Memupuk rasa cinta pada alam di Avani Sepang Gold Coast - Utusan Malaysia

Memupuk rasa cinta pada alam di Avani Sepang Gold Coast

Avani Sepang Gold Coast Resort berkonsepkan ala resort di sepanjang 22 kilometer pantai Sepang menyuntik kedamaian kepada para pengunjungnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENYUSURI Sungai Sepang Besar di Bagan Lalang, Sepang, Selangor menyaksikan sendiri hutan paya bakau yang menghijau, memberikan pengalaman luar biasa.

Lebih-lebih bagi buat penghuni kota metropolitan seperti saya yang hidup di kota batu. Pengalaman mendekati alam sudah semestinya membangkitkan keterujaan.

Laut, tumbuh-tumbuhan, suasana perkampungan nelayan termasuk keunikan rumah bot dibina sebagai ruang rehat kepada pelancong antara paling menangkap pemandangan.

Pengalaman memesrai alam itu, disediakan melalui aktiviti jejak bakau di Avani Sepang Gold Coast. Ia sekali gus melengkapkan lagi produk ekopelancongan bagi individu yang gemar bercuti sambil menikmati keindahan alam.

Saya tidak melepaskan peluang yang ada. Dikenali Hutan Simpan Sepang Kechil, paya bakau itu meliputi keluasan 268 hektar sekali gus menjadi naungan kepada habitat penting kepada pelbagai spesies flora dan fauna serta hidupan laut.

Menurut pemandu pelancong, Puteri, yang mengiringi saya hari itu, kawasan berkenaan wujud sejak beribu tahun lampau.

Pokok bakau melata atas tanah seakan-akan tanah liat tetapi lembut. Persekitaran sedemikian membolehkan pokok bakau tumbuh tegap dengan akarnya menunjang keluar seolah-olah mencengkam tanah.

BERI PENGALAMAN

Kata Puteri, aktiviti seumpama itu diadakan bagi memberikan pengalaman kepada pengunjung menyemai dan memupuk rasa kecintaan kepada alam sekitar terutama dalam kalangan generasi muda supaya menghargai dan memelihara ekosistem yang merupakan khazanah berharga di negara ini.

Sebagai meletakkan ‘tanda’ pernah ke sini, pengunjung dibawa menaiki bot dan berpeluang memacak anak pokok bakau di gigi pantai. Ia sekali gus menyelitkan unsur pendidikan menghargai alam terutama dalam kanak-kanak.

Menanam pokok bakau mudah. Kita hanya perlu memetik batang pucuk yang matang terjuntai dari pokok, lalu dipacakkan di kawasan lumpur.

Begitupun, tidak boleh petik sebarangan ya, hanya staf berpengalaman sahaja dibenarkan memetiknya sebelum diberikan kepada pengunjung.

Puteri memilih beberapa benih anak pokok ketika melalui persisiran sungai itu dan kemudian pemandu bot yang dikenali Zaini membawa kami ke satu lokasi sedikit lapang untuk menanam anak benih bakau.

PENGUNJUNG diberi peluang memacak benih pokok bakau sebagai tanda pernah tiba di sini.

Kami hanya dibenarkan memacak anak pokok itu dari atas bot tanpa perlu turun ke kawasan itu. Sebabnya struktur tanah berlumpur menyukarkan langkah. Paling utama ia bagi mengelakkan keharmonian tanah di situ terjejas.

Berkongsi info mengenai pokok bakau, Zaini yang berpengalaman memandu bot selama 14 tahun berkata, kawasan di situ sebenarnya memang dikhaskan kepada pelancong untuk merasai pengalaman menanam pokok bakau.

LAMA

“Pokok bakau mengambil masa lama membesar. Kalau datang sini lima tahun lagi pun belum tentu pokok yang ditanam sudah besar,” katanya sambil menunjukkan beberapa pokok yang hidup hasil tanaman pelancong.

