MUKADIMAH
PORTFOLIO Ahli Parlimen Julau, LARRY SNG WEI SHIEN dalam kerjaya politiknya sentiasa berubah. Dalam tempoh dua dekad, sudah banyak parti politik disertainya. Dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) ke Parti Rakyat Sarawak (PRS), kemudian Parti Pekerja Sarawak (SWP) seterusnya Bebas, diikuti PKR, keluar parti dan menjadi Bebas kembali. Semua berlaku di bawah pentadbiran kerajaan berbeza.
Sejak itu, beliau terus menerima kecaman ramai kerana dilabel sebagai tiada pendirian, tidak istiqamah dalam berpolitik. Terkini, Larry hadir sebagai Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), asalnya SWP yang dijenamakan semula.
Kurang 24 jam selepas pengumumannya sebagai Presiden pada 8 Januari lalu, wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN dan jurufoto MUHAMMAD SYAWAL ROSLI bertemu beliau di ibu negara.
Bijak menyusun kata, kekal tenang dan lemah lembut dalam setiap bicara walaupun diasak soalan ‘panas’, beliau berkongsi wawasan dan hala tuju PBM.
UTUSAN: Kronologi penubuhan PBM?
LARRY: Saya bersama seorang ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbincang menubuhkan sebuah parti. Saya kembali (merujuk) kepada jawatankuasa SWP, iaitu parti lama saya sebelum memutuskan keluar parti. Saya bertanya kepada mereka jika mahu menerima saya dan rakan-rakan lain dari Semenanjung ke dalam parti. Mereka bersetuju dan bermula 27 Oktober 2021, SWP dijenamakan kepada PBM.
Saya menjadi Presiden SWP semasa penubuhannya pada 2012. Alasan saya letak jawatan kerana mengambil keputusan tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak. Saya kemudian menyertai PKR, keluar parti dan jadi Bebas. Dalam tempoh enam bulan, saya pernah mencuba menyertai parti lain tetapi tidak berjalan baik kerana saya melihat agenda dan dasar-dasar parti itu tidak sealiran dengan saya.
Daripada Timbalan Presiden kepada Presiden?
Kami menghantar senarai nama kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan dalam jawatankuasa itu, saya dilantik sebagai Timbalan Presiden, tetapi RoS mendapati ada isu teknikal dan mencadangkan kami pulang ke Sarawak untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) seperti mesyuarat agung tahunan (AGM). Kami panggil semua perwakilan (jawatankuasa) terdiri daripada semua orang Sarawak di bahagian disahkan oleh RoS dan mereka mahu orang Sarawak memegang jawatan Presiden. Akhirnya, mereka bersetuju untuk saya pegang jawatan tersebut.
Hala tuju dan perbezaan PBM dengan parti politik lain?
Saya akui memang banyak parti baharu ditubuhkan, tetapi PBM parti yang merancang bersama dalam kerajaan Barisan Nasional (BN). Fokus kami, mengetengahkan isu-isu golongan muda, wanita, ekonomi, kepelbagaian bangsa, pendidikan dan teknologi. Orang dalam kepemimpinan parti berpengalaman antara 10 hingga lebih 20 tahun dalam politik yang memang memperjuangkan isu-isu disebutkan. Hala tuju kami sangat jelas, memperjuangkan rakyat dan sebuah parti akar umbi memiliki ramai tokoh politik dari Sarawak dan Semenanjung.
Berapa bahagian dan keahlian PBM sekarang?
Terdapat 12 bahagian yang disahkan RoS dan dalam masa terdekat, majlis tertinggi parti akan membuka bahagian di tempat lain termasuk melantik ahli-ahli baharu dari negeri-negeri di Semenanjung. Kami terbuka menerima sesiapa sahaja menyertai parti dari seluruh negara. Kalau ada permohonan baharu, kita boleh sahaja berbincang.
Selain itu, terdapat 40,000 ahli di Sarawak berada dalam PBM dan 53,000 ahli dari Penggerak Komuniti Negara (PKN). Saya percaya tahun ini penyertaan ke dalam parti mencecah lebih 100,000 ahli. Setiap hari, terdapat peningkatan dari segi penyertaan tetapi memandangkan saya baru dilantik sebagai Presiden, saya masih belum menerima laporan rasmi.
Tindakan anda hanya memecah-belah undi pada pilihan raya umum nanti. Benarkah?
Tidak. Kalau PBM bersama kerajaan, kami akan berada dalam satu pasukan. Mungkin di pihak pembangkang, ada dua tiga parti mahu bertanding sekali yang menjurus kepada pecahan undi, tetapi dalam BN hanya menampilkan calon di bawah satu tiket.
