Itu konspirasi tipu rakyat namanya! - Utusan Malaysia

Itu konspirasi tipu rakyat namanya!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Menyingkap tirai 2021 yang bakal berlabuh, macam-macam cerita yang mewarnai lanskap sosiopolitik dan ekonomi negara. Sudahlah sejak 2020 negara dilanda wabak Covid-19, tak cukup sekadar itu, sepak terajang dan jatuh bangun kerajaan serta pemimpin juga, membuatkan Malaysia penuh berwarna-warni.
Kali ini, Mingguan Malaysia mendapatkan pandangan bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim. Beliau sosok kontroversi yang tak perlu diperkenal, bukan saja kerana rekod politiknya yang pernah menganggotai UMNO, PKR dan DAP, malah juga pandangan dan kritikannya yang tajam, pedas dan ultra progresif.
Ikuti wawancara di kediaman beliau di Petaling Jaya minggu lalu, bersama wartawan FAHMI FAIZ dan jurukamera FAUZI BAHARUDIN.

MINGGUAN MALAYSIA: Sebagai pengamal undang-undang, komen Datuk terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak?
ZAID: Saya rasa komen itu sudah banyak orang buat, ada yang sokong dan ada tidak. Tapi pada saya, yang penting daripada kes ini, bukan bergantung sangat kepada apa pandangan kita terhadap keputusan itu, kerana pandangan kita tidak relevan, dan hakikatnya keputusan telah ditetapkan mahkamah. Jadi apa yang penting dan relevan adalah perkara itu katakanlah dilakukan oleh Najib, keputusan untuk membetulkan dirinya, semua itu tak boleh berlaku kalau pihak-pihak lain mengikut atau memahami tanggungjawab mereka.

Maksudnya?
Seperti telus dan sanggup mempertahankan apa yang benar. Misalnya, kalau Najib suruh Pengarah SRC atau sesiapa masukkan duit dalam akaun dia, pegawai-pegawai kerajaan yang berpangkat tinggi ini sepatutnya tahulah perkara itu salah, jadi kenapa perlu ikut arahan Najib? Lepas itu, soal Najib masuk duit dalam akaun dia, berbilion ringgit katanya, sama ada sumbangan atau apa saja, itu semua Ambank tahu, Bank Negara Malaysia tahu, Tan Sri Zeti Aziz tahu, pegawai bank tahu, macam mana perkara ini dibenarkan?

Boleh ulas lanjut?
Apa yang jelas melalui kes ini, kita ini dari pegawai-pegawai sampai orang kita, tidak ada kemampuan untuk mempertahankan perkara benar, tiada integriti dan kesanggupan. Jadi ia bukan saja mencerminkan Najib, ia mencerminkan seluruh masyarakat.

KESAN TERHADAP UMNO
Apa pula implikasi keputusan kes Najib terhadap UMNO?
Dari segi implikasi terhadap politik, yang itu bolehlah kita komen. Saya rasa hal ini akan memerlukan kepimpinan UMNO yang tertinggi untuk ambil keputusan. Sama ada adakah kita mahu ketepikan orang yang dianggap bersalah rasuah dan sebagainya, atau kita kekalkan beliau dalam parti. Bukan saja Najib, malah semua yang lain pun. Katalah lepas ini ada lagi keputusan terhadap Presiden parti pula, atau Setiausaha Agung dan sebagainya, jadi ini implikasi pertama.

Ada lagi kesan lain?
Kedua, UMNO juga harus ambil pendirian secara bersama, maksudnya apakah wajar parti ini mengambil sikap terhadap kes-kes yang didakwa terhadap pemimpin mereka. Apakah ia satu pendakwaan yang adil, ataupun ia sesuatu yang terpilih, atau ada konspirasi lain.
Semua ini dibualkan orang. Tapi yang saya mahu tahu, apa pendirian pimpinan UMNO? Kalau kita tiada pendirian, kita tak akan dapat ambil tindakan susulan. Ini rakyat yang cakap, ada rakyat cakap pemimpin UMNO rasuah, ada yang kata bukan, ada yang kata ia konspirasi. Tapi kepimpinan UMNO sendiri, mesti ada pendirian.