Zaini memberitahu pokok bakau membiak daripada anak benih yang akan jatuh tertanam ke dalam tanah.

Pokok bakau memainkan peranan dalam menjamin kawasan pesisiran pantai selain berfungsi sebagai benteng semula jadi menahan dan mengurangkan daya kekuatan pukulan ombak, hakisan tanah penahan semulajadi kepada tiupan angin kencang.

Sesekali pengunjung dapat melihat kehidupan haiwan di sini yang menjadi habitat mereka seperti ketam biru, ikan belacak dan memerang.

Zaini turut membawa kami singgah sekejap di port kera di sini. Anak-anak pasti teruja dapat melihat aksi haiwan ini apabila melihat kami membawa makanan yang disangka makanannya.

Zaini turut membawa kami singgah sekejap di port kera di sini.

Kepuasan pasti dirasai sebaik bot berlabuh di jeti selepas sejam mendapat ‘vitamin’ semula jadi.

Pada sebelah malam nanti saya bakal dihidangkan dengan persembahan api atau fire show menunjukkan aksi menakjubkan sambil menikmati suasana malam persisiran pantai kawasan persendirian di sini yang hanya dikhaskan kepada para pengunjung Avani. Tak sabar rasanya.

LOKASI IDEAL PERCUTIAN KELUARGA

Tenang dan mendamaikan. Dua perkataan ini sudah cukup menggambarkan pusat peranginan terkenal di Selangor, Avani Sepang Gold Coast Resort.

Berkonsepkan ala resort di sepanjang 22 kilometer pantai Sepang, ia menyuntik kedamaian. Alam semula jadi yang indah, dikelilingi air laut pantai tropika, pasti mencetuskan emosi segar buat sesiapa sahaja.

Terletak kira-kira 90 minit perjalanan dari ibu kota Kuala Lumpur dan tidak jauh dari Pusat Pentadbiran Kerajaan Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Avani disifatkan sebagai gateway atau keluar sebentar dari kesibukan metropolitan pada cuti hujung minggu bagi merehatkan minda.

Sebaik sahaja melangkah ke gerbang utama Avani, hembusan angin pantai dan deruan ombak sayup-sayup kedengaran sudah dapat dirasai seolah-olah menyambut kedatangan pengunjung.

Seni bina bilik penginapan direka bentuk terapung di atas air dengan binaan lakaran membentuk pokok palma menyerlahkan keunikan luar biasa hotel penginapan itu.

Jika dirakam foto dari atas, pengunjung boleh merasakan seolah-olah seperti di Palm Island, Dubai.

Persembahan api menakjubkan yang boleh disaksikan secara percuma di persisiran pantai persendirian dikhaskan kepada pengunjung Avani.

Pengunjung dilayan bagai VIP. Tidak perlu berjalan kaki untuk ke lokasi bilik penginapan kerana perkhidmatan buggy ad disediakan.

Namun, jika memilih berjalan santai anda tidak terasa penat kerana pemandangan indah sepanjang laluan tersedia, sudah cukup mengenyangkan.

Dekorasi bilik ringkas, bergaya dan nikmat. Ia kian terasa apabila kita besama keluarga atau teman, menghirup kopi panas sambil berbual di ruang berkenaan.

Saya yang diberi peluang menginap di sini amat terpegun melihat keindahan pemandangan matahari terbenam di waktu senja hanya dari balkoni bilik penginapan seperti melambai-lambai mengucapkan salam Maghrib pasti merakamkan momen indah bagi percutian anda.

Biarpun Sepang terkenal dengan makanan lautnya, Avani turut menyajikan hidangan bufet sarapan dan makan malam dengan pelbagai pilihan makanan yang sungguh sedap dan menyelerakan tanpa perlu keluar dari resort.

Segala-galanya lengkap di sini, adunan elemen relaks, santai dan pengembaraan memberikan memori percutian sebenar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN