Mukadimah
Masyarakat Islam masih ramai yang memandang serong terhadap orang seni hiburan. Persepsi mereka orang terlibat seni bergelumang dalam maksiat. Walhal, bukan semua begitu. Malah ada pengajaran yang dan manfaat yang terkandung dalam karya seni.
Demikianlah karya Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang sarat dengan satira mengkritik dan membetulkan kebejatan dalam masyarakat. Malah filem-filem beliau masih segar dalam ingatan kita dan ada yang masih relevan sehingga hari ini.
Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual DATUK TUAN ASMAWI TUAN UMAR bagi mengupas isu ini. Beliau adalah penyampai suara latar antarabangsa di sembilan negara Arab tidak termasuk Malaysia, Singapore,Indonesia dan Thailand.
Beliau juga mencatat sejarah menjadi pelakon tempatan pertama dipilih membintangi filem Hong Kong, The Gun Point iaitu sebagai Alexander, Ketua Perunding dengan Pengganas Tebusan Pelancong Hong Kong. Penggambaran akan bermula 1 Disember ini.
Beliau juga adalah Imam Kanan, Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
======================================================
Tahniah atas pemilihan datuk membintangi filem produksi Hong Kong, The Gun Point. Ia bukan sahaja penghormatan dan pengiktirafan kepada pelakon Malaysia tetapi juga golongan ustaz. Apakah harapan dan kesempatan yang perlu dimanfaatkan daripada pemilihan ini?
Terima kasih kepada semua pihak rakan produksi, produser dan karyawan Malaysia yang selama ini saya bekerjasama. Tanpa garapan karya mereka mungkin saya tidak berada di tempat ini.
Selain pengiktirafan, saya mewakili ramai yang tahu saya agamawan. Bukanlah orang alim tetapi sikit sebanyak status beri kesan kepada agamawan di Malaysia. Saya memperjuangkan al Fannu lil mujtamak atau seni untuk masyarakat.

Penghormatan yang diberi kepada saya baik untuk lakonan dalam atau luar negara tujuannya hanya satu iaitu menjadikan medium industri kreatif sebagai platform dakwah untuk saya.
Sebabnya, kita lihat industri seni itu rata-ratanya dicemuh dan dipandang serong oleh ramai agamawan. Kita tak nafikan kerana bidang ini melibatkan selebriti dan artis. Namun, isu ini bagi saya lebih kepada masalah peribadi.
Dalam bab lapangan kerja, itu tak ada masalah. Kebanyakan masalah timbul angkara individu itu sendiri bukannya industri. Jadi keberadaan saya dalam industri adalah bagi membantu menjelaskan bagaimana kita boleh memartabatkan bidang seni ini ke tahap yang lebih mudah difahami kepada masyarakat.
Dimensinya perlu berubah. Kalau dulu masyarakat melihat orang terlibat dunia seni bergelut dengan dosa. Tetapi sebenarnya tak semua semua begitu. Ramai artis yang mencari makan dalam bidang ini. Insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik bagi merealisasikannya.
Kepada syarikat produksi yang pernah mengambil saya berlakon saya ucap terima kasih atas peluang dan kepercayaan kepada saya.
Tidak dinafikan, akan ada pihak yang mengkritik penglibatan datuk yang juga ustaz dan imam dalam dunia lakonan. Antaranya tak sesuai ustaz terlibat dalam hiburan kerana ia benda lagha dan bawa kepada haram. Apa komen datuk?
Hidup dalam masyarakat majmuk, kita perlu kepelbagaian pola berfikir. Saya melihat kaedah seni sebagai peluang bagaimana nak menjadikannya medium dakwah.
Netizen boleh tanya mereka yang pernah bekerja dengan saya, semasa saya berada di lokasi. Walau berlakon watak jahat saya turut berkongsi hal agama seperti kepentingan solat, berbuat baik dan perkara-perkara yang asas dengan kru terlibat. Pendek kata, sedikit sebanyak ada usaha dakwah yang saya lakukan.
Kalau saya tak buat semua pun saya tak tinggal semua. Saya memberi laluan kepada ulama yang hebat-hebat berceramah di masjid. Jadi, memadailah saya sebagai orang yang tak berapa alim ini berceramah di lokasi penggambaran sahaja.
Berbekal sedikit ilmu dan panduan yang ada, saya tahu di mana saya bermula dan berada dan ke mana saya nak bawa diri dalam seni, Kalau dulu kita kenal almarhum Hj. Mahadi yang juga seorang ustaz dan datang dari keluarga agama, begitu juga Hj Arshad, Hj M. Rajoli yang juga sahabat saya, seorang bilal.
Saya pula orang kenal sebagai seorang imam dan ustaz. Jadi saya terima kritikan. Ada kritikan membina yang boleh disimpan untuk penambah baik tetapi ada kritikan itu saya anggap sampah dalam longkang.
Sebabnya ada tabiat orang kita yang tidak suka melihat orang lain naik (berjaya) lalu mereka kecam dan kutuk. Ini dibuat dengan harapan netizen yang lain turut kecam saya.
Yang penting saya sentiasa jadikan panduan ajaran Allah dan rasul dalam kerjaya saya. Setakat terlibat mulai 2008 sebagai pelakon, masuk televisyen (tv) sejak 1997 lagi, berlakon pun banyak watak yang berlawanan dengan sifat saya sebagai ustaz sebab itu saya dikecam.
Dulu pun dakwah bukan hanya di masjid tetapi termasuk medium filem. Contohnya filem Faj al Islam keluaran 1971 dan Lion of the Desert pada 1981 walaupun para pelakonnya beragama kristian.
Demikianlah kalau dah nama pun pelakon.
Untuk itu, kita kena tengok apa yang seseorang itu cakap bukan tengok siapa yang bercakap. Sebagai anak seni, saya dah lali dengan kecaman.
Kalau kritikan yang betul, saya akan baiki. Mana yang bersifat peribadi saya ketepikan. Sebabnya, kalau banyak sangat fikir tentang orang banyak kerja tak jadi.
Ada juga segelintir orang yang terlibat dengan seni yang berpandangan mereka perlu berhijrah dan meninggalkan dunia seni kerana pendapatannya ‘haram’. Sehinggakan ada yang jatuh dalam kategori asnaf kerana kehilangan mata pencarian utama sebagai pelakon atau penyanyi. Adakah tindakan sedemikian tepat?
Bagi menjawabnya, elok kita melihat firman Allah SWT yang bermaksud: Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepada kamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu lupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi. (al-Qasas: 77)
Saya amat menghormati rakan-rakan artis atau anak seni yang membuat penghijrahan contohnya daripada tak bertudung kini dah bertudung. Kalau dulu ‘luar biasa’ kini jadi orang Islam semula.
Dalam bab hijrah ini, teringat kepada sabda Nabi SAW yang bermaksud: Tiada hijrah selepas al-Fath (pembukaan Mekah). (Riwayat Bukhari)
Penghijrahan yang kita lakukan kini adalah penghijrahan jiwa daripada tidak baik kepada lebih baik. Umpamanya kalau dulu terlibat dalam tabiat buruk contoh minum arak dan judi, kalau dah berubah kepada yang menghayati Islam, alhamdulillah. Saya amat sanjung tinggi.
Cuma dalam hidup ini, kita masih ada tanggungan. Sebab itu Allah sebut jangan lupa nasibmu di dunia selain mencari urusan akhirat. Tak ada salah jadi anak seni syaratnya kena jaga batas sebagai orang Islam.
Kalau kita lihat perlu hijrah keseluruhan langsung tinggalkan kerjaya seni dan itulah satu-satunya yang kita mampu buat atau jalan yang kita pilih, itu adalah suatu ‘maha silap’.
‘Maha silap’ maksud saya kerana kita masih boleh meneruskan kerjaya seni seperti biasa. Cumanya apabila sampai waktu solat, kita tunaikan solat dan di situ ada keberkatan pada rezeki.
Allah melihat dalam bidang apa sekalipun kerja kita. Saya suka menyeru kepada rakan-rakan seni yang sudah berhijrah. Anda boleh kembali bekerja seperti biasa.
Kalau nak menyanyi banyak juga lagu yang dah diubah lagu rock, pop rock dengan lirik ketuhanan dan sebagainya. Boleh kembali berlakon seperti biasa dan tak semestinya berlakon jadi ustaz saja. Ini beri peluang kita berdakwah di set (lokasi).
Dalam Islam, banyak perkara yang hukum asalnya adalah harus. Demikian juga penglibatan dalam dunia seni dan hiburan. Apakah aspek positif yang dapat diterapkan dan diperbaiki dengan adanya golongan agama melibatkan diri dalam bidang ini?
Saya aktif berlakon pada 2008. Sebelum itu bekerja dengan produksi tv dan tidak nampak ketara kru tidak solat. Prinsip saya di mana ada mad’u (golongan sasaran) kita pergi. Dalam dunia seni, orang kata banyak perkara tak elok. Jadi saya masuk nak tengok di mana yang tak eloknya?
Setelah berkecimpung dalam bidang seni, ia tidaklah seburuk seperti digambarkan orang luar. Orang yang tak solat itu bukanlah biasa tetapi masih ada peluang yang kita boleh baiki.
Kadang-kadang orang tidak solat dan tidak puasa kerana pengaruh rakan-rakan. Saya tak ada masalah orang tak solat atau tak puasa depan saya.
Cuma saya beritahu, saya kasihankan mereka. Sebab kita buat masalah kepada Pencipta kita.
Dari situ mungkin timbul kesedaran. Alhamdulillah kalau dulu tinggal solat sekarang mereka dah solat. Jadi kalau pun tak banyak sekurang-kurangnya ada kesan kita bawa mesej agama di lokasi penggambaran.
