Karya mengimbau nostalgia - Seniman Mass Yusoff dalam kenangan (1956-2021) - Utusan Malaysia

Karya mengimbau nostalgia – Seniman Mass Yusoff dalam kenangan (1956-2021)

ALLAHYARHAM Mass Yusoff suka menghasilkan karya tentang alam dan tumbuhan dan menjadikan seni lukisannya terapi menenangkan jiwa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“LUKISAN saya adalah kenangan pahit manis dan nostalgia pada zaman kanak-kanak. Contengan warna di atas kanvas seperti luahan isi hati yang menenangkan jiwa,” itu bait kata-kata seorang pelukis, Mass Yusoff menggambarkan hasil tangannya.

Mass Yusoff atau nama sebenarnya Mohd. Yusof Ab. Wahid, 65, seniman sepenuh masa melukis menggunakan cat air dan akrilik menggambarkan pemandangan kehidupan di Malaysia terutamanya pada zaman lalu.

Kanvas dan warna menjadi teman setia Mass Yusoff dalam menghasilkan karya-karya yang amat dekat dengan hatinya dan mempunyai kisah tersendiri.

Bagi beliau, seni lukisan adalah terapi yang dapat menenangkan jiwa. Masanya banyak dihabiskan di studio yang juga rumahnya untuk menghasilkan pelbagai karya seni.

Setiap hasil lukisan beliau mengimbau banyak memori bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga kepada ramai orang.

Kedai Kopi (2020) antara karya Mass Yusoff.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Takdir Allah, Covid-19 telah meragut nyawa Mass Yusoff, 23 Julai lalu sebelum sempat melaksanakan pameran solonya yang dijadualkan pada September 2021, namun tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimana pameran solo itu diteruskan ahli keluarganya menerusi pameran ‘Mengenang Mass Yusoff, Malaysiaku Indah’ sebagai memperingati perjuangan seni Allahyarham semasa hayatnya.

Lebih 100 karya seni Allahyarham dipamerkan di GM Bukit Bintang (GMBB), Jalan Robertson, Kuala Lumpur pada 15 Oktober hingga 7 November lalu.

Kongsi anak sulung Mass Yusoff, Nur Firdaus, 37, bapanya menjadi seorang pelukis sepenuh masa selepas menamatkan perkhidmatan sebagai Pengarah Kreatif di Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) yang disertainya sejak tiga dekad lalu.

“Sebahagian besar karya seni ayah banyak menceritakan nostalgia ketika zaman kanak-kanak dan kebanyakannya juga bertemakan kehidupan dan alam semula jadi.

“Arwah sering mencari ilham dengan mengunjungi kawasan perkampungan dan nelayan. Dia kemudian mengolahnya menjadi hasil seni yang mempunyai pelbagai cerita dan menenangkan jiwa melalui lakaran dan mainan warna.

“Dia juga menyukai alam dan melukis tumbuhan, burung dan ikan. Pada hujung minggu ayah selalu berada di pusat beli-belah, Publika.

“Dia cukup dikenali di situ dan lukisannya juga cepat terjual,” katanya ketika ditemui di GMBB baru-baru ini. Acara dirasmikan Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Nur Firdaus turut berterima kasih kepada Pengarah Muzium Seni Buku Bergambar, Linda Tan Lingard kerana memberi peluang meneruskan hajat terakhir Allahyarham mengadakan pameran itu.

“Kami amat berbesar hati ketika dihubungi oleh Linda untuk meneruskan hajat ayah mengadakan pameran solo. Ayah seorang yang komited melakukan sesuatu pekerjaan walau dalam kekurangan sekalipun, kerana kejayaan tidak dapat dicapai tanpa usaha.

“Kami sekeluarga akan meneruskan semangat dan prinsip Allahyarham. Walaupun kami tiga beradik tiada yang mewarisi bakat ayah, kami akan menerus dan merealisasikan pameran dan jualan karya miliknya yang ditinggalkan.

“Kami ingin beri peluang kepada sesiapa sahaja memiliki hasil karyanya untuk disimpan dan dipamerkan sebagai kenangan daripada seorang insan seni bernama Mass Yusoff,” katanya sambil menahan sebak.

Zabedah Koming menerangkan salah satu lukisan Mass Yusoff kepada Dr. Zurinah Hassan.

INSAN PENYAYANG

Mass Yusoff adalah seorang ayah dan datuk penyayang terhadap tiga cucunya. Walaupun telah lanjut usia, ia bukan halangan untuknya terus berkarya yang mula sertai pameran sekitar 1978.

Isteri Allahyarham, Zabedah Koming, 61, berkata, kesemua beribu-ribu lukisan hasil karya arwah suaminya, adalah ideanya sendiri, yang berkisar pada kenangan semasa kecil hinggalah dewasa.

ZABEDAH KOMING

“Arwah menghasilkan lebih 2,000 lukisan dan melukis sejak kecil lagi. Lukisan arowananya sangat popular dan dia mempunyai kolektor yang sering membeli lukisannya.

Mereka yang mahu mendekati hasil seni ini boleh ke Facebook Nur Firdaus Yusof atau Mohd. Yusof Abdul Wahid atau Instagram: @mass_yusof.

‘BAWA SUARA ALAM DAN JIWA’

Zurinah menyifatkan Mass Yusoff sebagai pelukis yang melukis nostalgia dan suara yang membawakan kepada ruang rindu pada masa lalu yang mana setiap satunya mengisi memori tentang hari-hari yang dilaluinya.

Katanya, kebanyakan karya Mass Yusoff adalah suara alam dan jiwa.

“Melalui lukisannya, kita dapat melihat dan mengenal diri di mana kita berasal, apa yang telah kita lalui. Suatu yang dipusakai oleh nenek moyang kita zaman-berzaman, nilai sejarah yang tidak boleh dinafikan.

“Saya boleh katakan kebanyakan lukisan arwah yang dipamerkan adalah pengalaman diri saya sendiri, suasana kampung di mana saya membesar, di tengah sawah terhampar.

DR ZURINAH HASSAN

“Dengan paya dan belukar, rakaman kehidupan nenek moyang yang menempuh perit dan sukar. Terlihat petani yang menanam padi, membanting tulang di tengah bendang.

“Sawah menghijau dipagari bukit-bukau, membuat kita mengenang masa lampau. Seperti angin yang berhembus membawa pesan dan menyeru kita menjaga akan warisan.

“Lukisan-lukisan ini menjadi media untuk golongan muda mengenal warisan bangsa. Bagaimana kehidupan kita dahulu.

“Generasi sekarang harus menghargai kemajuan yang mereka telah capai. Apabila kita melihat masa lalu, jangan dilupa apa yang telah dilalui oleh nenek moyang kita,” katanya yang turut mendendangkan hadirin dengan puisi karyanya, Bunga di Kolam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN