Aktiviti berenang pun kena patuh SOP - Utusan Malaysia

Aktiviti berenang pun kena patuh SOP

Elakkan kolam renang yang sesak atau tempah slot sebelum melawat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak dua tahun yang lalu, aktiviti berenang dianggap satu kemewahan yang sukar untuk dinikmati kerana ramai yang tidak mempunyai kolam renang di rumah dan akibat pandemik, pusat sukan dan rekreasi terpaksa ditutup untuk memerangi penularan wabak Covid-19.

Memandangkan negara kita sudah mencapai lebih daripada 90 peratus kadar vaksinasi dalam kalangan dewasa dan peralihan ke fasa endemik, kerajaan telah mengumumkan kelonggaran sekatan yang membolehkan kita menjalankan dan menyertai aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan luar dan separuh tutup seperti berenang.

Sungguhpun begitu, pandemik ini menyedarkan kita tentang kepentingan penjagaan kebersihan terutamanya di kawasan awam bagi mengurangkan risiko jangkitan virus.

Keselamatan berkaitan aktiviti air kini sering menjadi persoalan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setakat ini, tiada bukti menunjukkan Covid-19 boleh tersebar melalui air semasa berenang.

Walaupun virus ini tidak terbukti sebagai penyakit bawaan air dan tidak mungkin merebak di kalangan manusia melalui aktiviti rekreasi air, garis panduan keselamatan dan sanitasi kolam yang betul tetap menjadi keutamaan.

Presiden Persatuan Perenang, Richmond Ho berkata, untuk mengekalkan persekitaran air yang steril untuk kolam renang (terutamanya kolam awam), pembersihan menyeluruh, penapisan dan sanitasi adalah keperluan terpenting untuk melindungi diri daripada kuman dan bakteria yang merbahaya.

“Pembersihan kolam menjadi makin penting untuk mengekalkan kebersihan air di samping melindungi badan dan kulit perenang, terutamanya kanak-kanak dan bayi daripada bahan kimia yang terkandung dalam air yang boleh menjejaskan kesihatan.

“Ia memerlukan sistem sanitasi berkualiti seperti sistem sanitasi syarikat penyedia penyelesaian sehenti dalam menyesuaikan tahap klorin mengikut standard selamat dan bersih untuk perenang seperti Waterco,” katanya.

Walaupun air kolam agak selamat dengan pembasmian kuman yang betul, penting untuk diingatkan bahawa terdapat risiko jangkitan virus. Ia melalui titisan salur pernafasan apabila berada di tempat yang sesak akibat hubungan kontak rapat.

Ho yang juga Jurulatih Renang Malaysia (MASWIM) berkata, pengusaha kolam renang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan di dalam dan di luar kolam renang bagi memastikan keselamatan perenang dan kakitangan operasi.

“Kakitangan kolam renang mesti terlatih untuk memantau dan mengawal kapasiti dan jarak fizikal pengunjung. Kemudahan awam seperti bangku dan meja berhampiran kolam renang, tangga kolam renang dan loker juga perlu dibasmi kuman secara berkala,” katanya.

Walaupun kerajaan menetapkan SOP dan pengendali kolam renang mengambil langkah pencegahan penularan virus, setiap orang perlu memikul tanggungjawab memastikan keselamatan keluarga yang tidak lagi divaksin.

Berikut beberapa langkah berjaga-jaga memastikan keselamatan diri dan orang ramai di kolam renang:

1. Bawa sanitiser tangan dan tisu sanitasi

Kerap membasuh tangan dan sanitasi selepas menyentuh apa-apa permukaan atau objek di kolam renang, seperti pemegang tangga. Anda turut dinasihatkan lap meja dan kerusi menggunakan tisu sanitasi.

Bawa sanitizer sendiri sebagai langkah pencegahan terkena Covid-19.

2. Bawa set peralatan renang sendiri

Apabila berseronok dalam kolam, sukar untuk mengelak daripada menyentuh hidung, mata dan mulut dengan tangan.

Oleh itu, adalah disyorkan membawa peralatan renang sendiri seperti gogal, papan tendang, pelampung dan sebagainya. Elakkan meminjam peralatan ini daripada orang lain.

3. Penjarakan fizikal di dalam kolam

Penjarakan sosial perlu dikekalkan di dalam dan di luar kolam pada norma baharu ini. Beri perhatian kepada penjarakan (sekurang-kurangnya dua meter) antara orang di sekeliling kita pada setiap masa.

Boleh juga hubungi pasukan pengurusan kolam terlebih dahulu untuk mengetahui lebih lanjut tentang prosedur SOP dan had kapasiti mereka.

4. Pakai pelitup muka apabila di luar kolam

Pemakaian pelitup muka di tempat awam dan kawasan yang sesak dapat mengurangkan risiko jangkitan sambil mengelak penularan virus.

Walaupun anda tidak boleh memakai pelitup muka di dalam kolam, pastikan anda memakainya setiap kali berada di luar kolam untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×