Kehidupan rumah tangga tidak terlepas dari pahit manis perhubungan antara suami dan isteri. Memang salah faham dalam rumah tangga tidak dapat dielakkan dan ia juga menjadi cabaran hidup pada masa kini.
Tambahan pula ia juga menyumbang kepada permasalahan rumah tangga yang semakin meningkat bahkan merisaukan.
Bukan sedikit permasalahan rumah tangga yang berakhir dengan perceraian. Pertelingkahan dalam rumah tangga tidak memberi apa-apa manfaat walau sedikit, bahkan ia memberi kesan buruk kepada pasangan seperti dendam, stres dan emosi terganggu.
Di samping itu, ia memberi kesan buruk kepada anak-anak atas permasalahan tersebut sehingga mereka kehilangan kasih sayang, menjadi pendiam, gangguan mental dan sebagainya.
Sebagai seorang muslim dan muslimah yang berpegang pada agama, kita perlu memberi tumpuan dalam pembinaan rumah tangga yang baik. Ini seiring kita mencontohi rumah tangga Rasulullah SAW yang juga berhadapan dengan permasalahan keluarga.
Di antara masalah rumah tangga yang terjadi ialah masalah ekonomi atau ketirisan wang untuk menyara kehidupan berkeluarga.
Sebenarnya ini adalah masalah yang sangat serius, namun dalam menghadapi masalah ini perlu dicari puncanya.
Adakala yang berhadapan dengan masalah kewangan ini disebabkan pasangan lelaki malas bekerja, ada juga isteri menuntut lebih daripada keperluan.
Ada juga disebabkan pasangan suami dan isteri tersebut bekerja namun tiada persefahaman antara mereka sehingga suami memaksa isteri menanggung keperluan hidup sedangkan si isteri enggan berbuat demikian, sehingga timbul perselisihan dan pergaduhan serta lain-lain permasalahan.
Untuk mengatasi masalah begini, kita mesti mencari dan mengesan punca masalah, daripada situ barulah kita memikirkan jalan penyelesaian dan solusinya. Kehidupan rumah tangga Nabi SAW penuh dengan sifat qanaah (merasa cukup dengan yang ada).
Secara psikologinya, ia adalah sikap puas hati dengan kehidupan sedia ada tanpa membandingkan dengan kehidupan orang lain.
Ini adalah salah satu jalan yang memberi kesan efektif pada diri seseorang. Apatah lagi, sikap qanaah itu menjadi tuntutan di dalam agama, yang dengannya akan menjadi suatu ibadah hati.
Siti Aisyah menceritakan bahawa satu hari Rasulullah SAW datang ke rumah lalu bertanya, “Apakah ada sesuatu makanan yang boleh dihidangkan?” Siti Aisyah menjawab: “Cuma ada roti, kurma dan cuka.” Lalu baginda Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik lauk ialah cuka. Ya Allah! berilah keberkatan pada cuka kerana sesungguhnya ia adalah makanan para Nabi. Sesungguhnya tidaklah dikatakan fakir sesebuah rumah apabila di dalamnya ada cuka. (Riwayat Muslim)
Dalam berumah tangga, Rasulullah SAW juga kadang kala berhadapan masalah kewangan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: “Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut’ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan Rasul-Nya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar. (al-Ahzab: 28- 29)
Di dalam syariat Islam, tanggung jawab memberi nafkah kepada keluarga terletak di pundak seorang lelaki bergelar suami. Namun demikian, perlulah untuk pasangan tersebut saling bantu-membantu antara satu sama lain dan ia juga amat digalakkan apabila situasi pasangan tersebut menuntut untuk bertindak demikian.
SUAMI MALAS KERJA
Suatu yang tidak benar apabila seorang suami bersikap malas bekerja, apatah lagi ia memaksa isterinya memberikan sebahagian harta untuk keperluan keluarga sedangkan si suami mampu berusaha menjalankan tanggung jawabnya.
Bukanlah suatu yang manis apabila si isteri yang ada kelebihan harta tidak membantu suami atau keluarga yang memerlukan sedangkan tindakan itu merupakan sifat ihsan yang dituntut di dalam agama.
Saidina Bilal memberitahu Rasulullah SAW bahawa terdapat dua orang wanita (salah seorang dari mereka ialah Zainab, isteri Abdullah bin Mas’ud) bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai memberi sedekah (zakat) kepada suami dan anak yatim yang dijaga mereka,
Rasulullah SAW bersabda: Baginya dua pahala, pahala hubungan kerabat dan pahala sedekah. (Riwayat Muslim)
Di dalam al-Quran, Allah SWT juga menerangkan kepada kita akan pentingan saling membantu sesama keluarga: Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya. (an-Nisa’: 4)
Dibenarkan bagi seorang isteri berkongsi harta miliknya atau daripada mas kahwin yang dihadiahkan oleh suaminya untuk diberi sebahagian atau keseluruhan daripada yang ia miliki kepada suaminya. Bahkan tindakan itu akan mendatangkan barakah daripada Allah dengan pemberian tersebut.
Di dalam al-Quran juga Allah menceritakan kisah dua anak perempuan Nabi Syuaib yang bekerja membantu ayahnya yang kesulitan untuk mencari nafkah kerana usianya.
Firman Allah SWT: Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. dia bertanya: “Apa hal kamu berdua?” Mereka menjawab: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya (al-Qasas: 23










