Unizzol: Penyahkuman dengan pewangi - Utusan Malaysia

Unizzol: Penyahkuman dengan pewangi

Unizzol bukan sekadar membasmi kuman tetapi turut mempunyai pewangi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Gelombang pertama pandemik Covid-19 dua tahun lalu menyebabkan permintaan produk klinikal seperti penyahkuman, pelitup dan pelindung muka naik mendadak.

Menurut Timbalan Pengarah Pemindahan Teknologi Dan Pengkomersialan Business Innovation & Technology Commercialisation Centre (BitCom), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Fazlena Hamzah, bagi memastikan UiTM tidak ketinggalan menghasilkan produk-produk klinikal tersebut pihaknya membangunkan produk penyahkuman secara komersial.

“Sebenarnya produk penyahkuman telah lama kita bangunkan iaitu pada tahun 2019, beberapa tahun sebelum pandemik Covid-19 melanda negara dan global.

DR. FAZLEENA HAMZAH

“Kita mulakan secara makmal semasa program ‘Jom Masuk Universiti’. Kita buat promosi di booth bawah kejuruteraan kimia yang mana kita ajar pelajar buat penyahkuman,” katanya ketika ditemui di Bitcom UiTM baru-baru ini.

Fazlena berkata, pembuatan penyahkuman adalah salah satu portfolio dalam kursus di bawah kejuruteraan kimia iaitu pembangunan produk.

Katanya, demonstrasi menghasilkan penyahkuman semasa ekspo tersebut turut melibatkan ibu bapa.

“Ini kita lakukan supaya bakal pelajar dan ibu bapa mereka nampak pembuatan penyahkuman adalah sebahagian kursus yang kita ada.

“Boleh kata penyahkuman menjadi produk bermula daripada usaha kecil-kecilan ini, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata, setelah negara dilanda pandemik, Fakulti Kejuruteraan Kimia pada awal PKP menghasilkan 50,000 liter penyahkuman dan dibotolkan dalam botol bersaiz sederhana 100 ml.

Jelasnya, inovasi yang dilakukan setelah PKP dilanjutkan dan prosedur operasi standard (SOP) yang memerlukan penyahkuman digunakan dengan kerap, maka kandungannya dipasarkan dalam bentuk kad semburan.

“Kad semburan 50 ml lebih ringan dan bersaiz kecil untuk tujuan komersial. Objektif utama untuk menggalakkan orang ramai membawa penyahkuman ke mana sahaja terutama ketika berada di tempat awam,” katanya.

Keistimewaan Unizzol berbanding penyahkuman lain kata Fazlena, ia bukan sekadar membasmi kuman tetapi turut mempunyai pewangi.

Ujarnya, sudah pasti nilai tambah sedemikian menjamin pelanggan membeli semula produk tersebut.

Mengulas lanjut dari aspek pemasaran, pemasaran dalaman dilakukan di UiTM dalam kalangan kakitangan dan rakan-rakan terdekat.

“Ada juga syarikat yang memeterai perjanjian jualan dengan pihak UiTM. Produk Unizzol yang telah disiapkan akan diambil oleh pembeli sama ada di Bitcom atau di makmal kami,” katanya.

Dr. Fazlena Hamzah menunjukkan sampel penyahkuman kepada bekas Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohd. Azraai Kassim dua tahun lalu.

HASILKAN 100 LITER

Fazlena memberitahu, setiap produksi pihaknya akan menghasilkan Unizzol sebanyak 100 liter.

Katanya, pada kebiasaannya pelanggan akan memesan semula dalam waktu yang singkat disebabkan penggunaannya yang kerap.

“Pemasaran setakat ini masih di dalam sistem UiTM di Semenanjung Malaysia sahaja.

“Pada masa depan Unizzol akan dipasarkan secara meluas setelah pandemik Covid-19 berakhir. Pada saat pemakaian penyahkuman menjadi budaya dan SOP kita,” katanya.

Mengenai aspek keselamatan produk Unizzol, Ketua Pelesenan Teknologi & Pembangunan Perniagaan Bitcom, Dr. Fazleen Haslinda Mohd. Hatta berkata, ia mengandungi kandungan bahan kimia etanol dalam kadar yang dibenarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Terdapat 70 peratus kandungan etanol dalam penyahkuman tersebut. Kadar tersebut perlu mencukupi supaya ia dapat merencat aktiviti mikrob pada sesuatu permukaan tapak tangan.

“Untuk penyahkuman biasa orang tidak tahan bau etanol. Kita tambah haruman dan komponen lain untuk menambah nilai produk Unizzol,” katanya.

Fazleen berkata, pembelian Unizzol buat masa ini masih secara dalam talian dan belum ada di kedai. Seperti produk lain, Unizzol dipasarkan melalui media sosial Bitcom dan instagram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×