KES-kes jenayah melibatkan kanak-kanak di negara ini tertakluk kepada Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) hanya mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2002 walaupun telah diluluskan pada 2001. Akta 611 memansuhkan tiga statut lain iaitu Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973, dan menggabungkan undang-undang berkenaan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak.
Kanak-kanak ditakrifkan di bawah Akta Kanak-kanak sebagai seorang berumur di bawah 18 tahun. Berhubung prosiding jenayah, seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam Seksyen 82 Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 2 Akta 611.
Apabila kanak-kanak ini berhadapan undang-undang jenayah di sini merupakan satu garis panduan ringkas bagi prosiding terhadap kanak kanak. Seperti kebiasaan bila ada kes melibatkan kanak-kanak yang berunsur jenayah, pasti akan ada tangkapan oleh pihak berkuasa dan tangkapan terhadap kanak-kanak adalah sama seperti orang dewasa.
Namun, Seksyen 83 menyatakan seseorang kanak-kanak hanya boleh ditahan dan dituduh serta dibicarakan mengikut yang tertera di bawah akta ini. Penahanan di bawah Seksyen 84 hendaklah tidak melebihi 24 jam dan perlu dibawa di hadapan mahkamah kanak-kanak dan diberikan bon bercagar atau tanpa cagaran untuk hadir di mahkamah pada masa akan datang melainkan kes-kes serius seperti bunuh.
Jika kanak-kanak ini ditahan di tempat tahanan, mereka wajib diasingkan daripada tahanan dewasa sebagaimana di bawah Seksyen 85 dan Seksyen 85 (c) juga terdapat larangan daripada mana-mana pihak mengambil gambar kanak-kanak semasa ditahan, dibawa ke mahkamah dan semasa mereka menunggu di mahkamah.
Kanak-kanak dibicarakan di mahkamah kanak-kanak dan diwajibkan ibu bapa atau penjaga untuk hadir bersama-sama sebagaimana dalam Seksyen 88.
Pertuduhan kemudiannya dibacakan pada kanak-kanak dan mahkamah wajib memastikan kanak-kanak ini faham pertuduhan itu serta faham sebab akibat daripada pengakuan salahnya serta dibantu oleh pihak seperti peguam bela atau mana-mana pihak yang mahkamah dapati boleh membantu. Jika kanak-kanak ini tidak mengaku bersalah, mahkamah akan memanggil saksi dalam menjalankan perbicaraan.
Jika tidak diwakili oleh peguam bela, maka kanak-kanak ini akan meminta ibu bapa atau penjaga atau mana-mana pihak membantu. Ini jelas di bawah Seksyen 90.
Selesai proses perbicaraan, mahkamah akan membuat keputusan dan jika didapati bersalah, mahkamah akan merekodkan kanak-kanak itu bersalah atau kesalahan itu berjaya dibuktikan. Sebelum menjatuhkan hukuman, mahkamah akan meminta kanak- kanak, ibu bapa atau penjaga untuk membuat rayuan bagi pengurangan hukuman atau mitigasi pada hukuman yang akan dikenakan kelak sebagaimana di bawah Seksyen 90(11).
AKHLAK
Bagaimanapun, di bawah Seksyen 90(12) mahkamah akan meminta pegawai akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan satu laporan mengandungi latar belakang kanak-kanak dan keluarga serta cadangan pegawai akhlak bagi hukuman terbaik. Laporan ini akan dibacakan dan diterangkan pada kanak-kanak serta ibu bapa atau penjaga.
Setelah itu mahkamah akan meminta pandangan penasihat. Selalunya ada dua penasihat mendengar kes-kes di mahkamah kanak-kanak. Namun begitu, mahkamah tidak terikat dengan pendapat penasihat-penasihat ini dan boleh tidak mengikut nasihat mereka dan perlu merekodkan sebab mahkamah tidak bersetuju dengan pandangan penasihat sebagaimana di bawah Seksyen 90(18)(a)(b).
Mahkamah mempunyai kuasa-kuasa berikut dalam memberikan perintah terhadap kanak-kanak setelah prosedur di atas dilalui di bawah Seksyen 91:
– Memberikan perintah amaran kepada kanak-kanak.
– Melepaskan kanak-kanak dengan bon kelakuan baik dan syarat syarat ditentukan oleh mahkamah.
– Meletakkan kanak-kanak di bawah jagaan ahli keluarga atau mana-mana orang yang layak dengan syarat-syarat tertentu.
– Mengarah kanak-kanak membayar denda, pampasan ataupun kos.
– Khidmat komuniti.
– Membuat perintah pengawasan di bawah Seksyen 98 yang memerlukan memenuhi syarat-syarat seperti melaporkan diri di balai polis atau sepertinya atau mengikut kaunseling dan apa-apa program sesuai.
– Perintahkan kanak-kanak dimasukkan ke sekolah yang diluluskan atau Sekolah Henry Gurney.
Dalam membuat sesuatu perintah terhadap kanak-kanak memerlukan satu penelitian kerana sesuatu perintah ini akan membentuk masa hadapannya kelak. Kanak-kanak perlu dipulihkan agar mereka menjadi seseorang yang berguna pada masyarakat dan keluarga. Mereka perlu kembali ke pangkuan masyarakat dan masyarakat jugalah bertanggungjawab memulihkan mereka.
Mahkamah juga masih memegang prinsip bukan sahaja perlu memberikan peluang tetapi masyarakat juga memainkan peranan sama agar kanak-kanak ini dapat dibentuk menjadi seorang yang berguna pada masa hadapan.
Dalam kes The Child vs. PP (2020)1 LNS 2113, Mahkamah Tinggi menyatakan: “Kepentingan awam adalah dilaksanakan apabila seseorang kanak-kanak itu dapat dipulihkan daripada melakukan perbuatan jenayah dan kembali ke pangkuan masyarakat menjadi seorang rakyat berguna serta menjadi ahli keluarga yang baik. Mahkamah serta masyarakat seharusnya memberikan kanak-kanak itu peluang.”
DATUK Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah pengamal undang-undang.











