Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) adalah anutan akidah kebanyakan umat Islam di seluruh dunia. ASWJ merujuk kepada mereka yang berpegang dengan akidah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda.
Sekalipun terdapat pelbagai aliran akidah yang dianuti oleh umat Islam seperti Mujassimah, Syiah dan Muktazilah, hanya ASWJ yang menepati akidah diimani oleh Rasulullah SAW.
Namun umat Islam masa kini semakin keliru siapakah sebenarnya yang dianggap sebagai ASWJ. Sebabnya terdapat beberapa aliran yang mendakwa merekalah ASWJ.
Bahkan ada yang menyatakan bahawa golongan Asya’irah bukanlah ASWJ sedangkan majoriti umat Islam di Malaysia bahkan di dunia seluruhnya adalah bermazhab dengan mazhab Asyairah dan Maturidiyyah!
ASWJ Di Sisi Al-Imam Ibnu Al-Subkiyy
Al-Imam Ibnu al-Subkiyy menjelaskan siapakah sebenarnya ASWJ menerusi kenyataan beliau di dalam Syarh ‘Aqidah Ibni al-Hajib yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya ASWJ seluruhnya telah sepakat terhadap akidah yang satu pada apa yang wajib, apa yang harus dan apa yang mustahil sekalipun mereka berbeza pada dalil-dalil dan prinsip-prinsip yang menyampaikan (seseorang) kepada akidah tersebut.
Kesimpulannya mereka setelah diperhatikan secara teliti adalah tiga kumpulan:
Pertama: Ahli hadis. Keyakinan bagi prinsip-prinsip mereka adalah dalil-dalil al-Sam’iyyah (iaitu) al-Quran, sunnah dan ijmak.
Kedua: Ahli pemikiran iaitu orang yang (menumpukan kepada dalil-dalil) akal. Mereka adalah Asy’ariyyah dan Hanafiyyah (Maturidiyyah). Guru besar bagi Ash’ariyyah adalah Abu al-Hasan al-As’ariyy manakala guru besar bagi Hanafiyyah adalah Abu Mansur al-Maturidiyy.
Mereka sepakat pada prinsip yang bercirikan akal kepada semua perbahasan yang dalil Sam’iyyah akan terhenti padanya (iaitu dalil Sam’iyyah yang mesti difahami tanpa sebarang pertentangan dengan kaedah akal).
Mereka juga sepakat kepada prinsip-prinsip yang bercirikan dalil-dalil Sam’iyyah pada apa sahaja perkara yang akal dapati perkara tersebut adalah harus.
Mereka juga sepakat pada prinsip-prinsip yang bercirikan akal dan bercirikan Sam’iyyah pada selain daripada itu. Mereka juga sepakat pada setiap perbahasan akidah melainkan beberapa perbahasan (sahaja).
Ketiga: Ahli Jiwa dan Kasyaf. Mereka adalah orang sufi. Prinsip-prinsip mereka pada permulaan adalah prinsip-prinsip bagi ahli pemikiran dan ahli hadis manakala (prinsip-prinsip mereka) pada penghujung adalah kasyaf dan ilham”.
Maka jelaslah bahawa ASWJ merujuk kepada empat golongan yang sekalipun berbeza dari sudut pendalilan namun mereka sepakat pada prinsip-prinsip akidah iaitu ulama hadis, Asya’irah, Maturidiyyah dan ahli sufi.
Persamaan Zat Allah Dengan Makhluk
ASWJ seluruhnya sepakat bahawa Allah tidak menyamai makhluk sama sekali pada zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan perbuatan-perbuatan-Nya.
ASWJ juga berpandangan, sebarang lintasan hati yang membawa kepada persamaan antara Allah dengan sebarang makhluk-Nya hendaklah dinafikan dan daripada Allah SWT.
Mereka sepakat sebarang sifat yang membawa kepada pemikiran seakan-akan Allah berjasad seumpama Allah bertempat, Allah bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi lain, Allah berjirim dan hasil gabungan beberapa objek, hendaklah dinafikan daripada Allah SWT kerana ia membawa kepada pemikiran Allah adalah berjisim.
Ayat dan Hadis Mutasyabihat
ASWJ bersepakat Allah tidak menyerupai sebarang ciri yang ada pada makhluk. Namun kadang-kadang ada ayat al-Quran dan hadis yang seakan-akan menyatakan bahawa Allah bersifat dengan sifat-sifat seumpama makhluk. Ayat-ayat dan hadis-hadis ini dikenali dengan mutasyabihat.
