Accent Wall atau dinding tumpu bukanlah sesuatu yang baharu dalam dekorasi kediaman.
Ia merupakan hiasan dinding menggunakan material kayu atau PVC yang disusun mengikut pelbagai bentuk geometri yang menarik.
Hiasan ini berperanan untuk menjadikan dinding yang dipilih sebagai titik tumpu dan berbeza dengan dinding lain selain menambahkan seri pada hiasan dalaman yang berkonsepkan moden kontemporari.
Disebabkan itu, baru-baru ini ia kembali menjadi trend dalam kelab-kelab dekorasi di media sosial.
Bukan sahaja kerana rekaannya yang menepati citarasa masa kini, malah ia boleh dilakukan secara Do It Yourself (DIY) dengan bajet yang rendah membuatkannya menjadi pilihan ramai.
Seperti perkongsian Norfaizah Mohd. Esa,29, yang berkongsikan projek DIY accent wall bersama suami, Mohamad Aliff Hakim Jais,30, di ruangan makan kediaman.
Dengan hanya bermodalkan RM200 ringgit, pasangan suami isteri itu berjaya menghasilkan satu dinding tumpu yang menarik mengikut kreativiti sendiri.
Menurutnya, proses pemasangan dinding hiasan itu sangat mudah dan hanya mengambil masa selama dua hari untuk siap sepenuhnya.
“Pemasangan mudah sahaja bergantung kepada rekaan yang dipilih.
Kayu atau bahan yang di gunakan juga memainkan peranan. Saya hanya guna papan MDF. Jadi proses pemotongan secara manual tak susah seperti mengunakan kayu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jadi, bagi sesiapa yang juga mahu mendekorasi kediaman dengan bajet yang rendah namum tetap cantik bolehlah ikuti langkah-langkah yang dikongsikan oleh Norfaiza. Pasti menjadi!











