Bukan sekadar ucapan tahun baharu - Utusan Malaysia

Bukan sekadar ucapan tahun baharu

UCAPAN tahun baharu 2022 oleh Perdana Menteri pada Jumaat lalu terangkum dalam persoalan besar Keluarga Malaysia berasaskan falsafah ‘raikan persamaan, ketepikan perbezaan.’
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UCAPAN Perdana Menteri menjelang tahun baharu adalah perkara biasa bagi seorang ketua kerajaan. Tapi saya melihat ucapan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada pukul 9 malam, 31 Disember lalu agak luar biasa.

Bukan sekadar mengucapkan selamat tahun baharu 2022, tetapi rangkuman menyeluruh meliputi perkembangan Covid-19, persoalan banjir dan pengumuman bantuan kepada mangsa banjir, memorandum persefahaman transformasi dan kestabilan politik, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Bajet 2022, pemulihan dan pertumbuhan ekonomi, pengangguran, alam sekitar, sosial, tadbir urus, pendidikan dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta pembangunan perumahan dan kemiskinan. Ia terangkum dalam persoalan besar Keluarga Malaysia berasaskan falsafah ‘raikan persamaan, ketepikan perbezaan.’

Persoalan dan falsafah besar yang cuba dirangkumkan adalah kerjasama dan muafakat menyeluruh merupakan asas kepada kemakmuran dan keharmonian negara – kita bersatu, kita bekerjasama, kita maju dan kita akan hidup aman harmoni. Kestabilan politik adalah asas kepada kemakmuran ekonomi. Keadaan ekonomi yang kucar-kacir dan tidak seimbang, rakyat akan kebingungan – pemilihan tepat sukar berlaku, politik kuat dan stabil sukar dibentuk. Pengalaman lalu adalah pengajaran besar bagi membina masa depan negara yang lebih gemilang.

Memorandum persefahaman transformasi dan kestabilan politik ditandatangani pada 13 September lalu adalah asas dan permulaan yang besar maknanya. Ini punya hubungan dan kesan rapat dengan RMK12 diluluskan tanpa sebarang pindaan pada 7 September lalu. Belanjawan bagi 2022 juga lulus dengan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat (13 Disember 2021). Diharapkan juga undang-undang antilompat parti akan dibentang dan melalui proses tidak sukar.

Semua ini adalah hasil kerjasama semua pihak di bawah pimpinan Ismail Sabri. Syabas kepada pimpinan kerajaan dan pembangkang. Negara dijunjung, matlamat diutamakan, kecemerlangan akan terbina.

Kemajuan dan pemulihan ekonomi adalah hasil kerjasama dan pimpinan Perdana Menteri. Jumlah perdagangan mencecah RM2 trilion selepas berkembang 24.6 peratus (Januari-November 2021).

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat tiga peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2021. Kadar pengangguran menurun kepada 4.3 peratus (Oktober 2021) berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020. Pelaburan langsung asing (FDI) bagi tempoh sembilan bulan pertama 2021 sebanyak RM30 billion.

Semua dipaparkan ini melambangkan pemulihan semula ekonomi. Ia sukar dicapai tanpa kerjasama semua pihak. Politik yang kucar-kacir, pertelingkahan berterusan akan memalapkan pembangunan. Di sebaliknya, politik stabil dan kerjasama mantap yang rasional akan terus membuka ruang positif mengukuhkan ekonomi negara. Perdana Menteri menjadi teras, sokongan mesti padu, perkembangan terus laju.

ALAM SEKITAR
Peka alam sekitar, sosial dan tadbir urus diungkap oleh Perdana Menteri. Alam sekitar, masyarakat dan pembangunan sukar dipisah. Pembangunan yang mengenepikan alam sekitar akan pincang dan musnah. Alam sekitar adalah amanah Tuhan kepada manusia. Para perancang bandar jangan sekali-kali mengenepikan alam sekitar.

Bukan sekadar tahu dan faham, tetapi faham dengan mendalam. Sungai dan aliran haba suhu bandar bukan sekadar dirancang tetapi pastikan perancangan dan pelaksanaannya teliti dan berkesan. Tiada kompromi tentang sungai. Ia adalah nadi kehidupan kota. Air sungai akan memberontak andainya aliran disekat dan ruang alir tidak memadai. Nampak remeh tapi kesan dan akibatnya amat padah. Bila air menyerang, banjir besar melanda – tahulah air masa kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan. Bukan sekadar lawan tetapi mampu membunuh dan memusnah segala.

Isu ini diungkap oleh Ismail Sabri dalam ucapan tahun baharu. Falsafah dan mesej oleh ketua kerajaan ini besar maknanya – perancangan alam sekitar sangat penting. Elakkan musibah banjir besar dan malapetaka akan datang dengan semangat kerjasama dan saling menyedari. Konsep dan model perumahan yang sesuai adalah perlu. Model rumah mesti sesuai dengan persekitaran. Perdana Menteri tidak berkata, “binalah rumah bertiang tinggi, di kawasan rendah, di tebing sungai” tetapi makna ungkapannya jauh lebih besar – perancangan mesti sesuai dengan persekitaran dan jangan melanggar peraturan. Jangan kerana kepentingan wang ringgit dan kepentingan material semata-mata, prinsip alam dilanggar. Pentingkanlah kehidupan dan kepentingan umum jangka panjang mesti lebih diutamakan. Makna tersirat Perdana Menteri yang mesti diterjemah secara mudah jelas jelas dan tersurat.

Persoalan kemiskinan tidak dilupakan Perdana Menteri. Ayat mudah yang ringkas dan besar makna serta tinggi matlamat tetap diucap sebelum menutup bicara ucapan tahun baharu. Kemiskinan adalah isu yang perlu diperjuangkan. Semua pihak mesti bertindak, kemiskinan mesti dikurangkan, mesti dihapuskan akhirnya. Mental si miskin mesti diubah. Fizikal semata-mata tidak benar-benar bermakna dan berkesan. Idea revolusi mental zaman Tun Abdul Razak perlu dibangkitkan semula. Kemiskinan perlu dirancang dari dalam, bukan sekadar dasar kerajaan, tapi di benak hati si miskin. Si miskin mesti utuh mentalnya dan bangun berjuang dari dalam dirinya.

Ucapan Ismail Sabri bukan sekadar ucapan tahun baharu 2022, tapi ucapan mengukuh kerjasama dan kupasan membina negara. Asasnya kerjasama, semangat Keluarga Malaysia. Tiada siapa yang terpinggir, tiada siapa yang tertinggal, semuanya sama-sama bergerak dengan semangat kerjasama yang tulus, membina negara berjaya. Selamat maju jaya.

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×