Maka dalam memahami ayat-ayat dan hadis-hadis seperti ini, ada dua cara olahan daripada ASWJ supaya ayat dan hadis tersebut tidak bertentangan dengan konsep ketidakserupaan Allah dengan sebarang makhluk.
Majoriti ASWJ daripada golongan salaf (mereka yang hidup pada tiga kurun pertama) berpendirian untuk mengakui bahawa ayat dan hadis tersebut adalah merupakan firman Allah dan sabda Rasulullah SAW.
Namun makna yang seakan-akan menyamakan Allah dengan makhluk akan ditolak oleh mereka kerana bukan itu makna yang diinginkan oleh Allah sebenarnya. Dalam masa yang sama mereka menyatakan bahawa hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahui makna sebenar yang diinginkan daripada ayat dan hadis tersebut.
Kaedah ini dikenali dengan nama al-Tafwidh (Penyerahan) iaitu menyerahkan makna yang diinginkan oleh Allah kepada Allah SWT.
Al-Imam Malik contohnya ketika ditanya berkenaan dengan hadis-hadis mutasyabihat telah berkata: “Lalukanlah hadis-hadis tersebut sebagaimana ia telah datang tanpa sebarang huraian”.
Begitu juga al-Imam Sufyan bin ‘Uyaynah berpendirian dengan berkata: “Semua sifat yang Allah sendiri telah menyifatkan diri-Nya dengan sifat-sifat tersebut di dalam kitab-Nya, maka tafsirannya adalah membacanya dan senyap daripada (membahaskan maknanya)”.
Adapun majoriti ulama khalaf (mereka yang hidup selepas tiga kurun pertama), mereka terkenal dengan kaedah al-Takwil (Pemindahan) iaitu memindahkan makna yang tidak diingini kepada makna yang bertepatan dengan konsep Allah tidak menyerupai makhluk.
Maka al-Takwil bererti menjelaskan kepada umum apakah erti sebenar yang diinginkan oleh Allah dan Rasul-Nya di dalam ayat-ayat dan hadis-hadis mutasyabihat.
Contohnya, mereka akan menyatakan maksud ‘tangan’ dalam ayat ke-73 surah ali-Imran yang bermaksud: Katakanlah: Sesungguhnya lebihan kurnia adalah di tangan Allah. Dia memberinya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Allah adalah Maha Luas lagi Maha Mengetahui adalah ‘kekuasaan Allah’.
Maka perbezaan antara dua kaedah ini adalah hanya pada persoalan: “Adakah kita mahu mencari makna sebenar yang diinginkan oleh Allah dan Rasul-Nya di dalam ayat-ayat dan hadis-hadis mutasyabihat atau kita sekadar mahu menafikan makna yang mustahil semata-mata tanpa mencari makna sebenar yang diinginkan oleh Allah dan Rasul-Nya”?
Walaupun berlaku perbezaan antara dua cara ini, seluruh ulama ASWJ sepakat bahawa makna yang menyatakan seakan-akan Allah seumpama makhluk bukanlah makna yang diinginkan oleh Allah dan Rasul-Nya.
Mentakwil mutasyabihat bukan salah
Sebenarnya ada kalangan ulama salaf yang mentakwil ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis mutasyabihat.
Antaranya adalah al-Imam Ahmad bin Hanbal sendiri selaku guru besar ASWJ dari aliran ahli hadis yang telah mentakwilkan ayat ke-22 daripada surah al-Fajr yang bermaksud: Tuhanmu telah datang……
Lalu beliau menjelaskan maksud ayat ini adalah pahala yang diberikan oleh tuhanmu telah datang. Pendirian al-Imam Ahmad ini dinukilkan oleh al-Imam Ibnu Kathir di dalam kitab beliau al-Bidayah Wa al-Nihayah.
Ini menunjukkan sama ada seseorang ingin berpegang dengan al-Tafwidh atau al-Takwil, dia tidak melakukan kesalahan kerana kedua-dua kaedah ini walaupun berbeza, ia sepakat Allah tidak bersifat dengan sebarang sifat makhluk sama sekali.
- PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










