan wangnya sendiri, hasil titik peluhnya, hadiah, hibah atau pusaka tanpa ada penambahan atau pemajuan terhadap harta itu selepas berkahwin oleh mana-mana pihak.
“Harta yang diperoleh isteri semasa perkahwinan melalui usahanya sendiri tanpa ada sedikit pun sumbangan langsung daripada suami maka ia bukanlah harta sepencarian.
“Perkahwinan semata-mata tidak melayakkan suami menuntut harta itu sebagai harta sepencarian. Sebaliknya bagi harta suami, perkahwinan memberi hak kepada isteri untuk mendapat harta sepencarian.
“Selain itu, apa-apa sumbangan oleh suami dalam menunaikan kewajipannya untuk menjaga keluarga dan rumah tangga sebagaimana yang ditetapkan oleh hukum syarak, tidaklah dikira sebagai usaha bersama bagi maksud mentafsirkan takrif harta sepencarian,” katanya.
Beliau turut menjelaskan penentuan hak milik dilihat kepada kaedah proses itu diperoleh sama ada secara sendirian, berasingan atau bersama.
Kata Mohammad Taifor, penentuan bahagian harta sepencarian dilihat kepada empat kaedah:
1) Usaha bersama suami isteri.
2) Sumbangan-sumbangan yang diberikan secara langsung dan tak langsung.
3) Kewujudan anak-anak di bawah umur.
4) Keperluan dan segala hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka.
Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang laki-laki ada bahagian dari pada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian daripada kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (al-Nisa’: 32)
PERINTAH MAHKAMAH
Mohammad Taifor berkata, dari segi undang-undang kuasa mahkamah memerintah pembahagian harta sepencarian dikaitkan dengan Seksyen 122.
Katanya, mahkamah hendaklah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian.
“Ini untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.
“Dalam pada itu, mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang takat sumbangan yang telah dibuat oleh setiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset-aset itu.
“Selain itu, hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka dan keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada dan tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu. Oleh itu, mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak,” jelasnya.

KETAHUI HAK
Ketidakfahaman terhadap undang-undang keluarga Islam menyebabkan ramai wanita berasa diri teraniaya.
Kata Mohammad Taifor, banyak salah faham berlaku terhadap undang-undang keluarga Islam, sedangkan isteri berhak mendapat tuntutan harta sepencarian jika berlaku perceraian atau suami meninggal dunia.
“Jika dokumen tuntutan lengkap, saya percaya setiap kes boleh diselesaikan dengan cepat sebelum daripada perbicaraan,” katanya.
Sehubungan itu, Mohammad Taifor berkata, seseorang isteri itu perlu tahu hak mereka, sama ada jika diceraikan atau berlaku kematian suami.
“Hak isteri selepas diceraikan cukup banyak untuk dituntut apatah lagi jika diceraikan tanpa sebab. Wanita perlu tahu haknya terutama dalam kes harta sepencarian sama ada sumbangan secara langsung atau tidak langsung kepada harta tersebut.
“Ini menunjukkan bahawa hak mereka sebagai isteri itu ada walaupun takat sumbangan secara tidak langsung. Ambil maklum dan cakna apa hak-hak anda sebagai seorang isteri atau balu,” katanya.
Nasihat beliau, wanita yang mempunyai masalah berkaitan tuntutan hak di mahkamah syariah terutama hak harta sepencarian boleh berjumpa dengan mana-mana peguam syarie bertauliah bagi membantu dari segi khidmat nasihat dan bantuan menuntut hak di dalam mahkamah.
“Isteri juga boleh berjumpa dengan Jabatan Bantuan Guaman bagi yang tidak mampu membayar khidmat guaman swasta akan tetapi masih dikenakan bayaran mahupun bantuan guaman kerajaan.
“Mereka boleh terus menghubungi atau berjumpa peguam syarie yang bertauliah di mana-mana saluran mahupun di pejabat peguam tersebut,” katanya.










