TIDAK sangka hanya kerana sukar mendapatkan stok makanan untuk haiwan reptilia peliharaannya iaitu ular, Raahsan Alwi, 26, berjaya mengusahakan sendiri ternakan tikus sehingga meraih pendapatan lumayan.
Raahsan berkata dari situlah, dia mula mempelajari teknik menternak tikus, sekitar tahun 2018.
Siapa sangka, secara tidak sengaja tikus pula mendapat permintaan tinggi daripada kenalan terdekat Raahsan.
“Saya mula berkecimpung dalam ternakan tikus ini disebabkan hobi membela haiwan reptilia seperti ular. Mendapatkan stok makanan agak sukar sebab tidak ramai yang membiak tikus pada waktu itu. Makanan ular pula adalah tikus.
“Bermula daripada situlah daya terlintas hati menternak tikus bagi memenuhi stok makanan ular yang saya pelihara. Pada awalnya, saya hanya fokus menternak secara kecil-kecilan untuk tujuan sendiri. Daripada beberapa ekor sahaja kemudian jumlah tikus yang diternak bertambah.
“Saya tak sangka mampu meraih pendapatan daripada hasil ternakan tikus ini. Tikus saya mendapat permintaan tinggi daripada kenalan dan individu yang mempunyai hobi yang sama dalam membela ular,” katanya.
Namun tikus ternakan Raahsan bukanlah yang biasa dijumpai, kotor atau menjijikkan.
2,000 TIKUS
Sebaliknya pemuda berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu memelihara tiga spesies tikus iaitu mice, lab rat dan African soft fur rat.

“Tiga baka tikus ini antara spesies mendapat permintaan tinggi. Sehingga kini, saya telah menternak lebih 2,000 ekor tikus,” katanya.
Harga ditawarkan, berbeza bergantung mengikut saiz dan jenis tikus serta tujuan tikus berkenaan digunakan. Begitupun, rata-rata harga ditawarkan antara RM5 hingga RM20 seekor.
Akui Raahsan, walaupun ramai menganggap tikus merupakan haiwan yang kotor dan menjijikkan namun ada juga memuji kecomelan tikus putih ini malah membelinya untuk dijadikan haiwan peliharaan.
RAIH LEBIH RM5,000
Raahsan turut mengakui, ternakan tikus menguntungkan kerana trend sekarang ramai yang mula menjadikan haiwan eksotik sebagai peliharaan atau hobi.
“Tikus merupakan santapan haiwan eksotik seperti ular, biawak, burung dan lain-lain. Jadi, permintaan tinggi dan tidak putus terhadap tikus untuk diberi kepada haiwan eksotik mereka, sekali gus menguntungkan para penternak.
“Tikus makmal pula turut mendapat permintaan tinggi untuk digunakan sebagai ujikaji atau tujuan biologi,” katanya yang mampu mampu meraiha antara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan dengan menjual tikus berkenaan.
Ternakan tikus yang diusahakan sejak 2018 itu bermodalkan RM1,100 dengan kos permulaan RM800 untuk rak manakala RM300 untuk baka tikus.
“Kos permulaan tidak besar namun banyak yang perlu diambil kira. Contohnya saya membina tempat khas untuk ternakan tikus kerana ia perlu bebas daripada ancaman haiwan lain,” katanya.
Ternakan tikus juga bukanlah mudah kerana perlu menyediakan rak-rak mengikut bahagian tertentu termasuk sistem-sistem pembiakan yang lain.
“Daripada modal RM1,100, saya kembangkan pembiakan untuk menghasilkan lebih banyak tikus,” katanya.
PERMINTAAN
Mengulas mengenai cabaran, Raahsan berkata ia membabitkan usaha memenuhi permintaan pelanggan.
“Penternakan tikus tidaklah semudah yang disangka. Ada suatu ketika, saya sukar memenuhi permintaan pelanggan yang inginkan bekalan tikus yang banyak.
“Ada masanya, tiada pembeli langsung ketika stok tikus berlebihan. Namun saya tidak berputus asa dan akan melakukan perancangan rapi mengikut permintaan. Itu belum termasuk kos makanan untuk menternak tikus semakin hari semakin meningkat,” katanya.
SELESA & TIDAK PANAS
Kongsi Raahsan, tikus yang diternak memerlukan keselesaan dan pengudaraan yang baik untuk mendapatkan baka berkualiti.
“Tips menternak tikus adalah perlu tahu apa yang sesuai untuk keselesaan tikus. Ia tidak boleh ditempatkan di kawasan yang terlalu panas bimbang cepat mati. Paling penting tikus memerlukan pengudaraan baik untuk hasilkan baka yang berkualiti. Tempat untuk tikus juga perlu disediakan bekas jaring yang sesuai bagi mengelakkan ia daripada terlepas,” katanya.
Tikus yang diternak Raahsan diberi makanan dan minuman yang secukupnya serta akan membuat pemantauan berkala.
Raahsan turut melakukan pembersihan setiap minggu bagi mengelakkan tikus dijangkiti mites atau penyakit yang lain.
SOKONGAN
Katanya, dia bersyukur usahanya untuk serius dalam ternakan tikus mendapat sokongan dan dorongan daripada keluarga dan rakan-rakan.
“Isteri banyak membantu dan kami selalunya akan membersihkan rak-rak ternakan tikus ini bersama-sama. Pada masa sama, rakan-rakan yang sukar untuk mendapatkan tikus hidup bagi haiwan peliharaan mereka juga kini telah menjadi pelanggan tetap,” katanya.
Memandang terus ke hadapan, Raahsan berkata, dia merancang untuk menghasilkan tikus dengan kapasiti yang lebih banyak bagi lima tahun akan datang dan mengembangkan cawangan perniagaannya.
“Alhamdulillah saya berpuas hati dengan apa yang saya lakukan sekarang. Daripada menternak tikus untuk keperluan sendiri pada awalnya, kini saya mampu membawa pulangan lumayan.
“Saya rancang untuk mempunyai kawasan yang lebih luas dan besar untuk menternak lebih banyak tikus. Mungkin pelbagaikan spesies. Juga akan meluaskan pasaran pelanggan,” katanya.










