TIDAK pernah terbayang untuk menjadi guru sepenuh masa buat anak-anak sendiri.
Namun itulah namanya supermom dan gelaran itu selayaknya diberikan kepada Datin Azrene Soraya Abdul Aziz.
Isteri kepada cef selebriti dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob ini memberitahu faktor utama beliau dan suami sepakat homeschooling sejak Januari lalu, rentetan pandemik Covid-19.
Kata Azrene, keputusan itu diambil selepas melihat pendidikan anaknya seolah-olah terumbang-ambing sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sekolah pula asyik buka dan tutup. Kami risau melihat anak-anak kami yang tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya semasa kelas dalam talian. Mereka kurang fokus. Ada kala mereka buat kerja lain sewaktu proses pembelajaran.
“Kerja sekolah diberi guru pun ada yang tidak buat. Tetapi tiba-tiba dapat tahu sudah diberikan gred,” katanya kepada Utusan Malaysia, meluahkan kecewa dengan situasi dilalui pada masa itu.
Homeschooling & dyscalculia
Ibu kepada Ahmad Fariedz Shah, 13, Ahmad Fieradz Shah, 11, Ahmad Firudz Shah, 10, Alayna Selma, 4 ini memberitahu yang lebih menguatkan keputusannya dan Fazley berkorban masa dengan kaedah homeschooling, selepas mengetahui, anak ketiganya, Ahmad Firudz, menghidap kesukaran dalam pembelajaran matematik, dyscalculia.
Ahmad Firudz katanya, langsung tidak boleh buat subjek matematik. Malah bila buat kerja sekolah, dia tidak faham apa sepatutnya perlu dilakukan.
“Dengan keadaan dia seperti itu, guru yang mengajarnya secara dalam talian juga sudah frust, marah-marah dan mula menengking. Murid lain juga turut membuli dia.
“Sebenarnya sebelum pandemik lagi kami perasan perubahan dirinya. Selepas bangun pagi keadaan dia baik sahaja, tetapi melangkah sahaja ke sekolah dia akan demam. Pernah juga murid lain memanggil dia stupid hingga dia menangis, muntah dan hidung berdarah. Dia mula menunjukkan academic trauma ketika itu.
“Jadi, saya berbincang dengan Fazley, sampai bila nak seperti ini. Kami bukan bayar sekolah antarabangsa untuk anak sengsara. Kami akui ibu bapa tidak boleh salahkan sekolah kerana sistem kita tidak seperti di luar negara yang setiap kelas fizikal terdapat dua guru. Satu guru biasa manakala seorang lagi sudah dilatih khusus untuk kanak-kanak ketidakupayaan seperti ini. Ini yang menguatkan lagi keputusan kami untuk meneruskan homeschooling,” katanya berterus terang.
Azrene mengakui kaedah itu sebenarnya suatu tekanan buat dirinya dan suami, namun dia tidak ada pilihan lain.
“Kata orang alang-alang menyeluk pekasam. Kami serius dengan kaedah ini yang mana kami akan mengajar mereka hingga ke A Level kemudian mereka akan membuat permohonan ke universiti pilihan seperti biasa sebagaimana orang lain,” katanya sepenuh bersemangat.
Mengulas mengenai kerjaya anak-anak, Azrene bagaimanapun tidak menetapkan syarat untuk mereka menjadi apa, namun mesti ada Ijazah.
“Mereka boleh jadi apa yang mereka suka. Macam Ahmad Firudz, walaupun dia mungkin kurang daripada segi akademik tetapi dia ada kelebihan dalam bidang seni,” katanya tersenyum.
Mengulas mengenai aspek cabaran, ulas bibir yang sentiasa mekar dengan senyuman ini mengakui pada peringkat awal agak tertekan mencari dan memilih sistem terbaik kerana kebanyakannya hanyalah berkonsepkan seperti pusat tuisyen.
“Selepas buat research saya tertarik dengan sebuah sekolah ini. Saya berbincang sendiri dengan guru dan pihak pengurusan sekolah berkenaan, kerana mahu sistem yang sempurna, ada sukatan pembelajaran dan tersusun,” katanya.
Dalam kegusaran itu, Azrene bertuah kerana ramai kenalannya sudi membantu dan memberikan saranan kerana ramai antara mereka juga rupa-rupanya turut mempraktikkan homeschooling untuk anak mereka.
“Kalau sekolah biasa, pukul 7.30 pagi sudah masuk kelas dan tamat persekolahan sekitar pukul 3.30 petang. Bersambung pula dengan kerja sekolah sehingga lewat malam.
“Berlainan dengan homeschool, masanya lebih singkat hanya empat jam sehari sahaja manakala dua jam pada Jumaat. Masa selebihnya dimanfaatkan dengan mengikuti kelas fardhu ain, al-Quran, hafazan atau bermain game.
“Sistem ini menyediakan sukatan pelajaran, pelan, aplikasi dan buku teks sekolah. Jika anak memerlukan extra guardian, guru telah sediakan tutorial, hanya klik pada link yang diberi sahaja,” katanya.
Mengenai prestasi, Azrene berkata pelajar diuji setiap empat minggu di mana mereka perlu membuat tugasan, menjawab soalan, menyiapkan projek dan akan ditanda oleh guru di institusi berkenaan.