Sebab itu kami sedang meneroka pilihan untuk bersama BN dan ia belum muktamad, baru menerokainya sahaja di samping meneliti adakah terdapat nilai yang bukan sahaja untuk pilihan raya, bahkan untuk landskap politik Malaysia dalam jangka panjang.
Anda tidak rasa seolah-olah bermain falsafah menggunakan isu tersebut?
Selaras dengan perlembagaan parti, PBM mesti mengemukakan 30 peratus golongan Wanita dan Pemuda sebagai calon dalam pilihan raya. Saya bukan cakap di mulut sahaja, PBM memang asli, ikhlas memberi peluang kepada mereka kerana sedar, golongan inilah yang paling besar dalam politik pada masa hadapan. Sebelum ini, Wanita sendiri seakan diketepikan dalam aspek kepimpinan dalam parti politik masing-masing. Maka saya akan pastikan misi ini dapat dilaksanakan.
PBM dilabel sebagai barisan pelompat dan pengkhianat parti. Komen?
Macam ini sahajalah, kita lihat pada landskap politik. Pemimpin dari mana-mana parti pun pasti ada lebih daripada satu parti yang melompat. Yang penting, adakah rakyat atau akar umbi menerima mereka? Jika anda berada dalam situasi saya (bertanding secara Bebas) dan menang dalam pilihan raya, apa maksudnya? Isunya sama ada kita boleh berkhidmat kepada rakyat seperti yang saya lakukan untuk pengundi saya di Julau.
Anda tidak menjawab mengenai pelompat dan pengkhianat itu tadi.
Itu adalah label semata-mata. Dalam kes saya, saya menang atas tiket Bebas, bukan mana-mana parti politik termasuk PKR. Malah, logo dan jentera kempen juga bukan daripada mereka. Jadi, saya tetap dilabel seperti itukah?
Tetapi anda tetap melompat parti bukan?
Kita mesti melihat apakah keadaan politik pada masa itu. Kalau anda semak semula pemimpin-pemimpin sebelah sana, dahulu ada yang dari UMNO juga. Samalah, tetap pelompat.
Dakwaan saya sebagai pengkhianat, bukan isunya. Apabila pulang ke kawasan saya, rakyat di sana tidak melihatnya seperti itu. Mereka hanya tahu siapa boleh bekerja untuk mereka. Ada sahaja wakil rakyat setiap hari masuk pejabat, tetapi tidak bekerja pun.
Anda yakin dengan penerimaan rakyat?
Saya dan seluruh parti akan menjelaskan terlebih dahulu kepada rakyat. Ramai yang hanya membaca berita di ruangan akhbar tetapi belum berjumpa dengan pemimpin secara peribadi atau mendengar sendiri agenda kami. Penjelasan kepada mereka mungkin memakan masa tetapi kami akan terus mempromosikan PBM mengenai pendirian kami.
Diterima atau tidak, saya tidak mahu terus melompat kepada kesimpulan. Saya akan ambil inisiatif menjelaskan dan memastikan akar umbi parti terus bekerja terutama dalam situasi kecemasan seperti bencana banjir.
PENGLIBATAN AZMIN, ZURAIDA
PBM dikaitkan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin. Benarkah?
Ini hanya spekulasi dimainkan oleh media. Dalam senarai jawatankuasa, nama mereka tidak dinyatakan.
Bukankah PKN ditubuhkan Zuraida?
Pemimpin-pemimpin SWP (PBM) dan PKN mempunyai matlamat serupa, sebab itu mereka bersama-sama dalam parti ini.
Ada maklum balas kurang menyenangkan dari mana-mana parti mengenai PBM?
Saya baru sahaja menjadi Presiden, berilah saya masa sedikit.
Ada perancangan tembusi pasaran politik di Sabah?
Tidak kiralah sama ada di Sabah atau mana-mana negeri. Yang penting, PBM mesti mencari kekuatan dan pemimpin-pemimpinnya, sama ada kami mampu membawa agenda politik. Hanya dengan itu, barulah kami dapat meneroka sama ada di Sabah, Melaka atau Selangor dan sebagainya.
Sebenarnya, kepimpinan dalam parti sudah menggambarkan keseluruhan Malaysia kerana Naib Presiden I, Rahimah Majid berasal dari Sabah. Ini penting untuk jangka panjang bagi menghormati Sabah dan Sarawak yang berperanan besar dalam negara serta atas semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Apa pun, mesti ada pimpinan tertinggi dari dua negeri ini.
Beberapa pemimpin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sertai PBM. Adakah status mereka dwiparti dan masih belum digugurkan?
