Isu penjagaan anak menjadi cabaran bagi ibu bapa bekerjaya hari ini. Salah satu jalan penyelesaian yang mudah dan paling akhir adalah meminta orang tua untuk menjaga anak mereka.
Orang tua memang tidak sanggup menolak dan tidak akan merungut, cuma terpaksa tahan dalam hati sahaja.
Sayangnya, ada pula anak yang ambil kesempatan terhadap kebaikan orang tua mereka.
Segala-galanya diserahkan kepada orang tua mereka. Daripada tugas menjaga anak, memasak hinggalah mengemas rumah.
Minggu ini saya kongsikan kisah Maimunah (bukan nama sebenar) yang dilayan sebagai orang gaji oleh anak sendiri.
Maimunah seorang pesara kerajaan berusia awal 60-an.
Selepas bersara, dia yang juga merupakan seorang ibu tunggal itu menghabiskan masa di rumah dan melayan hobinya menanam pokok bunga.
Tidak sampai dua bulan menikmati usia persaraan, Maimunah didatangi anak sulungnya, Anida (bukan nama sebenar), merayu agar menjaga dua anaknya berusia enam dan empat tahun.
Anida memberi alasan, pembantu rumahnya melarikan diri dan sukar untuk mendapatkan ganti dalam waktu singkat.
Diikutkan berat hati Maimunah untuk menjaga kedua cucunya itu.
Bagaimanapun dia tidak tergamak untuk menolak permintaan Anida.
Jauh di sudut hati dia kasihan kepada anak menantu dan cucu-cucunya sendiri.
Bagaimanapun Maimunah memberi syarat hanya menjaga cucu-cucunya itu sementara Anida mendapatkan pembantu rumah baru.
Bermula detik itu, hiduplah Maimunah di rumah Anida. Waima awalnya untuk sementara, namun sebaliknya yang berlaku.
Bulan berganti bulan, Anida tidak cuba mencari pembantu rumah yang baru.
Anida persis mengambil kesempatan ke atas Maimunah. Ibu sendiri dijadikan bagai pembantu tetap bergaji bulan.
Bukan sahaja tugasnya menjaga dua cucu, bahkan menjadi tukang masak dan tukang cuci.
Tidak habis di situ, Maimunah diamanahkan juga untuk menjadi guru kepada cucunya.
Anida dan suaminya, Sham (bukan nama sebenar) sangat gembira. Mereka sudah tidak perlu bersusah payah memikirkan pembantu rumah yang sering memeningkan kepala.
Berbeza sebaliknya, keadaan itu tidak memberi kesempatan kepada Maimunah untuk rehat secukupnya.
Apalagi untuk memanfaatkan sisa usianya dengan meningkatkan ilmu agama dan memperbaiki ibadah.
Anida dan suami juga sering pulang lewat atas alasan kerja.
Malam berganti siang, hari bertukar minggu, minggu memasuki bulan sehinggalah tahun, bayang pembantu rumah yang dijanjikan tidak kunjung tiba.
Pelbagai alasan diberikan Anida kepada Maimunah termasuk kos menguruskan pengambilan pembantu rumah yang semakin tinggi.
Janji tinggal janji. Genap dua tahun, Maimunah terus mengabdikan diri untuk menjaga anak cucunya.
Menjaga cucu bagi Maimunah bukanlah satu tugas mudah, apatah lagi dalam usianya yang melebihi 60 tahun.
Kebetulan pula kedua-dua cucunya merupakan anak yang aktif dan banyak ragamnya.
Kisah Maimunah tidak berakhir di situ sahaja.
Belum reda kepenatan menjaga anak-anak Anida, Maimunah terpaksa pula menjaga cucu ketiganya, anak kepada Melisa (bukan nama sebenar).
Melisa merupakan anak bongsu Maimunah yang sebelum ini bekerja dan menetap di luar negara.
Atas alasan lebih percaya ibu sendiri menjadi pengasuh daripada orang lain, Melisa merayu Maimunah menjaga anaknya.
Maimunah serba salah ketika itu, lebih-lebih lagi apabila Melisa turut mengungkit kesanggupannya menjaga anak-anak Anida sebelum ini.
Enggan mewujudkan perbalahan antara mereka adik beradik, Maimunah menerima permintaan Melisa.
Sejak itu bermulalah rutin harian baru lebih mencabar kepada Maimunah.
Setiap pagi Melisa dan suami, Hafiz (bukan nama sebenar) menghantar anak mereka ke rumah Anida yang terletak lebih kurang setengah jam perjalanan.
Sikap Melisa juga tidak ubah seperti Anida. Dia menyerahkan segala-galanya kepada Maimunah.
Pada hujung minggu, anak-anak dan menantunya tidak pernah lekat di rumah.
Ada sahaja dilakukan dan meninggalkan anak-anak bersama Maimunah.
Keadaan ini menyebabkan Maimunah begitu kepenatan kerana sepanjang minggu tidak ada rehat untuknya.
Dia ingin bersolat pun kadang-kadang perlu menunggu cucu-cucunya tidur.
Ada ketikanya Maimunah tidak sempat makan sehingga ke lewat petang kerana melayan karenah tiga cucunya itu.
Seorang duduk bergantung di kaki, seorang menangis.
Sehinggalah pada satu hari, Maimunah jatuh pengsan.
Setelah dibawa ke hospital, doktor mengesahkan tekanan darah Maimunah terlampau tinggi dan disahkan lumpuh separuh badan.
Maimunah hilang keupayaan untuk berdikari dan bergantung sepenuhnya kepada anak-anak.
Bermula detik itulah, Anida dan Melisa sedar selama ini mereka mengajikan ibu sendiri untuk menjaga anak, memasak dan mengemas rumah.
Dek sibuk bekerja mereka langsung tidak bertanya khabar tentang kesihatan dan keperluan Maimunah.
Selepas berbincang dengan Melisa dan atas persetujuan suami, Anida mengambil keputusan untuk berhenti kerja.
Selain mengurus anak-anak sendiri, Anida turut menjaga Maimunah dengan penuh kasih sayang.
Kisah Maimunah memberi pengajaran bahawa walaupun ibu ayah tidak kisah, janganlah sampai menghambakan mereka untuk menjaga anak kita.
Jika ibu bapa reda dan sukarela ia tidak menjadi masalah. Tetapi sebagai anak sanggupkah kita membebani ibu bapa di saat usia mereka semakin tua.
Sebagaimana Allah SWT yang bermaksud:
Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa. (al-Nisa’ : 36).
Roslah Othman ialah bekas wartawan meja Keluarga, Utusan Malaysia.