‘PANDANGAN SAYA TAK RELEVAN’
Pendirian Datuk pula selaku bekas orang kuat UMNO Kelantan dan ‘otai’ politik, bagaimana? Ini satu konspirasi atau macam mana?
Untuk saya, bukti-bukti sudah jelas. Namun adakah Najib melakukannya seorang diri, atau orang lain yang buat ke atas beliau? Itu semua soal bukti. Tapi hakim kata, dia yang suruh.
Jadi saya tak mahu komen berhubung aspek undang-undang dalam isu ini sebab saya bukan hakim. Tapi pada saya, kes ini satu yang malang kerana, untuk seorang bekas Perdana Menteri (PM), minta rasuah dengan jumlah RM40 juta lebih ini, pada saya agak sukar saya hendak percaya.

Kenapa sukar percaya?
Sebab jumlah itu terlalu kecil untuk seorang PM. Maksud saya, logiknya mana-mana PM minta rasuah cuma RM40 juta saja. Tapi pandangan saya ini tidak relevan, ia sekadar pendapat saja.

KONSPIRASI TIPU RAKYAT
Apa kesan kes ini terhadap Perikatan Nasional (PN) pula? Maklumlah, ada dalam PN yang sering guna label ‘kluster mahkamah’ terhadap UMNO?
PN ini tak payahlah. Apa PN ini, untuk ikat apa? Tujuan perikatan ini untuk pertahankan apa?
Kalau untuk cari undi mahu menang, kita pakat lah saya dengan Fahmi ini, kita pakat, bukan mahu tolong rakyat dan pertahankan apa-apa, cuma mahu menang. Jadi itu tak payahlah. UMNO sebagai parti lama, kena berjuang atas dasar yang kita percaya.
Kita menang dululah, kemudian baru pakat. Kalau tak cukup kerusi bentuk kerajaan, bolehlah berpakat. Tapi kita tak boleh nak pakat sekarang, bahagi kerusi supaya kamu jangan lawan aku, itu bukan berpakat, itu konspirasi tipu rakyat.

Tapi untuk elak bertembung tiga penjuru, bukankah perlu ada pakatan?
Apa pasal mahu elak? Kita mahu menang semata-mata untuk menang, atau kita mahu menang kerana prinsip perjuangan kita? Kalau semata-mata mahu menang, itu konspirasi tipu rakyat.
Itulah pemikiran yang dangkal pada saya, kita perjuangkan parti yang bukan parti kecil yang serpihan. UMNO parti besar! Parti besar mesti ada landasan besar dan jelas, kalau tak sanggup berhadapan dengan rakyat melalui hujah dan dasarnya sendiri, maka ini bukanlah sifat parti yang besar dominan. Kamu cakap kamu parti dominan, mahu pimpin negara, kamu mesti tahu apa kamu buat.

Apakah Datuk cuba sampaikan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak relevan sebagai juara Melayu-Islam, dan hanya UMNO layak?
Semua tak relevan. Parti kecil-kecil ini semua tak relevan.
Maksud saya tak relevan itu, ertinya kalau mereka pakat dengan Pas, jadi Bersatu ini orang UMNO. Mereka pakat dengan Pas, jadi apa relevannya? Pas dengan UMNO, 50 tahun bertembung untuk dasar berbeza, dan kemudian tiba-tiba kita mahu pakat? Itu konspirasi namanya.

KENAPA TAKUT SANGAT HANTU?
Bagaimana pula komen terhadap Muafakat Nasional (MN) yang sekarang semakin malap sinar bahagia?
Itu pun tak relevan juga. Sebab Pas perjuangannya apa? UMNO apa? Kita kena balik kepada asal. UMNO ditubuhkan – dan sekarang ini tidak begitu – namun dulu ditubuhkan untuk majukan orang Melayu, untuk majukan negara ini dan membina sebuah negara majmuk yang progresif di bawah sistem demokrasi.
Itu yang kita perjuangkan. Itu tahun 1960-an, tak tahulah kalau UMNO sekarang dah lain. Pas pula mahu perjuangkan apa? Mahu majukan apa? Mereka bukan mahu majukan Melayu, Pas mahu Islam saja, Islam yang mereka faham. Jadi kalau UMNO mahu pakat dengan Pas, menunjukkan ketandusan UMNO sekarang ini.

