Sesi persekolah dibuka sejak minggu lepas menyaksikan murid kembali ke persekitaran dirindui, iaitu sekolah, guru dan kawan-kawan.
Sehingga artikel ini ditulis, portal CovidNow, merekodkan seramai 177,029 atau 5.6 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun dilengkapi vaksin, sekaligus sudah ada perlindungan daripada virus.
Pakar Pediatrik, Pantai Hospital Laguna Merbok, Dr. Ahmad Bazli Mohamad berkata, memulakan rutin baharu yang ditinggalkan hampir dua tahun lalu memerlukan persediaan supaya kanak-kanak tidak terlalu tertekan dengan persekitaran baharu itu.
Kembali ke sekolah tanpa kesediaan fizikal dan mental, meningkatkan tahap ketakutan dan kegelisahan seterusnya mengganggu perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak.
“Walaupun mereka kelihatan teruja, tetapi pada masa sama pasti berasa sedikit gusar mengenai jangkitan. Janganlah terlalu menakut-nakutkan mereka secara keterlaluan dengan Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Penularan Covid-19 menyebabkan tahap tekanan yang tidak pernah dialami sebelum ini bagi semua masyarakat termasuklah kanak-kanak.
Namun kanak-kanak menunjukkan lebih banyak tanda kemurungan dan masalah kesihatan mental yang lain.
Antara kaedah meredakan tekanan dalam kalangan si cilik ialah bercakap, bercerita atau berkongsi hal ehwal sekolah, guru dan rakan serta berikan gambaran suasana baru perlu mereka lalui.
“Perkara ini perlu bagi memberi sokongan emosi kepada anak-anak sebelum mereka ke sekolah terutamanya bagi murid-murid Tahun Satu. Ini penting kerana mungkin ada dalam kalangan kanak-kanak yang sudah terbiasa dengan suasana rumah sahaja,” ujarnya.
Memperbetulkan rutin tidur kanak-kanak juga antara aspek tidak boleh diketepikan.
Dr. Ahmad Bazli mengakui kebanyakan kanak-kanak tidak mempunyai rutin tidur yang betul kesan daripada perubahan gaya hidup akibat pandemik.
“Ajak anak kembali kepada rutin tidur awal dan mengikut waktu,” katanya.
PATUHI SOP
Meneruskan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial dan amalan mencuci tangan antara rutin perlu dipatuhi.
Dr. Ahmad Bazli berkata, ia tidak boleh dilakukan secara ala kadar dan dipatuhi di sekolah semata-mata sebaliknya perlu dilakukan sebagai rutin harian.
“Tekankan kepada anak mengenai aspek kebersihan. Mereka yang tidak menjaga kebersihan tangan bukan saja boleh menjejaskan kesihatan diri sendiri tetapi juga orang lain. Tangan yang kotor jadi medium terbaik untuk kuman merebak” katanya.
Aspek penjarakan sosial juga perlu dipatuhi sentiasa.
“Tegaskan kepada anak-anak bahawa norma baharu bereti mereka tidak lagi bebas memeluk, berpegangan tangan, berbual dengan jarak yang dekat atau duduk rapat-rapat,” katanya.
Oleh itu katanya, pastikan anak-anak sentiasa melakukan penjarakkan sosial sekurang-kurangnya satu meter, sentiasa memakai topeng muka dan sekurang-kurangnya membersihkan tangan menggunakan sanitizer bagi tujuan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
“Selain norma baharu yang diperkenalkan di sekolah, ibu bapa juga berperanan mendidik anak-anak tentang pentingnya penjagaan kebersihan dan kesihatan di sekolah untuk mencegah Covid-19,” katanya.










