Dalam mukadimah kitab Pembaharuan Pemikiran beragama dalam Islam, Muhammad Iqbal menyatakan sesungguhnya al-Quran adalah kitab yang perlu diberi perhatian secara praktikal mengatasi perhatian secara teori. Kebanyakan kandungan kitabnya ini berasas kepada huraian makna al-Quran.
Semua tujuh bab dalam kitab ini adalah tajuk ceramah dan pembentangan yang disampaikan Muhammad Iqbal di antara tahun 1928 hingga 1930 di beberapa bandar utama di India. Boleh dikatakan setiap halaman kitab ini diisi dengan beberapa ayat al-Quran yang menjadi fakta dan bukti yang jelas.
Muhammad Iqbal dilahirkan pada 9 November 1877 di Punjab. Semasa kecil, beliau menghafal al-Quran dan mempelajari bahasa Parsi, bahasa Arab di samping bahasa ibundanya bahasa Urdu.
Semasa pengajian peringkat kuliah di Lahore, beliau adalah pelajar yang pintar dalam subjek falsafah. Pada 1905 beliau menyambung pengajian Universiti Cambridge dan berjaya memperoleh ijazah dalam bidang falsafah dan ekonomi.
Bakatnya amat terserlah dalam menggarap kata-kata hikmah berunsur keislaman. Perkara utama yang ditekankan oleh Iqbal dalam penulisannya baik dalam bentuk syair atau karangan adalah kepentingan kesatuan umat Islam.
Misi falsafah pemikiran yang diangkat oleh Iqbal berbentuk wasatiah yang sahih. Menggalakkan umat Islam melakukan pembaharuan dan berlepas diri daripada peraturan atau perundangan yang terpesong yang dicatat dalam sejarah Islam.
Iqbal dan al-Quran
Muhammad Iqbal menjadikan al-Quran sebagai bacaan harian mulai selepas solat Subuh sehingga terbit matahari. Al-Quran amat terkesan dalam jiwanya sehingga ramai kenalan rapatnya berkata, setiap kali khatam al-Quran air matanya bercucuran.
Ditanya rahsia mampu merungkai rahsia agama dengan gaya bahasa yang menarik yang tidak mampu dicapai oleh ahli fiqh dan tauhid, beliau menjawab, semua itu kembali kepada kelebihan ayah yang mendidiknya.
Setiap hari, sudah menjadi kebiasaan ayahku bertanya soalan: “Apakah yang kamu sedang lakukan wahai Iqbal?” Aku menjawab: “Membaca al-Quran”. Perkara ini berlaku selama tiga tahun. Ayah ku bertanya soalan yang sama dan aku menjawab dengan jawapan yang sama. Sehingga pada suatu hari aku bertanya kepada ayah kenapakah bertanya soalan yang sama sedangkan ayah sudah tahu jawapan?
Ayahnya memberi penegasan “Sesungguhnya ayah mahu kamu sentiasa membaca al-Quran, fahami makna dan rasailah seolah-olah al-Quran diturunkan kepada kamu”.
Penegasan itu menyebabkan Iqbal mula memahami kandungan al-Quran dan menjiwai maknanya. Segala cahaya dalam al-Quran dipetik dan mutiaranya disusun.
Dr. Husin Mujib al-Misri dalam bukunya Iqbal dan al-Quran berkata, sesungguhnya Iqbal membawa al-Quran dalam fikirannya dan dalam hatinya yang beriman.
Kefahamannya tentang beragama iaitu sentiasa berusaha ke arah yang lebih baik adalah sikap terpuji. Selain itu, beliau juga berpandangan, berpegang kepada agama adalah asas yang kukuh untuk mencapai kejayaan.
Pada suatu hari datang seorang lelaki dan bertanya Iqbal tentang buku-buku yang banyak dibaca sama ada berkaitan falsafah, agama, sejarah dan juga ekonomi atau buku-buku lain, yang manakah buku paling banyak memberi kesan kepada beliau.
Mendengar soalan tersebut, Iqbal meminta lelaki itu tunggu sekejap dan beliau masuk ke dalam rumahnya dan membawa keluar naskhah al-Quran sambil berkata: “Inilah dia kitab yang memberi kesan kepada ku”.
Mengikut penelitian Iqbal, isu kemanusian tidak menjadi tajuk perbincangan yang penting dalam sejarah pemikiran islam. Sedangkan penciptaan manusia sebagaimana terdapat dalam al-Quran adalah amat unik.
Beliau memetik ayat al-Quran yang menyatakan kesalahan seseorang tidak akan dibebankan kepada orang lain dan Allah tidak akan memberatkan sesuatu kepada seseorang kecuali mengikut kemampuan mereka.
Dalam al-Quran, Allah menjelaskan dengan terang dan teliti tiga perkara yang amat penting tentang manusia:
Pertama: Manusia adalah makhluk pilihan Allah. Beliau mendatangkan dalil mengikut pandangannya satu ayat al-Quran: Kemudian Tuhannya telah memilihnya untuk menjadi hamba dekat dengan-Nya dan menerima taubat serta memberi petunjuk kepadanya. (Taha: 122)
Kedua: Meskipun manusia melakukan kesalahan tetapi ia masih khalifah Allah di bumi ini. Beliau membawa dalil: Dan Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku akan menjadikan khalifah di muka bumi… (al-Baqarah: 30)
Ketiga: Manusia adalah pemegang amanah dan sanggup menerima risikonya. Iqbal membawa dalil: Sesungguhnya kami telah menawarkan amanah tanggungjawab melaksanakan syariat kami kepada langit, bumi dan gunung-ganang tetapi mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat melaksanakannya. Lalu ia dipikul oleh manusia.. (Ahzab: 72)
Semasa hayatnya, Iqbal adalah seorang yang aktif menulis buku dan menghasilkan syair yang bersumber dari al-Quran. Beliau meninggalkan sembilan buku yang mengandungi bait-bait syair yang berjumlah 12,000 rangkap keseluruhannya.
Daripada jumlah itu, 7,000 rangkap syair ditulis dalam bahasa Parsi dan 5,000 lagi dalam bahasa Urdu. Syairnya yang masyhur ialah Sayap Jibril, Risalah Ke Timur, Hadiah Hijaz, Rahsia dan Pukulan Loceng.
Dalam satu doa Iqbal menulis: “Wahai Tuhan Yang maha Kaya, aku adalah hamba-Mu yang fakir maka terimalah keuzuran-ku pada hari Mahsyar. Jika aku terpaksa dihisab maka aku mengharapkan kejayaan dengan sebab Nabi Muhammad. Sesungguhnya aku amat malu menjadi umatnya sedangkan aku banyak lakukan dosa dan maksiat”.
Mengikut terjemahan Abu Hasan al-Nadwi, semasa di atas katil ketika di hujung usianya, beliau menulis: “Alangkah baiknya jika aku tahu adakah sudah kembali gurindam yang aku utuskan ke angkasa. Alangkah baiknya jika aku tahu adakah sudah kembali rangkap laguku ke Hijaz.
“Alangkah baiknya jika aku tahu adakah seorang yang pintar dapat menggantikan aku. Aku sekali-kali tidak takut kematian. Aku seorang muslim dan keadaan muslim di saat menerima kematian adalah dengan tersenyum kegembiraan”.
- PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.