Sudah tentulah UMNO tandus, sebab kalah PRU14. Sebab itu parti-parti berteras Melayu-Islam bergabung, jadi apa kata Datuk dalam soal ini?
Kalah sekali sudah mula mahu rapat dengan Pas, kalah sekali dah mula mahu buang landasan lama, kalah sekali mula mahu muafakat, itu semua karut punya pemikiran.
Tak ada kesan baik (menubuhkan MN atau PN), cuma ada kesan buruk saja. Sebab kamu berpakat itu hanya untuk menang pilihan raya saja. Kamu tiada perjuangan perpaduan Melayu. Perpaduan Melayu untuk apa? Untuk jatuhkan Najib? Perpaduan Melayu untuk konspirasi?

Barangkali perpaduan untuk pastikan blok politik haluan kiri tak berkuasa kembali?
Mana ada blok kiri blok kanan. Orang Melayu majoriti 70 peratus dalam negara ini. Tak payah blok pun, sebab logiknya orang Melayu secara automatik ialah majoriti. Jadi apa yang kita bimbang sangat ini? Apa yang kita takut sangat kepada hantu-hantu yang kita tak pernah lihat ini?
Macam mana mahu progresif, kita takut sana takut sini. Takut Cina, takut DAP, takut Melayu jadi bukan Islam, semua kita takut. Sedangkan apa yang kita perlu takut adalah harga barang yang sekarang ini naik mencanak-canak!
Kita takut menteri dan timbalan yang berpuluh-puluh orang ini, ini yang kita takut. Kita takut duit negara hanyut tak tentu hala, itu yang patut kita takut. Kita patut takut projek-projek diberi kepada keluarga orang-orang tertentu.

Tapi dari sudut matematik, 70 peratus Melayu berpecah kepada sekurang-kurangnya tiga blok kalau PN/MN bubar, iaitu Melayu pro-UMNO, pro-MN/PN dan pro-pembangkang, tak masuk lagi yang atas pagar dan golongan muda yang anti kerajaan. Komen?
Itu tak penting kalau kita ajar orang Melayu berfikir, kita ajar mereka buat keputusan. Ini negara demokrasi. Kita jangan takut pecah, kita kena percaya bahawa inilah pilihan rakyat dan kita tadbir negara melalui proses itu. Semata-mata kita kalah PRU14, kita kena atur balik? Atur balik untuk tujuan apa? Demokrasi itu ertinya kena terima keputusan rakyat.
Yang penting, kita majukan pemikiran supaya rakyat buat keputusan betul. Kita mahu demokrasi atau tak? Kalau tak, cakap lah tak mahu, kemudian buatlah dasar, Melayu-Islam dikira dua undi dalam pilihan raya, yang lain satu undi. Macam itu senang.

DAP
Komen Datuk setelah bertahun duduk dalam DAP, malah diangkat sebagai Pengerusi parti di Kelantan?
DAP ini tiada keyakinan diri, macam UMNO juga. Cuma mereka ini, gagasannya Cina. Jadi mereka ini sepertilah UMNO tak percaya bahawa orang Cina boleh membantu membangunkan negara ini, mereka pun macam itu. Apapun, DAP ini cuma hal kecil saja.

PUNCA MASUK DAP
Datuk lantang kritik kerajaan dalam media sosial. Apa yang Datuk mahu sebenarnya, regime change? Mahu PH berkuasa kembali?
Tak, saya tak mahu itu, cuma saya mahukan kerajaan yang berkesan (good government). Saya mahu pemimpin yang bagus dan jujur. Pemimpin yang cakap betul, jangan penipu-penipu sebab saya lihat banyak sangat penyangak.

