Banjir besar: Kita yang tak peka - Utusan Malaysia

Banjir besar: Kita yang tak peka

ORANG ramai diminta lebih peka dengan ramalan dan amaran cuaca ekoran tidak mustahil banjir akan berlaku lagi pada masa akan datang. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANJIR pada penghujung 2021 merupakan satu tragedi dalam sejarah geobencana di Malaysia yang wajar dijadikan amaran dan pengajaran kepada setiap agensi berkaitan, orang awam, penguat kuasa dan ahli politik. Sistem tekanan rendah atau lekukan tropika kerap terjadi di kawasan kepulauan Borneo menjelang musim tengkujuh. Kejadian lekukan tropika ini, ditambah luruhan sejuk dari hemisfera utara boleh menyebabkan hujan lebat melanda di kawasan kepulauan Borneo serta mempengaruhi kejadian hujan di Semenanjung.

Kebiasaannya, lekukan tropika ini akan berkekalan di kawasan kepulauan Borneo, jarang sekali ia bergerak menuju Semenanjung. Namun, kali ini, lekukan tropika ini bergerak menuju Kuantan dan berjaya merentasi Semenanjung lalu tiba di Selat Melaka, berdekatan Selangor.

Kebiasaannya, kejadian lekukan tropika akan terhenti apabila mendarat, namun berkemungkinan disebabkan oleh Taufan Rai, ia berjaya menembusi daratan Semenanjung. Bagaimanapun, punca sebenar pergerakan lekukan tersebut masih belum diketahui dan masih dalam kajian.

Yang diketahui, kejadian lekukan tropika ini diperkukuhkan di Selat Melaka menyebabkan curahan hujan yang tinggi sehingga berlaku banjir di beberapa kawasan seperti Lembah Klang dan Pahang. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila fenomena bulan baharu mewujudkan air pasang besar menyebabkan air dari sungai-sungai di sekitar kawasan banjir tidak dapat mengalir keluar ke laut.

Umum juga harus peka yang pemanasan global juga adalah antara punca yang mempengaruhi fenomena banjir dalam dua keadaan iaitu kenaikan paras laut dan perubahan fenomena gelombang ribut. Menurut satu kajian diterbitkan dalam jurnal Nature Climate Change pada 2017, paras laut dunia meningkat sebanyak tiga sentimeter (sm) pada setiap dekad di antara 1993 sehingga 2014, manakala kenaikan paras laut direkodkan meningkat sebanyak 20 sm sejak akhir abad ke-19.

Punca-punca utama kenaikan paras laut dunia adalah disebabkan oleh pengembangan molekul air lautan berikutan kenaikan suhu dan pencairan benua ais menambahkan air tawar ke dalam lautan. Antartika adalah benua berais yang semakin terancam disebabkan perubahan cuaca.

Terkini, saintis-saintis dunia merakamkan kebimbangan dengan situasi Glasier Thwaites terletak di Antartika yang dikatakan merekah dengan kadar lebih pantas daripada ramalan awal. Glasier ini menjangkau kira-kira 120 kilometer panjang dengan kedalaman 800 hingga 1,200 meter. Hasil kajian di Glasier Thwaites menganggarkan jisim ais di glasier tersebut telah hilang sebanyak 900 billion tan metrik sejak bermula abad ke-21.

ENTENG
Sekiranya Glasier Thwaites mencair sepenuhnya, paras laut dunia berpotensi meningkat sebanyak 0.61 meter dan boleh mencecah sehingga tiga meter, sekiranya ia menarik glasier-glasier lain di sekelilingnya. Ini sekali gus, berpotensi untuk mengancam negara-negara maritim seperti Malaysia. Dalam hal ini, Malaysia komited dalam pemuliharaan benua Antartika melalui keanggotaan dalam Triti Antartika sejak 2011 dan penyelidik universiti-universiti tempatan terus aktif menjalankan penyelidikan di benua ini di bawah teraju Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan.

Berbalik kepada banjir baru-baru ini, peristiwa ini bukanlah perkara baharu di Malaysia, malahan ia pernah berlaku kurang dari 10 tahun lalu di mana banjir besar melanda negeri-negeri di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang pada 2014. Pelbagai usaha dilakukan oleh penyelidik-penyelidik dari universiti, agensi kerajaan dan swasta dalam dan luar negara untuk menambah baik sistem pengurusan bencana alam di Malaysia.

Namun, sekiranya ia masih dipandang enteng oleh setiap lapisan masyarakat, tidak mustahil perkara seperti ini berpotensi untuk berlaku lagi pada masa akan datang. Pelan tindakan bencana perlu diperbaharui dan bidang-bidang tugasan bagi setiap badan berautoriti harus diperincikan bagi memastikan kelancaran pengurusan bencana berjalan teratur dan situasi ‘menuding jari’ antara semua pihak tidak berlaku.

Penduduk juga harus ambil peduli tentang ramalan dan amaran dikeluarkan oleh badan-badan berkaitan tentang fenomena hujan lebat dan banjir serta kejadian-kejadian geobencana lain seperti banjir lumpur, tanah runtuh, gempa bumi, hakisan pantai, gelombang ribut, dan taufan yang berpotensi untuk berlaku di Malaysia. Buat masa ini, tiada teknologi atau ‘vaksin’ khusus yang dapat digunakan untuk menyelesaikan masalah-masalah berkaitan geobencana dan perubahan cuaca.

Komunikasi yang baik dan kerjasama di antara kerajaan, penguat kuasa, badan bukan kerajaan, agensi swasta, penyelidik tempatan, wakil rakyat tidak kira fahaman politik dan setiap lapisan masyarakat adalah amat penting dalam menghadapi situasi bencana alam.

DR. Muhammad Hafeez Jeofry ialah Pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu dan Penyelidik Polar Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×