Jika sering berasa mahu dipandang, ingin tampil menonjol sentiasa atau pun seringkali menghitung bilangan tanda suka pada setiap muat naik di media sosial, itu mungkin petanda penyakit sukakan perhatian atau Histrionic.
Histrionic merupakan sejenis penyakit gangguan mental yang terlalu menginginkan perhatian secara berlebihan daripada orang sekeliling sehingga menimbulkan tekanan kepada penghidap sekiranya perhatian itu tidak diperoleh.
Pakar Psikologi Klinikal dari Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai, Khuldiah Iman Mohd. Ghazali berkata, personaliti penghidap penyakit ini kebiasaannya bersikap terlalu dramatik dan beremosi.
“Pesakit selalunya akan bertindak secara berlebih-lebihan supaya orang akan memberi perhatian kepadanya. Contohnya, ketawa dengan terlalu kuat ketika bersembang dengan rakan sedangkan perkara yang dibualkan itu biasa-biasa sahaja.
“Malah, emosi mereka juga ada turun naiknya, di mana mereka akan mudah menjadi gembira dan juga mudah untuk merasa sedih atau marah.
“Jadi, kebanyakan orang sekeliling tidak boleh menjangka emosi mereka ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengenai punca masalah itu berlaku, katanya banyak faktor menyumbang kepada gejala berkenaan terjadi, antaranya mungkin disebabkan pengalaman semasa kecil dan keadaan sekeliling.
“Kebanyakan penghidap mungkin menjadi Histrionic akibat mereka tidak mendapat perhatian sejak kecil, diabaikan oleh ibu bapa atau orang sekeliling.
“Faktor lain yang mungkin menyumbang adalah kewujudan media sosial pada masa ini yang berfungsi sebagai platform untuk orang berlumba-lumba mempamerkan diri dan mendapat perhatian,” tambahnya.
Oleh itu, katanya, jika individu mula mengesan simptom-simptom yang disebutkan, individu disarankan untuk terus berjumpa pakar psikologi agar penilaian dapat dilakukan dengan kadar segera.
“Terutamanya bagi kaum wanita kerana peratusan menunjukkan wanita adalah empat kali ganda lebih banyak menghidap masalah ini berbanding lelaki.
“Selalunya apabila mereka datang ke pusat, kita akan menjalankan terapi Dialectical Behaviour untuk membantu mereka mengendalikan tekanan dan mengawal emosi dengan lebih baik,” ujarnya.










