Industri muzik nasyid dewasa ini semakin meriah. Itulah hakikat, sementelah wujudnya kumpulan-kumpulan nasyid yang hadir bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Namun, kita tidak boleh menafikan bahawa kumpulan Raihan masih kekal bertahan, muzik nasyid berdepan revolusi seiring peredaran zaman.
Sejujurnya, nama Raihan masih mengharum. Lagu-lagunya masih menjadi siulan dan pilihan ramai penggemar muzik tersebut.
Saya juga membesar dengan lagu-lagu yang dibawakan kumpulan ini. Oleh demikian, peluang untuk mewawancara salah seorang anggotanya, Che Amran Idris, saya abadikan sebagai satu momen yang cukup berharga sepanjang bergelar wartawan.
Saya terpanggil untuk mengajak Che Amran berborak tentang perkembangan kumpulan ini. Kata Che Amran, Raihan masih bergerak aktif lebih-lebih lagi selepas kelonggaran-kelonggaran tertentu diberikan untuk penggiat seni beraktiviti.
“Raihan masih menerima undangan dan menjalankan aktiviti yang sesuai dengan keadaan sekarang. Alhamdulillah, setelah diberi kelonggaran, pelbagai aktiviti dan majlis kami sertai.
“Insya-Allah ia masih berterusan sehingga tahun hadapan,” katanya.
Kata Che Amran lagi, perancangan untuk menghasilkan lagu baharu itu tetap ada. Namun pihaknya masih menunggu masa sesuai untuk berkarya.
“Kita ada perancangan. Tetapi terpaksa dihentikan dahulu memandangkan keadaan sekarang yang belum membenarkan. Insya-Allah ada perancangannya pada tahun hadapan. Material sudah ada, cuma nak siapkan sahaja.
“Untuk lagu baharu, identiti Raihan tetap ada. Vokal dan muzik percussion itu masih akan kami terapkan. Mungkin muzik ditambah baik.
“Begitu juga kerjasama dengan artis lain, itu juga kami pertimbangkan dan akan bincangkan nanti. Apa yang penting tetapi, karakter Raihan itu perlu diutamakan. Begitu juga mesej dalam lagu, itu juga penting,” katanya lagi.
Perjalanan Raihan sebenarnya bukanlah semudah yang disangka. Seperti anak seni lain, kumpulan nasyid juga berdepan onak dan ranjau tersendiri yang adakalanya lebih berat dan mencabar.
Kata Che Amran, sokongan penggemar nasyid itu antara kekuatan yang membuatkan muzik tersebut terus bertapak.
“Alhamdulillah, selama 25 tahun, banyak pahit manisnya. Permulaan kami bukan mudah. Tapi yang bagusnya apabila kita dapat menampilkan genre muzik baharu kepada masyarakat. Dakwah yang diterapkan dalam lagu dan muzik.
“Jadi, kita semarakkan industri muzik. Halangan dan cabaran itu ada. Pada awal dahulu, bukan mudah untuk raih sokongan terhadap muzik nasyid yang kami bawakan. Tajaan pun tidak banyak, kerana ramai pihak yang beranggapan muzik jenis ini tiada nilai komersialnya.
“Kami juga seperti pemuzik lain, ada perbelanjaan yang perlu dilaburkan. Untuk buat konsert nasyid atau album juga ada kos tertentu. Jadi, apabila kurangnya sokongan daripada pihak penaja, agak mencabar untuk kami gerakkan.
“Tetapi Alhamdulillah, penerimaan masyarakat itulah yang membantu untuk kami bergerak. Lebih menggembirakan lagi apabila banyak sokongan yang kami terima datangnya juga dari luar negara,” ujarnya.
KEMANISAN DAKWAH DALAM LAGU
Dakwah itu hadir dalam pelbagai medium. Lagu-lagu nasyid mempunyai impak yang terlalu besar dalam menyampaikan ilmu dan kefahaman tentang Islam.
Che Amran berkata, dia bersyukur dan gembira apabila dia dan anggota Raihan yang lain diberi peluang untuk menyampaikan dakwah menerusi keindahan lagu-lagu nasyid.
Katanya, perjuangan itu akan tetap diteruskan dan berharap agar Allah SWT membuka jalan untuk Raihan terus bertapak untuk menyebarkan keindahan Islam.
“Alhamdulillah selama lebih 25 tahun, kemanisan dakwah dalam lagu itu cukup dirasai. Ada beberapa individu yang secara langsung memberitahu, mereka tertarik kepada Islam menerusi lagu yang kami bawakan seperti lagu Puji-Pujian, 25 Rasul dan sebagainya.
“Kami juga diberitakan ada masyarakat luar negara seperti di Australia, Afrika, New Zealand yang memeluk Islam setelah mendengar lagu-lagu Raihan. Pendengar terhibur dengan lagu, tetapi sebenarnya mereka secara tidak langsung telah menerima mesej yang cukup bermakna.
“Ramai juga sahabat kita yang beragama lain memberitahu mereka tenang apabila mendengar lagu Raihan. Mereka akui lagu-lagu Raihan memberi impak besar dalam hidup mereka. Walaupun kita tak dapat berhubung dengan mereka secara langsung, tetapi menerusi lagu hati mereka sudah pun tersambung,” katanya.
Apabila disoal tentang perkembangan muzik nasyid dewasa ini, Che Amran berkata, dia dan anggota Raihan lain gembira dan menyambut baik perubahan yang dibawakan.
Katanya, kehadiran ramai penyanyi nasyid baharu menandakan muzik berkenaan kekal relevan dan akan dapat diteruskan, sesuai peredaran masa.
“Kami menerima baik. Kalau boleh, kami ingin melihat kepelbagaian dalam muzik nasyid, tidak terhad kepada satu dua jenis lagu sahaja.
“Tambahan pula, ramai penyanyi dewasa ini yang membesar dengan lagu-lagu nasyid tampil dengan kreativiti sendiri. Kami gembira, mereka ada minat untuk tubuhkan kumpulan dan nyanyikan lagu nasyid.
“Kami akan terus beri sokongan dan galakkan, lebih-lebih lagi di zaman sekarang yang penuh mencabar,” jelasnya.
Dalam pada itu, Che Amran berkata, dia berharap agar perjuangan muzik nasyid dapat diteruskan. Namun, katanya, ia perlu seiring perubahan yang disesuaikan dengan selera pendengar.
“Alhamdulillah. Kami berterima kasih dan hormat kepada penyanyi nasyid era baharu kerana sama-sama memperjuangkan industri nasyid negara.
“Sekarang zaman mencabar dan penuh idea baharu. Jadi kita tidak boleh sajikan perkara yang sama kepada masyarakat sekarang. Mereka lebih pandai menilai kesesuaian pada masa sekarang,” ujarnya.











