PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) berlarutan rentetan pandemik Covid-19 menyebabkan ramai masyarakat hilang punca pendapatan termasuk terputus bekalan makanan.
Situasi itu mendorong Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia, (Gerakwanis) tidak lokek menghulurkan bantuan kepada insan terjejas.
Pengasasnya, Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, inisiatif membantu pihak terkesan tanpa menunggu ketua kampung atau wakil rakyat adalah asas dipegang persatuan, sejak ditubuhkan lima tahun lalu.
Malah bagi dirinya, setiap orang ada tanggungjawab yang sama dalam membantu orang lain termasuklah orang paling hampir seperti jiran tetangga.
“Jika ternampak jiran, tegur dan tanyalah khabar. Cukupkah makanan di rumah mereka? Mungkin mereka segan untuk meminta. Jangan tunggu mereka kibar bendera putih. Cepat-cepatlah hulur bantuan mengikut kemampuan masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Perbabitan Bibi Sunita dengan kerja kemasyarakatan bermula sejak 2002.
Gerakwanis yang ditubuhkan pada 2016, adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan tumpuan kepada penerima bantuan Baitulmal antaranya ibu tunggal, ibu ditinggalkan dan warga emas, khususnya sekitar Wilayah Persekutuan.
Dalam kemelut Covid-19, kata Bibi Sunita, beliau tidak menafikan ia merubah banyak perkara termasuk perlu berdepan norma baharu yang tidak pernah terfikirkan seperti sebelum ini.
“Segenap lapisan masyarakat, berdepan cabaran pandemik. Ada yang menjejaskan kehidupan, tidak kurang juga yang melihat ketidaktentuan masa hadapan.
“Paling terasa dengan situasi ini ialah golongan B40 dan M40 yang tergelincir ke B40,” katanya.
Umum mengetahui kerajaan memberikan tumpuan lebih terhadap bantuan yang perlu diberikan kepada golongan ini menerusi pembentangan Belanjawan 2022.
Namun katanya ramai dalam kalangan B40 terus hidup dalam kesempitan.
“Sebagai NGO, kami akan memastikan tiada pihak tercicir, kelaparan dan hidup merempat,” ujarnya.
BARANGAN BASAH
Meskipun terdapat bantuan kewangan kerajaan dan zakat, golongan B40 terus dilanda kesempitan.
Menurut Bibi Sunita, akses kepada makanan berkhasiat pada harga berpatutan sudah tentu dapat meningkatkan kesejahteraan dan membawa kegembiraan, terutama kepada yang berpendapatan rendah ini.
“Tumpuan bantuan Gerakwanis ialah kawasan perumahan Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan bantuan barangan harian basah seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran,” katanya.
Ditanya tentang sumber dana Gerakwanis, Bibi Sunita memberitahu, bantuan kewangan diperolehi daripada bantuan orang ramai.
“Setakat ini kami tidak mempunyai geran dan gerak kerja bergantung kepada sumbangan kewangan orang ramai.
“Walaupun nampak sukar, segala kebaikan yang kita mahu buat akan dipermudahkan. Misalnya, selepas Subuh, apabila kami semak akaun Gerakwanis, kami dapati ada sahaja infak walaupun serendah RM1.
“Saya juga mempunyai syarikat menjalankan khidmat Pesuruhjaya Sumpah. Sebahagian hasil pendapatan saya gunakan untuk Gerakwanis,” ujarnya.
Pandemik turut menjejaskan peniaga kecil seperti peniaga pasar malam, penjual nasi lemak dan peniaga kenderaan saji atau food truck.
Situasi tidak menentu akibat penularan wabak Covid-19 menyebabkan operasi perniagaan tergendala hingga menyebabkan kesukaran mencapai pendapatan yang disasarkan dalam tempoh mencabar ini.
