Sakit belakang dalam kalangan wanita hamil bagaikan isi dengan kuku. Ia berlaku lantaran perubahan fizikal wanita dalam menampung tumbesaran bayi dan kandungannya.
Kajian menunjukkan sekitar 50 hingga 80 peratus ibu hamil mengalami masalah sakit pinggang ketika hamil.
Ini membuktikan penjagaan kesihatan tulang belakang menjadi sangat penting dalam setiap peringkat kehamilan. Malangnya kebanyakan wanita menganggap sakit itu normal dan sebahagian daripada proses kehamilan.
Tanggapan ini salah. Jika mengalami sakit belakang yang teruk ketika hamil atau sakit belakang yang berlarutan lebih daripada dua minggu, ibu patut rujuk doktor bagi mendiagnos dengan tepat punca kesakitan dan terapi sesuai.
Sakit belakang ada yang berlarutan hingga lepas bersalin. Ia disebut sebagai sakit belakang postpartum yang biasanya surut enam bulan selepas melahirkan bayi.
PUNCA SAKIT
Punca sakit antaranya kenaikan berat badan, perubahan postur, perubahan hormon dan serta stres. Berat badan wanita hamil lazimnya bertambah sekitar 11 hingga 16 kilogram (kg) sekali gus menambah beban pada tulang belakang.
Perubahan itu turut sama mengubah pusat graviti kerana wanita perlu menyesuaikan postur dan pergerakan untuk menampung kandungan yang kian membesar.
Tambahan, tubuh wanita menghasilkan hormon relaksin ketika hamil yang membolehkan ligamen di kawasan pelvis dan sendi mereka menjadi lebih longgar sebagai persediaan untuk proses kelahiran.
Ia membolehkan ligamen tersebut menyokong tulang belakang yang mengendur, lalu menjurus kepada ketidakstabilan dan kesakitan. Tekanan emosi juga boleh menyebabkan ketegangan otot di bahagian belakang badan, yang mungkin akan dirasai sebagai kesakitan atau kekejangan.
Bagaimanapun, tiada istilah ‘terlalu lambat’ atau ‘terlalu awal’ bagi wanita untuk melindungi tubuh mereka daripada komplikasi sakit pinggang ketika hamil.
SIAPKAN TUBUH
Wanita boleh mencegah atau mengurangkan sakit belakang sebelum mereka hamil dengan menguatkan tubuh mereka terutamanya anggota kaki, abdomen dan bahagian belakang badan menerusi senaman yang dilakukan secara bersederhana.
Sebelum hamil, wanita seharusnya mengambil langkah penjagaan prakehamilan yang meliputi konsultasi dengan doktor untuk merangka pelan, selain berbincang tentang pelbagai teknik senaman bagi mempersiapkan tubuh mereka menampung beban kehamilan.
Sesetengah senaman seperti berjalan atau mengayuh mesin basikal selama 20-30 minit sehari dapat membina kekuatan kaki.
Begitu juga pelbagai senaman ringkas yang dapat menguatkan otot abdomen untuk menampung beban perut selain melindungi tulang belakang apabila proses kehamilan mula menginjak peringkat demi peringkat.
Dengan memiliki kekuatan ini, tubuh dapat mengekalkan keselarian dan keseimbangannya ketika perut mula membesar dan menarik pinggang ke hadapan.
MENGURUS SAKIT
Rasa sakit dan tidak selesa biasanya berlaku pada bulan kelima hingga ketujuh. Tetapi ada juga mengalaminya lebih awal.
Kesakitan lazimnya mula dirasai sekitar minggu ke-18 dan akan memuncak pada minggu kehamilan yang ke-24 hingga ke-36. Ketika fasa ini, wanita hamil harus mengamalkan tabiat yang sihat untuk memastikan tubuh mereka diberi sokongan yang sebaiknya.
Untuk mencegah atau meringankan masalah sakit belakang ketika mengandung, wanita patut memantau kenaikan berat badan, mengamalkan diet yang sihat dan bekerjasama dengan pakar obstetrik-ginekologi (O&G) untuk memelihara berat badan yang disyorkan bagi mengecapi proses kehamilan yang sihat.
Penjagaan postur yang disokong dengan kaedah yang ergonomik ketika duduk atau berdiri membantu meringankan beban pada pinggang.
Postur tidur secara mengiring dengan penggunaan bantal sokongan di antara lutut, di bawah abdomen atau di bahagian belakang badan boleh dilakukan bagi mengurangkan rasa sakit.
———
Dr. Lim Sze Wei adalah Pakar Bedah Ortopedik, Tulang Belakang & Trauma, ALTY Orthopaedic Hospital