Saya bukan ahli Bersatu. Saya tidak tahu apa keputusan mereka (terhadap ahlinya yang menyertai PBM) dan bagaimana ia akan dilakukan. Ada pun mereka yang dikatakan sebagai ahli Bersatu atau parti lain, kita sendiri tidak tahu, ramai orang akan kata sesetengah orang dari parti inilah, itulah, tetapi tidak juga. Setakat ini PBM terima sesiapa sahaja memohon menjadi ahli, tiada masalah.
Adakah mereka perlu isytihar status sebenar mereka?
Katalah kita sudah mempunyai 100,000 ahli, mana ada masa untuk mencari kes-kes sebegitu. Yang penting mereka sertai parti dan kami hanya menerimanya berdasarkan merit.
Setiausaha Agung PBM, Noor Hizwan Ahmad pernah menyebut PBM sebagai genome modification. Komen?
Saya rasa eloklah beliau sendiri jelaskan pada masa-masa akan datang sebab sekarang adalah tentang parti dan apa yang ingin ditekankan.
Anda faham takrifan terma tersebut?
Ya, sudah tentu. Biarlah dijelaskan nanti.
PRU15
Bagaimana persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?Masih terlalu awal bercerita mengenainya. Berilah masa untuk kami menguatkan lagi struktur kami dan barulah parti memutuskan akan bertanding di kawasan Parlimen dan DUN. Yang penting, bina akar umbi dahulu dan sekarang kami menjadi semakin kuat kerana ramai yang mahu bersama parti.
Tiada guna bercakap tentang kerusi jika tiada sokongan rakyat. Jadi, kami mesti mempunyai konsensus atau manfaat bersama untuk permainan jangka panjang dalam politik negara.
Mesra kerajaan BN
Kenapa PBM mahu menyertai BN?
Ia untuk jangka panjang dan masa depan negara sekurang-kurangnya bagi tempoh 10 hingga 30 tahun lagi. Apa yang negara perlukan ialah dasar-dasar yang bersifat sederhana, yang bukan semata-mata fokus kepada agama dan bangsa. Sesebuah kerajaan sepatutnya stabil dan mampu melaksanakan dasar-dasar dirangka. Pakatan Harapan (PH) pernah menjadi kerajaan selama 22 bulan, tetapi janji-janji mereka tidak dilaksanakan. Jadi, saya rasa dengan berada dalam BN adalah pilihan terbaik.
Sekarang bagaimana perkembangannya?
Ia belum muktamad dan kami sedang berbincang. Seperti saya katakan tadi, saya baru lagi jadi Presiden, masih ada banyak masa. Cuma saya boleh katakan dalam politik, apa sahaja boleh jadi.
Kenapa tidak PN?
PN pun sudah mempunyai parti komponennya, Gerakan. Saya hormati keputusan akar umbi parti, kami akan ambil langkah satu demi satulah. Kami tidak akan tutup pintu untuk mana-mana pihak. Yang penting, untuk pembangunan politik negara yang sihat. Sumbangan PBM bukan untuk kerusi semata-mata tetapi ke arah pembangunan nasional.
PBM menggugat kedudukan Gabungan Parti Sarawak (GPS)?
Oh, tidak. Kita semua maklum GPS sebahagian daripada Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri. GPS atau PBM sekali pun, tetap sebagai satu pasukan (dalam kerajaan). Pada PRN Sarawak tahun lalu pun, saya berkempen untuk mereka. PBM bukan lawan GPS tetapi kerja bersama-sama. Menjelang PRU15 nanti, kita bincang lebih lanjutlah. Sekarang, fokus dahulu untuk bekerjasama dengan parti-parti politik kerajaan. Kalau gabung pun, tidak bermakna PBM tidak mahu bekerjasama dengan parti lain.
Apa jaminan anda tidak akan berubah haluan selepas mengetuai PBM?
Tiada seorang pun menyertai parti untuk melompat parti, dan tiada juga yang akan berfikir untuk terus kekal atau tidak dalam parti sepanjang hidup mereka. Tetapi politik ini dinamik dan sentiasa berubah. Ada parti politik yang sudah berdaftar, ada yang membuang ahlinya sendiri yang saya rasa ia di luar kawalan seseorang.
Saya sudah menyaksikan segalanya selama lebih 20 tahun berada dalam politik sejak dibuang parti dahulu. Saya tidak akan terus kepada kesimpulan yang menghakimi, saya akan melakukan hal sama (melompat parti) pada masa akan datang. Lebih-lebih lagi saya sebagai Presiden, kenapa saya perlu keluar dari parti? Ia tidak masuk akal.










