BAGAIKAN bulan jatuh ke riba, pasangan pengantin baru, Datin Seri Heliza Helmi, 36, dan suami, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman, 38 menganggap majlis persandingan yang diadakan baru-baru ini umpama rezeki yang tidak disangka-sangka.
Dalam suasana kemeriahan majlis yang berlangsung di Bizmilla Grand Ballroom, Eco Sanctuary, Selangor itu rupa-rupanya ia hadiah sahabat baik Heliza, Mila Jirin yang cukup dikenali menerusi empayar bisnes perkahwinannya, Bizmilla Wedding Centre.
Majlis bertemakan Malam Islamik itu turut meraikan simbolik 15 tahun ukhuwah serta persahabatan mereka berdua.
Kata Heliza atau atau nama penuhnya, Nur Heliza Helmi, pada mulanya dia keberatan menerima hadiah berkenaan.
Namun akhirnya mengalah lantaran mengenangkan persahabatan sekian lama terjalin sejak mereka berdua bersama-sama menyertai Akademi Fantasia musim kelima (AF5).
“Dia memang dah niat sekian lama dan katanya kalau saya kahwin, dia mahu beri hadiah majlis persandingan.
“Maklumlah, siapa tak kenal Mila. Dia ‘tauke majlis kahwin’. Masa dia suarakan hasrat itu, saya terkejut. Malah bertambah segan kerana hadiah itu terlalu besar nilainya.
“Tapi dia tetap bersungguh-sungguh nak juga memenuhi niat. Akhirnya saya ‘tewas’ dan menerimanya,” katanya.
Heliza mengejutkan ramai pihak apabila membuka tirai 2022 pada 1 Januari lalu dengan melangsungkan perkahwinan dengan ahli perniagaan berstatus jutawan itu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Heliza menjelaskan dia yakin Mila dan perniagaan perkahwinannya menjadi asbab untuk terus mengerat dan menyatukan silaturahim sesama insan.
“Saya yakin hadiah itu ibarat susun atur Allah Taala menerusi Mila untuk diri ini. Dapat juga rezeki sahabat dan insan lain saya kenali datang ke majlis. Termasuklah teman dan tenaga pengajar AF5,” katanya.
Tetamu pada majlis berkenaan mengenakan jubah hitam bagi wanita manakala putih untuk lelaki.
Kata Heliza, tema Malam Islamik dipilih pun kerana mahu memudahkan tetamu mencari pakaian sesuai.
“Saya dan suami yakin, jubah hitam setiap wanita akan memilikinya. Begitu juga jubah putih yang tentunya ada dalam gerobok baju golongan lelaki,” katanya yang turut dihadiahkan keraian majlis resepsi daripada Datin Seri Umie Aida pada 5 Januari lalu.
Mengintai sisi persahabatan dengan Mila, katanya wanita itu sangat hebat.
“Kalau ada kesempatan kami akan berkongsi pelbagai cerita. Termasuklah berborak fasal zaman dan kenangan dulu,” katanya.
Mengulas status diri yang kini bergelar isteri, Heliza yang mesra dengan panggilan Kakja menerima mesej pertanyaan Abang Dee (suami) di Instagram (IG) mengenai bantuan kemanusiaan yang ingin disalurkan.
“Ketika itu saya sudah terbabit dengan aktiviti pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO). Mesej itu rawak, macam orang lain mesej tanya mengenai bantuan mahu diberikan dan sebagainya. Saya membalas pertanyaannya seperti orang lain juga.
“Momen itu berlalu sepintas lalu tanpa ada sebarang pertemuan. Dijadikan cerita saya dapat tahu dia mahu menunaikan umrah. Saya jenis selamba akan mengirimkan doa untuk dipanjangkan di Tanah Suci Makkah. Saya turut mengirimkan doa melaluinya.
“Saya suka kirim doa kepada sesiapa termasuk mereka yang tak dikenali seperti netizen. Kita pun tak tahu doa siapa yang akan dimakbulkan Tuhan,” katanya.
Kata Heliza, salah satu doa dikirimkan kepada bakal suaminya ketika itu termasuklah perihal jodoh.
“Doa jodoh dipanjangkannya di depan Kaabah. Pada ketika detik itu juga, bagai hadir isyarat yang jodoh tertulis antara kami.
“Dipendekkan cerita, dia bertemu keluarga untuk menyunting saya. Seterusnya Allah lorongkan semua itu ke satu ikatan ijab kabul,” katanya.
Mengenai suaminya yang juga pengasas dan Presiden AUF MBZ Consortium iaitu syarikat yang menawarkan perkhidmatan pelaburan kewangan, Heliza dengan rendah hati mengakui sukar mengungkapkan gambaran itu dengan kata kata.
“Sesuatu mengenai dirinya yang susah nak diterangkan dalam satu perkataan atau baris ayat.
“Dia, Masya-Allah, Subhanallah, Alhamdulilah. Dialah syurgaku. Saya bersyukur dikurniakannya. Moga mudah mudahan doa rumah tangga kami sampai ke jannah,” katanya.
Sementara itu, Mahadi menggambarkan jodohnya dengan isteri seperti sebuah perjalanan mencari permaisuri hati yang boleh hidup bersama selamanya.
“Jodoh saya akhirnya tertulis di usia 38 tahun. Sampai berjanggut panjang saya tunggu jodoh ini.
“Ia satu penantian panjang yang terjawab dan berbaloi apabila berjodoh dengannya. Kesudahan dan nikmat ini cukup menggembirakan hati dan disyukuri.
“Allah bagi jodoh sepertinya, Masya-Allah, Alhamdulilah dan cukup lengkap serta sempurna segala segi. Pandang dia rasa sejuk hati,” katanya.