“Kaedah pemarkahan sangat terperinci. Ibu bapa akan dimaklumkan mengenai yang bagus, kelebihan dan kekurangan pelajar. Mereka tetap akan memberi komen atau maklum balas walaupun pelajar mendapat markah 100 peratus,” katanya yang menjelaskan sebelum mempraktikkan sekolah di rumah, dia pernah mencuba home tutor tetapi kaedah itu tidak berkesan.
Pengalaman & cabaran jadi cikgu
Azrene pernah tertanya-tanya dalam diri adakah tindakannya itu betul, berikutan beliau tidak pernah menjadi guru, tidak tahu boleh mengajar atau tidak dan paling mustahak, menjadi penentu masa depan anak-anak sendiri.
“Saya mengajar ketiga-tiga anak secara serentak. Level mereka berbeza. Risau pada awalnya, namun lama-kelamaan saya sendiri pun tidak percaya boleh mengajar sebaik itu. Sebenarnya apabila kita yakin, kita akan belajar jadi lebih sabar dengan anak-anak.
“Paling penting, suami isteri perlu bersepakat dan saling bekerjasama. Kami berbahagi tugasan mengajar mengikut kebolehan dan kepakaran masing-masing. Fazley pada awalnya tidak bersetuju untuk kaedah itu. Tapi, selepas sebulan dia melihat prestasi pembelajaran, sikap dan disiplin anak meningkat serta nampak perbezaan, dia jadi sangat berpuas hati dan gembira.
“Saya juga pernah menolak homeschooling namun apabila perhatikan anak-anak dapat menyesuaikan diri dalam akademik dengan cemerlang, saya mula tukar fikiran dan menerima kaedah homeschooling.
“Paling sebak dan tidak percaya apabila anak sendiri cakap, mama, you better than all teachers.
“Sebenarnya bukan anak-anak sahaja yang belajar tetapi proses pembelajaran itu juga untuk ibu bapa,” katanya yang mengakui seorang guru yang tegas. Malah tidak teragak-agak mengambil tindakan ‘cara orang lama’ jika anak tidak menyentuh buku langsung.
Ibu bapa perlu serius
Kaedah sekolah di rumah bunyinya senang namun memerlukan banyak pengorbanan ibu bapa, khususnya daripada aspek masa dan keupayaan diri lantaran ia memerlukan komitmen 100 peratus.
“Jika ingin mengikut cara kami dan menghantar di institusi yang sama, ibu bapa perlu berkorban masa. Jika dulu ada masa untuk ‘mengopi’ bersama kawan-kawan, kini tiada lagi. Perlu tumpuan sepenuhnya kepada homeschooling,” katanya Azrene berterus terang.
Keterbukaan Azrene berkongsi mengenai homeschooling di Instagram turut menarik ramai kenalan dan ibu bapa lain yang turut mahu mengetahui lebih lanjut mengenai perkara itu.
“Daripada seorang, kini lebih 40 orang minta saya terangkan mengenai kaedah kami lakukan. Saya kumpulkan mereka dan berkongsi pengalaman saya yang hampir setahun membuat homeschooling menerusi aplikasi Zoom.
“Sebenarnya niat saya bukanlah ingin menunjuk-nunjuk. Sebaliknya saya mengingatkan kalau nak buat kena serius kerana kita ‘bermain’ dengan masa depan mereka,” katanya.
Bijak membahagikan masa dengan dua bisnes tetapi bab sekolah, Azrene tetap mengajar tanpa kompromi. Katanya ibu bapa yang ingin mengikut kaedah berkenaan perlu bijak membahagikan masa dan berdisiplin.
“Saya ada dua bisnes yang perlu diberi tumpuan, pada masa sama mengajar anak tanpa culas.Selepas habis sesi mengajar, sekitar pukul 4.30 petang, baharulah saya akan uruskan perniagaan.
“Mesyuarat atau perbincangan akan dibuat selepas masa itu. Kita sendiri perlu berdisiplin dengan masa dan komitmen. Waktu mengajar juga saya tidak menggunakan telefon. Cuba elakkan tetapi kalau ada mesej yang penting saya akan jawab dan kemudian akan meneruskan kembali sesi persekolahan,” katanya.
Sambung pengajian doktor falsafah
Tiada perancangan untuk menerbit buku mengenai homeschooling, bagaimanapun pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Sarjana Undang-undang Hak Asasi Manusia dari Universiti Nottingham, United Kingdom (UK) ini terdetik untuk menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah dalam bidang pendidikan pula.
“Itu perancangan saya buat masa ini. Sebenarnya saya lakukan ini adalah untuk anak-anak. Ramai juga yang menanyakan sama ada saya akan buka homeschool dekat sini. Buat masa ini tidak terfikir lagi. Anak-anak masih sekolah. Lagi pula baharu setahun jagung pengalaman mengajar. Takut sebenarnya dealing dengan pelajar dan ibu bapa. Lebih-lebih lagi ibu bapa di Malaysia begitu high maintenance.
“Lagi pula lesen yang ditetapkan Kementerian Pendidikan agak menyusahkan ibu bapa. Terlampau menyekat dan meletakkan syarat yang ketat. Sebab itu, ada ibu bapa yang buat secara under the radar. Ibarat ia satu kesalahan pula,” katanya tersenyum mengakhiri perbualan.









