Jadi janda pada malam pertama - Utusan Malaysia

Jadi janda pada malam pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada yang bertanya kepada saya wujud lagikah perkahwinan diatur keluarga pada hari ini?

Jawapannya ya. Masih ada tapi tidak banyak seperti zaman datuk nenek kita dahulu, yang mana zaman mereka menjadi kemestian jodoh dicari oleh keluarga.

Alasannya mudah sahaja tidak mendapat calon sesuai, jodoh lambat dan sesetengahnya menyerahkan urusan jodoh kepada ibu bapa.

Sejauh mana perkahwinan begini dapat bertahan hanya mereka yang mengalaminya dapat memberi jawapan. Ia seperti kisah yang saya kongsikan minggu ini.

Rohayu (bukan nama sebenar) berusia 28 tahun seorang pensyarah kolej swasta lulusan sebuah universiti tempatan, sementara suaminya, Kamarulzaman (bukan nama sebenar) seorang jurutera lulusan universiti luar negara.

Sewaktu menuntut di universiti, Rohayu tidak berpeluang mencari teman lelaki kerana mahu menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

Hajat kedua-dua orang tua melihat Rohayu lulus cemerlang tercapai malangnya jodoh pula yang terlambat.

Pun begitu sebagai anak, Rohayu tidak ambil kisah dengan usianya yang semakin lanjut.

Kamarulzaman pula, dua tahun setelah kembali ke tanah air dan bekerja di sebuah firma antarabangsa masih tidak mempunyai teman istimewa.

Kehidupannya sama seperti ketika berada di luar negara.

Teman setianya hanyalah Zack (bukan nama sebenar) yang juga menjadi sahabat karibnya ketika di luar negara.

Seperti kebiasaannya, ibu bapa mula sibuk bertanya tentang jodoh apabila melihat anak-anak mereka yang berkerjaya semakin lanjut usia.

Mereka mula kalut mencarikan jodoh untuk anak-anak. Begitulah juga yang berlaku kepada ibu bapa Rohayu dan Kamarulzaman.

Desakan demi desakan membuatkan mereka memutuskan untuk membiarkan keluarga mencari pasangan masing-masing.

Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, begitulah perasaan ibu bapa Rohayu dan Kamarulzaman.

Hendak dijadikan cerita secara kebetulan kakak Rohayu berkawan rapat dengan ibu saudara Kamarulzaman.

Semasa masing-masing menyuarakan hajat mencarikan calon untuk adik dan anak saudara masing-masing terkeluar cadangan agar Rohayu dan Kamarulzaman dijodohkan.

Lalu mereka mengaturkan pertemuan yang dirancang di rumah kakak Rohayu. Dalam pertemuan itu Kamarulzaman datang bersama ibunya manakala Rohayu datang bersama keluarganya.

Seperti diharapkan, Kamarulzaman akhirnya berkenan dengan Rohayu dan meminta ibu bapanya meneruskan rundingan untuk menyatukan mereka.

Rohayu pula tidak banyak kisah, dia menerima sahaja siapa lelaki yang menjadi pilihan ibu bapa.

Baik bagi mereka baiklah kepadanya.

Sebelum mengikat tali pertunangan, Rohayu dan Kamarulzaman ada berjumpa dua tiga kali untuk berkenal mesra.

Dalam setiap pertemuan Kamarulzaman sering mengingatkan Rohayu berkali-kali agar tidak menyesal dengan perkahwinan diatur keluarga mereka.

Rohayu cuba mencungkil apa yang dimaksudkan Kamarulzaman, namun tidak ada sebarang penjelasan keluar daripada mulut lelaki itu.

Hari berganti minggu, minggu berganti bulan.

Sehinggalah memasuki bulan ketiga perkenalan, keluarga Rohayu dan Kamarulzaman sepakat mengadakan majlis pertunangan serentak dengan majlis perkahwinan.

MALAM PERTAMA

Seperti pasangan baru berkahwin, Rohayu begitu gembira untuk menikmati malam pertama sebagai seorang isteri.

Namun nasib Rohayu sungguh memilukan. Malam pertamanya hancur dengan pengakuan Kamarulzaman bahawa dirinya tidak ada nafsu dengan wanita, sebaliknya dengan kaum sejenis.

Hancur luluh hatinya mendengar pengakuan daripada Kamarulzaman.

Tangkai jantungnya bagaikan direntap-rentap.

Pilu dan memedihkan, namun itulah hakikat yang perlu diterima saat itu.

Tangisan Rohayu memecah kesunyian malam dan turut mengejutkan seisi keluarga termasuk ibu bapa Kamarulzaman.

Rupanya tidak seorang pun di antara mereka yang tahu perilaku Kamarulzaman.

Begitulah keadaannya. Namun apa hendak dikata, semuanya sudah terlambat, nasi sudah menjadi bubur.

Belum hilang merah inai di jari, Rohayu sudah bergelar janda.

Bagi Rohayu dia tidak menyesal dengan keputusan untuk berpisah dengan Kamarulzaman.

Dia bersyukur kerana lelaki itu membuat pengakuan lebih awal sebelum mereka meneruskan kehidupan sebagai suami isteri.

Inilah yang dikatakan qada dan qadar. Kita hanya merancang Tuhan yang menentukan segalanya.

Rohayu tidak menyalahkan sesiapa, jauh sekali ibu bapa yang beria-ia mencarikan jodoh untuknya.

Sebagai hamba-Nya Rohayu mahu semua itu dijadikan iktibar untuk menghadapi hari muka yang lebih bermakna. Mudah-mudahan masih ada sinar bahagia untuknya.

Kepada ibu bapa dan sesiapa sahaja yang tergerak hati mencarikan jodoh untuk anak-anak, berhati-hatilah.

Selidik dan kaji latar belakang calon menantu terlebih dulu sebelum membuat keputusan menerima lamaran mereka.

Sebelum melangkah lebih jauh, kenali dahulu sifat-sifat yang ada pada seseorang itu.

Tanya kenalan rapat mengenai perwatakannya atau perhatikan tingkah laku sewaktu bertemu.

Mungkin kita tidak mampu mengenalinya dengan terperinci, tetapi sekurang-kurangnya telah berusaha mencari yang terbaik untuk anak.

Yang selebihnya, serah kepada Allah SWT. Yang paling penting, agama mestilah didahulukan supaya hubungan sentiasa diredai Allah.

Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Perempuan -perempuan yang jahat untuk lelaki-lelaki yang jahat. Lelaki-lelaki jahat untuk perempuan-perempuan jahat, sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka ini bersih dari apa yang dituduh orang, Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia. (al-Nur: 26)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN