Taman mini Sarina gabungan kampung English, Tropika - Utusan Malaysia

Taman mini Sarina gabungan kampung English, Tropika

Bagi memudahkan penjagaan landskap di halaman rumah, Sarina Hashim menggunakan rumput tiruan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aktiviti membina landskap dan bercucuk tanam menjadi hobi baharu sebahagian rakyat Malaysia selepas pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dek penangan wabak Covid-19.

Ruang laman sempit, tidak membataskan idea menampilkan seni taman. Apatah lagi usaha dan kreativiti pada ruang terhad berupaya menyerlahkan identiti laman dan kediaman.

Bagi Sarina Hashim, 58, biarpun tidak memiliki latar belakang bidang landskap, dia berjaya membina landskap menarik di kediamannya di Senawang, Negeri Sembilan.

Sarina bijak memanfaatkan ruang seluas 100 meter persegi untuk membina sendiri landskap idamannya menerusi taman mini yang menggabungkan tiga elemen iaitu English, Tropika dan kampung.

Sarina Hashim membina landskap taman mini di halaman rumahnya dengan bantuan suami dan anak-anak.

Katanya, dia menghasilkan taman mini dengan kos mampu milik dengan anggaran RM7,000.

“Saya mula menanam pokok hijau untuk mengindahkan lagi landskap sejak tahun lalu iaitu ketika kita dalam tempoh PKP.

“Saya beruntung kerana suami dan anak-anak juga mempunyai minat yang sama iaitu suka menanam pokok. Kami bergabung idea untuk mencantikkan lagi halaman rumah. Hasilnya, dalam empat bulan kami dapat siapkan landskap taman mini di halaman rumah dengan tiga konsep.

“Bahkan suasana pepohon yang hijau dan bunga menenangkan fikiran dan sesuai dengan tema ala taman mini untuk kediaman kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

BEZA RUMPUT TIRUAN

Pemasangan rumput tiruan dilakukan bagi mencipta landskap kemas dan bersih.

Sarina memilih memasang rumput tiruan di halaman rumah bagi menjadikan kawasan itu lebih hijau dan mendamaikan.

Pun begitu, beliau menasihatkan orang ramai berhati-hati dalam memilih jenis rumput tiruan supaya tidak timbul masalah daripada segi penjagaan pada kemudian hari.

“Rumput tiruan jenis indoor jangan sesekali dipasang di luar rumah kerana ia akan cepat rosak kerana terdedah kepada cahaya matahari secara berterusan.

“Sebaiknya, pilih rumput tiruan khas untuk outdoor dan tahap ketebalan atau kelembutan bergantung kepada jenis serta harga,” katanya.

Untuk cuaca Malaysia antara jenis rumput yang menjadi pilihan ramai ialah Japanese carpet grass, Philippines carpet grass, cow grass dan pearl grass.

Ia memiliki kelebihan dan kekurangannya masing-masing justeru terpulang kepada pemilihan pengguna.

Tambah Sarina, rumput tiruan jenis cow grass dan pearl grass dikatakan lebih murah dan tahan lasak tetapi teksturnya lebih kasar.

Japanese carpet grass dan Philippines carpet grass pula lebih mahal dan perlukan penjagaan rapi, tetapi lebih lembut apabila dipijak selain tampak mewah.

“Kelebihan utama rumput tiruan antaranya ia boleh menjimatkan air, tidak toksik, tiada risiko alahan selain selamat untuk haiwan peliharaan dan kanak-kanak.

“Namun, kekurangannya ialah ia meninggalkan risiko mudah rosak jika terdedah kepada kepanasan seperti bahang matahari,” ujarnya.

Susunan batu pelbagai saiz mencantikkan lagi pemandangan taman mininya.

ISTANA BUNIAN CETUS INSPIRASI

Bercerita lanjut tentang inspirasi taman mini miliknya, Sarina memberitahu, ia terbahagi kepada tiga konsep.

“Konsep pertama saya mendapat ilham daripada kehidupan masa silam iaitu zaman kanak-kanak saya yang selalu terbayangkan istana bunian. Saya susun bunga-bunga dan pokok hijau dihiasi replika cendawan, burung dan batu-batu kecil.

“Di satu sudut saya buat taman ala hutan tropika yang saya hias dengan pokok daun hijau dan kayu api. Seterusnya, saya membina landskap dengan tanaman tumbuhan tradisional seperti sirih,” katanya.

Sarina mengakui landskap yang menenangkan atau sedap mata memandang tidak semudah yang disangka. Ini kerana kerja pembinaannya memerlukan perancangan teliti.

“Dalam apa jua situasi, anda harus bersedia dan sanggup berdepan dengan situasi landskap kurang memberangsangkan.

“Jangan berputus asa, sebaliknya buktikan kesungguhan dengan berusaha merealisasikan sebuah taman impian.

“Lakukan sedikit kajian kesesuaiannya dengan penghuni dan persekitaran. Biasanya, suasana semula jadi termasuk pemandangan yang mencuri perhatian di laman pasti memberi persepsi tersendiri kepada keluarga dan tetamu,” katanya.

Selain itu, Sarina memberitahu, tanaman segar dan berbunga menjadi simbol menyambut kehadiran tetamu.

Selain bunga, replika cendawan antara yang menarik perhatian.

Suasana redup dan nyaman lebih terasa di laman kerana ia berfungsi mendinginkan persekitaran.

Susunan menarik pasu yang ditanam pelbagai jenis tanaman dan digantung pada sudut khas di laman menggambarkan latar landskap tersendiri.

“Kehadiran kerusi santai memberi peluang keindahan landskap dihayati sepenuhnya saban waktu.

“Laman indah itu menjadi antara lokasi paling sesuai merehatkan minda dan mencari ketenangan sepanjang masa,” katanya.

Dalam pada itu, Sarina memberitahu apabila taman yang diimpikan sudah menjadi kenyataan, kerja penyelenggaraan tidak seharusnya diabaikan.

Ia termasuk aspek penyiraman, merumpai, pembajaan, pemangkasan dan pemotongan rumput.

“Dengan semua kelebihan itu, jangan biarkan halaman rumah terbiar. Keluasan halaman bukan ukuran utama kerana tidak kira luas atau sempit. Jika kena cara penataan, ia tetap kelihatan menarik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×