Kerana hobi kumpul barang lama, Anuar pernah dianggap buat kerja sia-sia - Utusan Malaysia

Kerana hobi kumpul barang lama, Anuar pernah dianggap buat kerja sia-sia

Anuar Salleh memiliki ratusan barangan lama bernilai tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIAR pun orang ramai menganggap usahanya mengutip barangan lama sebagai kerja sia-sia, namun akhirnya objek lusuh itulah yang menjadi igauan dan rebutan peminat barangan karat di Kelantan.

Tukang rumah, Anuar Salleh, 43, bagaimanapun, tidak pernah ambil hati usikan kawan-kawan itu. Sebaliknya dia lebih suka memberikan kefahaman bahawa tindakannya itu sekadar hobi bagi memenuhi masa senggang, selain menghargai barang lama daripada dibuang begitu sahaja.

Katanya, apa sahaja barangan lusuh tetap dihargainya termasuk kitab lama, tin kosong berjenama dan dokumen bersejarah untuk dipulihara semula.

“Ratusan helaian surat khabar lama dari tahun 50an, akhbar lama Utusan Melayu, Utusan Malaysia, majalah Mastika dan sebagainya siap dibungkus dengan plastik lutsinar. Ia disusun mengikut katalog.

“Saya turut menyewa rumah khas bagi menyimpan khazanah ini.

“Ia bagaikan muzium mini dengan pelbagai bahan yang dipamerkan,” katanya kepada Utusan Malaysia, ketika ditemui di Pekan Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.

Usaha Anuar mengumpul barangan lama bermula sejak dia berusia 25 tahun lagi. Malah sebelum ini turut aktif menjalankan perniagaan di beberapa pasar karat Kelantan dan Terengganu.

Katanya dia tertarik dengan nilai barangan lama, sama ada dari aspek keunikan pembuatan, estestika seni yang terserlah dan sejarah pembuatannya.

Pelbagai kaedah digunakan untuk menyimpan koleksi itu.

“Bahan bacaan biasanya saya simpan dalam kotak. Ada juga yang saya gantung pada dinding,” katanya.

Malah kalau mendongak ke bumbung rumahpun akan turut kelihatan beberapa lampu minyak tanah termasuk yang tertua, berusia 156 tahun menghiasi latar langit rumah sewa berkenaan.

“Pelita minyak tanah yang dibuat pada 1864 ini digunakan kapal pengangkut British. Saya mengekalkannya sebagai koleksi bernilai dan tidak mahu menjualnya walau pun ramai yang ingin membelinya,” ujarnya.

Anuar turut memiliki basikal jenama Raleigh pasaran tahun 1955 di England yang masih lengkap dengan lampu karbid dan beg kulit yang digantung di pelana yang dibelinya pada 2006 menjadi koleksi kesayangan.

Dua buah basikal tua turut ditempatkan di tepi dinding dalam rumah namun beberapa barangan berat seperti batu kisaran, batu giling, tempayan besar dan pemerah kelapa pula, dipamerkan di luar rumah yang pintu pagarnya berkunci.

Ditanya mengenai kemungkinan koleksi itu dicuri pihak tidak bertanggugjawab, Anuar mengakui, dia kini berhati-hati kerana dalam kalangan pengunjung, kerana ada juga yang panjang tangan.

“Dulu rumah ini sering menggamit pengunjung termasuk pihak Muzium Negeri Kelantan. Namun ia dikunci rapat sejak Covid-19 melanda dulu,” katanya.

ALMARI USANG
Bagi koleksi bernilai tinggi seperti buku dan kitab lama pula diabadikan dalam beberapa buah almari lusuh.

Kitab lama yang ada, termasuklah bahan pengajian pondok peninggalan arwah Tok Guru Haji Abdul Kodir Gaal iaitu salah seorang tok alim yang juga murid yang paling disayangi oleh ulama Tok Selehor.

Katanya pondok pengajian Islam itu dibuka sekitar tahun 20-an, manakala Abdul Kodir meninggal dunia pada 1979.

Pondok yang terkubur sekitar awal 90-an itu turut meninggalkan kitab dan manuskrip Jawi bernilai tinggi.

Sementara itu, dalam banyak koleksi dimiliki, Anuar berkata, dokumen paling berharga ialah naskah khas bertajuk ‘Kemerdekaan Tanah Melayu’ yang diterbitkan pada hari kemerdekaan negara pada 1957.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN