Memahami ayat jihad dalam al-Quran - Utusan Malaysia

Memahami ayat jihad dalam al-Quran

BERPERANG atau jihad dibenarkan untuk mempertahankan Islam daripada diceroboh dan mempertahankan kesucian kedudukannya daripada serangan musuh. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Prof. Dr. Ahmad Musayar adalah seorang ulama al-Azhar yang banyak menjawab persoalan umat Islam dengan jawapan yang tuntas. Sebelum meninggal dunia pada 2008, dalam khutbah Jumaat terakhirnya beliau mengulas isu jihad pada jalan Allah.

Bulan Ramadan adalah bulan kesabaran dan bulan berjihad. Kedua-dua saling melengkapi antara satu sama lain. Sesiapa yang berjihad dia lakukan kesabaran dan sesiapa yang sabar dia telah berjihad.

Banyak kejayaan umat Islam yang dicapai dalam bulan Ramadan. Antaranya, kejayaan dalam peperangan Badar pada tahun kedua hijrah yang dinamakan dalam al-Quran dengan yaum al-Furqan dan yang kedua, kejayaan umat Islam dalam Fath Makkah (pembukaan kota Mekah).

Pembukaan kota Mekah berlaku pada tahun 8 hijrah. Ketika itu, kekuatan yang ada pada umat Islam tidak dapat ditandingi oleh golongan musyrikin Mekah. Rasulullah SAW masuk ke kota Mekah selepas 8 tahun berhijrah ke Madinah.

Baginda SAW masuk dalam keadaan merendah diri sambil berkata “Hari ini ialah hari yang penuh kasih sayang dan hari ini ialah hari memenuhi janji”. Fath Makkah ini berlaku selepas 20 tahun Nabi SAW membawa dakwah Islam.

Dalam tempoh itu, baginda dan umat Islam dizalimi, ditindas dan diperangi. Selepas Nabi SAW memperoleh kuasa dan berjaya membuka kota Makkah satu soalan diajukan kepada musyrikin Mekah: “Apakah yang kamu sangkakan aku lakukan kepada kamu?”

Musyrikin Mekah menjawab: “Kebaikan. Kamu adalah seorang saudara yang mulia dan anak saudara kami yang mulia”. Lantas Nabi SAW menjawab: “Aku berkata sebagaimana saudaraku Nabi

Yusuf berkata: “Tiada celaan di atas kamu semua pada hari ini. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kamu. Dialah Maha Pengasih antara para pengasih. Pergilah, sesungguhnya kamu semua dibebaskan”.

Sikap mulia Rasulullah SAW jelas menunjukkan rahmat dan kasih sayang Baginda SAW kepada umatnya. Natijahnya, ramai penduduk Mekah memeluk Islam. Ini juga menolak dakwaan yang menyangka Islam adalah agama paksaan dan penindasan.

TUJUAN JIHAD

Dalam kalangan masyarakat, banyak kekeliruan berlaku berkaitan syariat jihad. Perkara ini perlu dibetulkan supaya gambaran terhadap Islam tepat dan betul.

Sebab adanya syariat jihad dalam Islam ialah untuk melawan pencerobohan, menjaga akidah, menjaga tanah air dan menjaga maruah.

Kesemua sebab yang dinyatakan ini selari dan bertepatan dengan makna semua ayat jihad yang terdapat dalam al-Quran daripada ayat pertama berkaitan jihad diturunkan sehingga ayat terakhir jihad.

Ayat jihad yang pertama diturunkan semasa nabi SAW di Madinah iaitu firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mempertahankan orang beriman daripada kejahatan musuh-musuh mereka. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang suka mengkhianat dan sangat tidak bersyukur di atas nikmat-Nya. Diizinkan kepada orang yang Islam yang diperangi untuk berperang kerana mereka telah dizalimi. Dan sesungguhnya Allah maha Berkuasa dalam membantu mereka mencapai kemenangan. Mereka adalah golongan yang diusir dari kampung halaman tanpa sebarang alasan yang benar melainkan hanya kerana mereka mengucapkan tiada Tuhan selain Allah.