“Pendapatan harian berkurangan menggugat mereka menyediakan keperluan harian dan menyara keluarga. Inisiatif, sokongan dan cadangan penyelesaian sudah semestinya diharapkan bagi mengurangkan beban ekonomi sepanjang tempoh PKP, bagi membolehkan mereka lebih yakin dengan kebiasaan norma baharu,” katanya.
Naik taraf peniaga wanita
Dalam usaha membantu peniaga wanita terjejas, Gerakwanis turut terpilih sebagai Rakan Pelaksana Pembiayaan Mikro Bangkit oleh Bank Islam Malaysia Berhad.
Beliau berkata, peranan wanita tidak terhad kepada hanya hal pembangunan keluarga, sebaliknya mereka juga boleh membantu menjana ekonomi.
Katanya, dengan pembiayaan ini, Gerakwanis tidak hanya mendedahkan ahli kepada bidang perniagaan sahaja, tetapi berpegang pada peluang ekonomi, pendidikan dan kebajikan sebagai terasnya.
“Kami mahu menjadi peneraju koperasi wanita Islam di negara ini melalui pembabitan dalam sektor pembangunan ekonomi, keusahawanan dan pendidikan,” katanya.
Bibi Sunita yang juga Pengerusi Persatuan Alumni Pusat Pembelajaran Usahawan Bumiputera Maju Malaysia (PPIUB) berkata, antara dilakukan Gerakwanis termasuk menawarkan latihan dan pemasaran produk bagi membantu asnaf dan ibu tunggal yang terkesan akibat Covid-19 melalui program UPDiri.
Katanya, ia sebagai usaha memastikan peningkatan ekonomi dan kebajikan dalam kalangan warga emas, ibu tunggal dan anak yatim.
“Meskipun Gerakwanis belum mencapai usia dua tahun, tapi kami mahu memastikan ahli terus berdaya saing termasuk berupaya menghasilkan pembungkusan dan jenama sendiri bagi produk ahli yang kemudian akan pasarkan di pasar raya.
“Ini yang saya usahakan sejak sekian lama iaitu memperkasa wanita dan ekonomi mereka. Bagaimanapun apa direncanakan ini tidak akan dapat dicapai jika tiada persediaan dalam kalangan wanita untuk menyertai koperasi,” kata Ketua Pejuanita Wilayah Persekutuan ini turut memiliki dua buah rangkaian bazar d’Sultanaa yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dan Taman Putra Ampang, Selangor.
22 tahun aktif NGO
Bercerita tentang penglibatannya dalam NGO, katanya, pembabitan dalam kerja amal dan sukarelawan bermula sejak usianya 16 tahun.
Kata Bibi Sunita, pengalaman lahir dan membesar dalam keluarga miskin dan susah menjadikan dirinya suka membantu orang lain.
“Saya terlibat sebagai aktivis masyarakat secara rasmi hampir 22 tahun sejak 2000 sehingga kini, khususnya dalam memperjuangkan dan memperkasakan wanita dalam kalangan ibu tunggal, asnaf, B40 dan warga emas dalam beberapa buah NGO.
“Fokus utama saya ialah misi memajukan diri dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kebajikan khususnya dalam kalangan peniaga wanita yang kurang berkemampuan,” katanya yang berpengalaman sebagai Pegawai Penerangan di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Malaysia selama 10 tahun sebelum menceburkan diri dalam perniagaan pada 2006.
Mengakui jadual hariannya padat namun isteri kepada seorang permata hati ini tetap meletakkan keluarga di tangga paling atas.
“Ada masa kerja saya kerja tetapi bila ada masa terluang saya tumpukan sepenuhnya pada keluarga,” katanya.
Dalam kesibukan itu Bibi Sunita tetap mempunyai masa untuk menimba ilmu.
“Terkini, setiap Ahad saya ambil masa tiga jam untuk melengkapkan komitmen saya sebagai calon pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),” katanya yang mahu menjadi pakar dalam bidang Sains Politik.