Apa maksud Datuk penyangak, dan siapa yang dimaksudkan?
Apa itu penyangak? Ini orang yang curi, yang tipu rakyat, ambil projek, banyak lah. Tak boleh sebut, nanti saya kena saman. Tapi ramai, dan sebab itu negara macam ini, tak maju.
Sebab pemimpin kita tak berfungsi. Sebab itu, berbalik kepada UMNO, kita ada daya kepimpinan yang sangat baik dalam diri Najib Razak. Ini contoh pemimpin, kalau kita ketepikan isu 1MDB, ini contoh pemimpin yang berani. Najib mahu tukar corak penjawat awam, dia mahu bangunkan sistem rel keretapi yang berkesan merentas negara kerana mahu majukan kawasan Melayu pinggir bandar.
Begitu juga dia majukan sistem pengangkutan di Sabah, malah dia laksanakan banyak idea nasional yang berkesan. Tapi UMNO bodoh, UMNO tak sokong dia. Kalau saya UMNO, saya lantik dia jadi Perdana Menteri. Soal kes itu soal lain, kita tolak tepi dulu dalam konteks ini, namun dia adalah pemimpin UMNO terbaik sekarang ini.
Ciri-ciri kepimpinan yang diperlukan macam Najib. Tapi dia tak sempat, sebab banyak orang berkuasa tekan dia, saya tahulah. Silap dia sebab pecat saya, orang kalau pandai main bola dan boleh jaringkan gol, kamu simpan.

Maksudnya, di mata Datuk parti mana yang masih mampu galas tanggungjawab mengemudi negara?
UMNO lah. Tapi selagi UMNO ambil orang-orang yang mengampu, cium tangan pemimpin, maka Melayu tak akan maju. Jadi kamu tanya saya, apa yang saya mahu? Saya mahu orang Melayu itu maju dan berjaya. Saya datang dari kampung, saya orang miskin, UMNO yang membantu saya. Jadi orang macam saya ini hidup sebab UMNO.

Kalau macam itu, kenapa masuk DAP?
Pasal saya mahu tukar DAP, tapi mereka tak mahu bagi saya jadi ketua, nak buat macam mana (tertawa). Kita kena tahu semua, sebab itu kita kena masuk. Kalau tak macam mana kita mahu tahu.

Apa yang Datuk tahu pasal mereka?
Ya lah, saya tahulah bahawa mereka itu pun takut tentang mahu lebih terbuka.

ISU HARGA BARANG
Komen terhadap isu kenaikan harga barang yang mencanak, ada mendakwa ia konspirasi untuk rosakkan imej Perdana Menteri?
Tiada konspirasi. Harga barang ini isu global, fenomena dunia. Tapi itu tak bererti kita kena duduk tak buat apa-apa. Ini berkaitan dengan isu rantaian bekalan yang terkesan selepas pandemik Covid-19.
Seluruh dunia harga barang naik, tapi itu tidak bererti kita tak boleh buat apa-apa. Tapi kita mahu pemimpin yang berterus terang kepada rakyat. “Oleh sebab harga barang naik, maka untuk tiga bulan berikutnya kerajaan akan beri itu dan ini untuk tampung kenaikan”, misalnya.

ROYALTI MINYAK
Apa pandangan terhadap isu royalti minyak kepada Kelantan?
Dalam perjanjian tahun 1975, kerajaan pusat bagi royalti kepada Terengganu lima peratus, itu perjanjian 1975 apabila negeri-negeri dapat lima peratus. Tapi bila Terengganu jatuh kepada Pas, ia dipanggil wang ehsan, dan di Kelantan pun dipanggil wang ehsan. Wang ehsan itu tak tahulah, berapa dia mahu bagi, dia bagilah.
Tapi kerajaan Pas tahun 2010, masa zaman allahyarham Nik Aziz saman Petronas. Lepas itu, zaman Hadi Awang pada 2019, tarik balik sebab Tun Mahathir Mohamad (PM-7) bagi RM600 juta. Jadi kita hak rakyat ini, kita tak boleh main-main.
Kita ada hak atau tidak? Kalau kita ada hak, kita tuntutlah, apa kita tarik-tarik? Tapi soal sekarang ini, tak perlulah sentuh aspek undang-undang. Ini bukan isu perundangan, ini isu politik. Kalau saya menang jadi wakil rakyat dalam pilihan raya akan datang, saya cari 10 orang wakil rakyat yang sama pemikiran macam saya, saya tarik sokongan kepada PM kalau kerajaan tidak bayar yang sepatutnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×