Kalaulah bukan kerana Allah menggerakkan hati sebahagian manusia untuk menentang kezaliman yang dibuat oleh sebahagian yang lain nescaya biara-biara rahib, gereja-gereja Kristian, Sinagong-sinagong Yahudi dan masjid-masjid yang disebut nama Allah di dalamnya akan dihancurkan. Allah pasti akan berikan pertolongan kepada sesiapa yang menolong agama-Nya. Dan sesungguhnya Allah maha Kuat lagi Maha Perkasa. (al-Haj: 38-40)

Ayat terakhir berkaitan jihad pula ialah firman Allah SWT yang bermaksud: Maka perangilah para pemimpin kaum kafir itu kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janji mereka, perangilah mereka supaya mereka berhenti daripada kekufuran lalu bertaubat. Mengapa kamu tidak memerangi sesuatu kaum yang telah melanggar sumpah janjinya, sedang pada satu masa dahulu mereka telah berazam untuk mengusir Rasulullah dari Mekah dan mereka juga yang mula-mula memerangi kamu?

Adakah kamu takut kepada mereka padahal Allah itulah yang lebih berhak kamu takuti, jika kamu benar-benar orang yang beriman? (al-Taubah: 12-13)

Jika dibandingkan dua kumpulan ayat di atas pertama dan terakhir diturunkan tentang jihad tidak ada perbezaan kandungannya dari sudut mempertahan diri dari kezaliman musyrikin Mekah.

Ia melarang semua pencerobohan, kemusnahan dan merosakkan kemuliaan insan. Jihad adalah untuk menjaga kemanusiaan, tanah air dan kemuliaan manusia.

TAFSIRAN SALAH

Kumpulan ekstremis membuat tafsiran yang salah terhadap ayat-ayat berkaitan jihad dan peperangan menyebabkan berlaku pertumpahan darah dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam.

Perkara ini amat bahaya. Ekoran itu Dar Ifta Mesir mengeluarkan keterangan bagi membetulkan kefahaman yang salah berkaitan ayat-ayat jihad.

Contoh ayat al-Quran yang mereka salah faham ialah firman Allah SWT: Oleh itu apabila kamu berjuang menentang orang kafir dalam peperangan, maka pancunglah lehernya sehingga kamu dapat membunuh mereka dengan banyak dan mengalahkannya, maka tawanlah dan ikatlah mereka dengan kuat. Setelah selesai peperangan itu, maka terserahlah kepada kamu sama ada hendak membebaskan tawanan-tawanan itu atau menerima tebusan daripada mereka. (Muhammad: 40)

Ayat ini tidak mengharuskan pencerobohan kepada sesiapa sahaja walaupun berlainan akidah. Kefahaman yang betul berkaitan ayat di atas ialah menerangkan bahawa Islam tidak sekali-kali melakukan peperangan melainkan untuk menjaga umat Islam dari kejahatan musuh.

Islam adalah agama yang mengajak kepada keamanan dan kesatuan. Islam juga menjaga dan menghormati mereka yang berlainan akidah yang mengadakan perjanjian dengan orang Islam.

Orang Islam diajar berpegang kepada janji selagi mana tidak ada pencerobohan dan pengkhianatan.

Peperangan yang disyariatkan Allah tidak berasas kepada kecelaruan pemikiran, membalas dendam, berbeza faham politik dan mentakfirkan untuk membuka jalan kepada pembunuhan.

Bahkan Allah SWT mengikat seruan jihad dan peperangan yang disyariatkan adalah bersih daripada semua kecelaruan dan hawa nafsu. Jihad adalah untuk mengangkat kedudukan Islam dan umat Islam.

Dua tahun terakhir hayat Nabi SAW turun ayat yang melarang umat Islam balas dendam terhadap orang yang menghalau mereka dahulu.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kebencian terhadap sesuatu kaum, disebabkan mereka pernah menghalangmu dari memasuki Masjid Haram, mendorongmu bertindak melampui batas kepada mereka… (al-Maidah: 2)

  • PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN