Kenduri pertemuan terakhir - Utusan Malaysia

Kenduri pertemuan terakhir

MANGSA kemalangan. Abd Razak Majid dibawa bagi menjalani ujian Covid-19 selepas kejadian yang meragut nyawa isteri dan anak-anaknya di Hospital Shah Alam, Selangor. UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kegembiraan sembilan beranak bertemu saudara mara dalam satu majlis kenduri di Melaka rupa-rupanyanya menjadi pertemuan terakhir apabila kesemua mereka maut dalam kemalangan di Lebuhraya Elite arah Shah Alam berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ.

Tragedi terbabit berlaku ketika seorang ibu bersama lapan anaknya termasuk seorang bayi lelaki menuju pulang ke rumah mereka di sekitar Padang Jawa, di sini.

Ketika dalam keadaan hujan lebat pada awal pagi itu, kereta Proton Wira yang dipandu Abdul Razak Majid, 50, tiba-tiba mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan di lokasi kemalangan berlaku.

Mangsa kemudian menghubungi anak saudaranya, Mimie Nafiesa Abdullah, 19, sebelum dia menaiki Perodua Axia dipandu sepupunya Ihyat Sufi Shokip, 20 dan datang bersama rakannya Mohamad Rahimi Rolex, 27, yang memandu sebuah lagi Proton Wira.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian sewaktu Mohamad Rahimi sedang membantu membaiki kerosakan bateri pada kenderaan Abdul Razak, sebuah lori treler tiba-tiba dari arah belakang merempuh mereka yang berhenti di tepi lebuhraya terbabit.

Rempuhan tersebut meranapkan tiga buah kereta termasuk kereta Abdul Razak yang dinaiki isterinya, Norul Naziah Buyong, 37, bersama anak-anaknya Razarul Amin Abd. Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah Abd Razak, 12; dan Muhamad Aizat Syazwan, 10.

Rempuhan itu turut mengorbankan empat lagi anaknya Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan.

Lebih memilukan, Abdul Razak yang tercampak ketika rempuhan itu sekadar mampu melihat isteri dan anak-anaknya berada dalam kereta yang terseret bersama lori treller dipandu Mohd. Khairol Kamal Abdullah, 45.

Lori terbabit turut dinaiki anaknya Haiqal Haziq, 19 dan Hafiey Hamziey,

Lebih memilukan, ketika kejadian kereta Proton Wira dinaiki keluarga itu sedang berhenti di tepi jalan akibat mengalami kerosakan sebelum dipercayai dilanggar sebuah treler.

Mangsa yang terkorban adalah Norul Naziah Buyong, 37, dan empat anaknya iaitu Razarul Amin Abd. Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah Abd Razak, 12; dan Muhamad Aizat Syazwan, 10.

Empat lagi anak suri rumah itu turut maut iaitu Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan.

Tragedi itu turut mengorbankan Mohamad Rahimi Rolex, 27, yang dipercayai mahu membantu membaiki kereta keluarga tersebut.

Adik kepada Norul Naziah, Nurul Atika, 33, berkata kesemua mangsa termasuk abang iparnya, Abd. Razak Majid, 50, berhenti di lokasi kejadian kerana kerosakan kereta selepas pulang dari kenduri di Melaka, kira-kira pukul 10.09 malam.

“Pada waktu itu, saya ada menghubungi kakak yang memaklumkan mengenai perkara berkenaan.

“Saya difahamkan ketika kejadian kakak dan lapan anaknya menunggu dalam kereta Wira itu sebelum kemalangan berlaku,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Shah Alam di sini, hari ini.

Menurutnya, dia masih terkejut dan tidak menyangka kata-kata arwah kakak menjadi petanda awal pemergiannya.

“Minggu lalu, kami ada bertemu dan dia ada bertanya adakah saya akan sedih jika dia ‘ikut’ seorang adik kami yang meninggal dunia akibat Covid-19.

“Saya tidak menduga ia menjadi kenyataan dan masih tidak dapat menerimanya kerana hubungan kami terlalu akrab,” katanya.

Tambah Nurul Atika, seorang lagi anak lelaki mangsa yang berusia 14 tahun terselamat kerana tidak mengikuti keluarga berkenaan ketika kejadian.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.42 malam tadi.

“Nahas itu melibatkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler menyebabkan 17 mangsa terlibat dalam kemalangan itu dan 10 daripada mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Jelas beliau, selain pemandu Wira iaitu Abd. Razak, mangsa yang turut cedera antaranya Ihyat Sufi Shokip, 20; Mimie Nafiesa Abdullah, 19; dan Ummi Nasuha Annuwar, 20.

Pemandu treler dan dua penumpangnya bagaimanapun tidak mengalami kecederaan. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×