SUDAH lebih dua dekad penyanyi tersohor R&B, Aaliyah pergi meninggalkan kita semua. Aaliyah Dana Haughton atau lebih popular dikenali sebagai Aaliyah meninggal dunia akibat nahas pesawat kecil di Bahamas pada tahun 2001.
Mendiang bersama lapan individu lain terkorban dalam nahas itu selepas penggambaran video muzik single Rock the Boat.
Walaupun Aaliyah hanya berusia 22 tahun ketika meninggal dunia, penyanyi lagu Are You That Somebody ini dikatakan berjaya meraih pencapaian luar biasa dalam dunia hiburan berbanding kebanyakan selebriti lain sejak tempoh seabad.
Dilahirkan pada 16 Januari 1979 di Brooklyn, New York, Aaliyah merupakan anak bongsu kepada pasangan Diane dan Michael “Miguel” Haughton.
Sejak kecil lagi, Aaliyah sudah pun berkecimpung dalam bidang nyanyian.
Ketika berumur 10 tahun, Aaliyah muncul dalam rancangan televisyen, Star Search dan pernah mengadakan persembahan bersama Gladys Knight dalam satu konsert.
Pada usia 12 tahun pula, beliau menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman, Jive Records dan Blackground Records milik bapa saudaranya, Barry Hankerson.
Aaliyah dikenali ramai berikutan pengaruh dan sumbangan besarnya dalam perjalanan muzik R&B, pop dan hip hop sehingga diberikan julukan Princess of R&B dan Queen of Urban Pop.
Artis serba boleh itu memiliki kualiti nyanyian yang amat bagus sehingga tiga album dihasilkannya berjaya dijual lebih 32 juta salinan di seluruh dunia.
Wanita berbakat besar itu dikatakan dalam transisi kerjaya daripada penyanyi pop menjadi bintang filem sewaktu kematiannya.
Sebelum meninggal dunia, Aaliyah sempat berlakon dalam dua filem layar perak yang berjaya. Pada 2000, Aaliyah membintangi filem pertamanya, Romeo Must Die bersama pelakon Jet Li.
Selepas kejayaan filem itu, Aaliyah dilaporkan memainkan peranan Ratu Akasha dalam filem Queen of the Damned.
Ketika namanya berada pada kemuncak populariti, nahas pesawat yang tidak diduga meragut nyawanya.
Pemergian mengejut figura artis wanita ini sudah pastinya dikenang sampai bila-bila masa.
Berikut beberapa fakta mengenai mendiang Aaliyah seperti dilaporkan di portal Biography:
Kahwin rahsia dengan R. Kelly
Kelly menerbitkan album pertama Aaliyah berjudul Age Ain’t Nothing But A Number pada tahun 1994 ketika penyanyi itu baharu berusia 14 tahun.
Terdapat khabar angin bahawa kedua-dua artis itu sudah pun berkahwin. Bagaimanapun, pasangan itu menafikan dakwaan itu, sebaliknya menyifatkan ia sebagai sekadar kawan.
Pada Januari 1995, majalah Vibe menyiarkan salinan sijil perkahwinan yang mendakwa kedua-dua individu itu sudah berkahwin.
Aaliyah yang hanya berusia 15 tahun ketika perkahwinan itu, mendakwa berumur 18 tahun dalam dokumen tersebut.
Kelly pula menyenaraikan umur sebenarnya iaitu 25 tahun.
Perkahwinan itu dikatakan tidak sah dan terbatal kerana usia Aaliyah terlalu muda untuk berkahwin tanpa kebenaran ibu bapa.
Aaliyah tidak pernah bercakap secara terbuka mengenai hal peribadinya khususnya melibatkan isu perkahwinannya.
Namun, selepas berita itu tersebar, beliau memutuskan semua hubungan peribadi dan profesional dengan Kelly.
Latar belakang keluarga artis
Keluarga Aaliyah memainkan peranan utama dalam perjalanan kerjayanya.
Aaliyah menjadi penyanyi yang berjaya pada usia begitu muda sebahagian besarnya disebabkan hubungan keluarganya dengan industri muzik.
Bapa saudara Aaliyah iaitu Barry Hankerson merupakan pemilik syarikat rakaman Blackstreet Record dan suami kepada legenda muzik, Gladys Knight.
Ketika baharu berusia 11 tahun, Aaliyah pernah membuat persembahan bersama Knight selama seminggu di Kasino Ballys di Las Vegas.