Proses Islamisasi itu harus bergerak dengan evolusi masa. Contohnya, dalam penggambaran di Perak selama dua bulan. Sebelum ini orang kampung kata tak pernah nampak orang solat kalau penggambaran.
Shooting berhenti makan saja dan sambung balik. Kali ini alhamdulillah seronok tengok. Nak shooting di rumah orang pun mereka bagi sebab bila tiba waktu solat kita solat berjemaah. Mereka pun seronok.
Bukan saya nak kata ia hasil usaha saya tetapi sedikit sebanyak hasil ‘bisikan’ saya kepada sutradara dan kru produksi yang mahu mendengar, menampakkan hasil. Saya akui bukan semua pengarah suka dengan saya.
Yang utama, jaga solat. Ada kru yang tanya, kenapa job banyak tetapi duit tak lekat? Saya kata jawapan itu ada pada diri kita. Kalau kita jaga Allah, Allah jaga kamu. Kadang-kadang Allah bagi gaji RM2,500 tetapi Dia tarik balik dengan bumper kereta kita pecah RM3,000.
Sebaliknya, kalau kita bekerja dan jaga hubungan dengan Allah dan banyak selawat, Allah bagi cukup malah lebih lagi. Rezeki bukan bergantung kepada kuantiti tetapi kualitinya (keberkatannya).

Barangkali, tanggapan-tanggapan negatif terhadap dunia hiburan disebabkan kegagalan kita melihat ibadat secara lebih luas. Lalu terlupa yang kerja itu juga adalah ibadat. Bagaimana nak membetulkan tanggapan ini?
Ini bergantung kepada artis sendiri. Yang nampak buruk di mata masyarakat mungkin penampilan. Sebut saja artis, orang popular mesti sombong. Ramai yang melihat kita hidup tayang kekayaan dan tayang kemasyhuran. Kita jangan lupa ini semua urusan Allah. Kalau Allah naik tinggikan darjat kita, Allah akan naikkan begitu juga sebaliknya.
Tanggapan masyarakat yang jadi kotor mungkin sebab ramai seniman terpalit dengan perkara yang jadi keresahan masyarakat. Menyebabkan orang tengok industri ini buruk. Sedangkan kita boleh perbetulkan sama-sama untuk jadikan kerjaya ini seperti juga kerjaya lain.
Kita jangan ikut seniman di Barat yang pemikiran dan tindakan mereka banyak bercanggah dengan kita. Kita mesti ada nilai ketimuran. Jadilah orang yang berjalan di muka bumi ini merendah diri waima terkenal macamana pun di dunia ini.
Ingat firman Allah SWt yang bermaksud: Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan. (al-Furqan: 63)
Ini yang orang tengok bila dah popular mula buat hal. Saya tak mahu jelaskan istilah buat hal tu, tuan-tuan boleh tafsir sendiri. Saya tak mahu rakan artis terasa hati.
Di Indonesia, kita boleh berbangga dengan Buya Hamka yang keluar daripada dakwah tradisional kerana beliau menggunakan pelbagai media untuk menyampaikan pengajaran ilmu Islam. Antara yang masyhur adalah novel Tenggelamnya Kapal van der Wijck. Barangkali di Malaysia, datuk boleh mengisi kelompongan ini?
Saya mungkin tidak sehebat Prof. Hamka yang mengarang Tafsir al-Azhar tetapi sekurang-kurangnya saya sedaya upaya mengisi ruang yang ada.
Contoh paling dekat, dalam drama Malaysian Ghost Stories yang ditayangkan di Astro Ria, terlanjur saya diberi tanggungjawab sebagai pelakon dan penasihat kandungan saya berikan ia nafas baharu.
Kalau sebelum ini, selalunya orang menonton filem seram dan hantu di Malaysia, penamatnya unattended dan tergantung kita dapat betulkan dimensi. Sedikit sebanyak kita bawa nilai Islam supaya masyarakat lihat kita ada kaedah penyelesaian tersendiri. Yang lebih penting, kaedah itu selari dengan kehendak agama.
Kalau kita menonton filem Bollywood dan Tamil, sejahat mana pun ceritanya pasti ada babak di rumah ibadat. Dengan kata lain, mereka akan kembali ke jalan ketuhanan ikut cara mereka. Kalau filem kita pula ada babak nikah dan masjid. Namun kadang-kadang elemen nikah saja tak berjaya menjentik hati kita.
Kadang-kadang dialog pelakon yang memberi kesan untuk diamalkan oleh penonton pada masa akan datang. Insya-Allah menjadi hasrat saya suatu ketika nanti dengan bantuan rakan-rakan akan membawa karya untuk ditonton semua rakyat Malaysia. Kita akan masukkan elemen-elemen budaya sejagat untuk dikongsi dan diterima semua tanpa mengira agama.










