KUALA LUMPUR: Mengecap nikmat bahagia sedekad melayari rumah tangga, pelakon Aeril Zafrel, 33, tidak menafikan banyak dugaan dilalui bersama Wawa Zainal.
Berkongsi status menerusi akaun Facebook, pelakon filem 7 Petala Cinta itu berkata, hidup hendaklah saling melengkapi antara satu sama lain berbanding hanya mencari kesempurnaan.
“Kami bukanlah pasangan yang sempurna, masih banyak yang kami harus pelajari walaupun sudah satu dekad sebantal bersama.
“Kerana saling melengkapi kekurangan masing-masing itu lebih baik daripada mencari kesempurnaan.
“Alhamdulillah tidak terkira banyaknya nikmat yang tuhan telah pinjamkan sepanjang kami bersama. Daripada empat orang anak hingalah kejayaan wawacosmetic pada hari ini,” luahnya.
Dalam masa sama, Aeril turut berkongsi tips kejayaan diamalkan sejak dahulu lagi.
“Saya biarkan Wawa uruskan semua duit perniagaan kami. Malah sampai ke hari ini saya masih tak tahu lagi nak pindahkan duit syarikat.
“Sebab saya percaya kalau wanita yang uruskan duit, Insya-Allah semuanya akan baik-baik saja,” ujarnya.
Sekadar informasi Wawa dan Aeril memiliki pelbagai jenama yang diusahakan bersama iaitu Wawa Cosmetics, Wawa Scarves, Wawa Dermaskin dan Soulmate. Pasangan merpati dua sejoli ini berkahwin pada 2013 dan dikurniakan empat orang cahaya mata.