Hankerson memperkenalkan Aaliyah kepada Kelly yang kemudian menjadi mentornya serta penulis lagu utama dan penerbit album sulungnya.
Sepanjang kerjaya Aaliyah, segala urusannya dikendalikan oleh ibunya, Diane Haughton.
Sepupu Aaliyah, Jomo Hankerson juga pernah menerbitkan album beliau.
Aaliyah didakwa memiliki mata palsu
Pada awal kerjayanya, Aaliyah sering memakai cermin mata hitam dalam semua gambar yang dirakam.
Peminat Aaliyah mula membuat spekulasi kononnya penyanyi itu sengaja menyembunyikan matanya kerana mempunyai mata palsu.
Apabila album kedua Aaliyah dikeluarkan pada tahun 1996, penyanyi itu tampil dengan penampilan baharu, dikhuatiri untuk menangkis khabar angin tersebut.
Beliau tidak mengenakan cermin mata hitam dan membiarkan rambutnya menutup mata kirinya.
Penampilan itu diilhamkan oleh bintang filem klasik Veronica Lake.
Dilaporkan, kedua-dua belah mata Aaliyah sihat dan tidak sepertimana didakwa.
Aaliyah bakal jadi bintang filem
Pada tahun 2000, Aaliyah membintangi filem pertamanya berjudul Romeo Must Die.
Beliau juga menyanyikan runut bunyi filem itu, Try Again yang juga menjadi antara lagu popularnya.
Lagu itu melayakkan Aaliyah dicalonkan untuk Anugerah Grammy bagi penyanyi wanita R&B terbaik.
Hollywood kagum dengan bakat lakonannya sehingga beliau mula mendapat pelbagai peranan.
Aaliyah melakonkan watak utama sebagai Ratu Akasha dalam filem Vampire Queen of the Damned yang ditayangkan selepas kematiannya.
Beliau meninggal dunia sewaktu sedang menjalani penggambaran filem aksi dan sains fiksyen, The Matrix: Reloaded.
Pelakon Nona Gaye kemudian mengambil alih watak Zee dalam filem itu yang tidak sempat dirakamkan mendiang.
Aaliyah juga dijadualkan memegang watak utama dalam filem Honey namun peranan itu kemudian diambil alih oleh pelakon Jessica Alba.
Beliau juga sepatutnya berlakon dalam filem Sparkle yang akhirnya ditayangkan pada tahun 2012.
Tiada kereta sendiri
Seorang peminat tegar Aaliyah menerima hadiah berupa sebuah kereta Cadillac Escalade dalam rancangan BET 106 & Park.
Ia merupakan penampilan terakhir Aaliyah dalam rancangan televisyen itu.
Dalam rancangan tersebut, Aaliyah mendedahkan tidak pernah mempunyai kereta sendiri.
“Sudah tentu saya mampu memandu apa sahaja kenderaan yang saya mahukan namun saya tidak pernah mempunyai kereta sendiri.
“Oleh kerana saya tinggal di New York City, jadi saya rasa tidak praktikal atau tiada keperluan untuk memilikinya,” katanya.
Bagaimanapun, Aaliyah mengakui beliau menyewa kereta dan pemandu secara tetap.
Rancang kahwin dengan Damon Dash
Selepas terpalit dengan kontroversi Kelly, mendiang sedaya upaya untuk tidak mendedahkan kehidupan peribadinya.
Walaupun laporan media mendakwa Aaliyah sedang berpacaran dengan Ginwine dan Jay-Z namun beliau sentiasa menafikan perkara itu.
Pada 2001, Aaliyah sekali lagi dikaitkan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Roc-A-Fella Records, Damon Dash. Laporan media mendakwa Aaliyah menganjurkan majlis hari jadi Dash malah pernah memakai rantai dengan loket logo Rock-A-Fella.
Namun, Aaliyah tetap menafikan bahawa beliau berpacaran dengan Dash.
“Saya dan Dash merupakan kawan baik dan saya lebih gemar kedudukan itu pada ketika ini,” katanya kepada majalah Vibe.
Selepas kematian Aaliyah, Dash mendakwa mereka merancang untuk berkahwin.
“Walaupun saya belum melamar Aaliyah secara rasmi, kami sudah pun bercadang untuk berkahwin,” kata Dash.










