Itu luahan penyanyi lagu Sempurna Waktu, Ir Radzi yang lama menyepi dan seakan hilang dari radar seni.
Pertemuan kami di laman maya menjadi ruang bagi empunya nama sebenar Mohamad Shah Riadzi menjelaskan asbab kehilangan selama ini.
Anak kelahiran Bumi Kenyalang ini meluahkan rasa kecewa dengan layanan pihak pengurusannya yang seperti acuh tak acuh dalam menguruskan kerjaya seninya.
Lebih parah, Ir mendakwa dia tidak dibayar, apatah lagi menerima pendapatan daripada penjualan lagu dan album.
“Saya berhubung dengan mereka sebelum ini. Janji nak serah laporan, sebelum pandemik lagi. Namun, saya belum terima apa yang dijanjikan sehingga ke hari ini.
“Saya mahukan jawapan. Dimana hasil perolehan album yang sepatutnya saya terima, langsung tiada,” dakwanya.
Kata Ir, dia bukan saja-saja berbunyi sebaliknya ada sebab mengapa penyanyi lagu Maafkan aku ini tampil kedepan untuk meluahkan.
“Kos pembikinan (album) mencecah RM100,000 saya laburkan dengan duit simpanan, hasil kerja menyanyi.
“Lagu dikeluarkan syarikat, di situ saya faham ada tambah tolaknya. Tetapi soalnya kos saya tanggung sendiri, semua sekali. Bukan pihak pengurusan.
“Persetujuan telah ditandatangani antara saya dan pihak sebelah sana. Sepatutnya mereka bantu saya, artis yang bernaung dibawah mereka,” katanya kesal.
Luah pemenang Artis Baharu Lelaki Terbaik, Anugerah Planet Muzik 2015 ini, dia terkilan kerana dianak tirikan lebih-lebih lagi dalam tahun-tahun mencabar kini.
Katanya, bayaran sepatutnya digunakan untuk menampung kehidupan pada waktu sukar sekarang ini masih tidak kelihatan.
“Pengurusan sepatutnya telus. Mereka perlu menjaga pendapatan artis. Saya pernah suarakan kegusaran ini dengan cara tidak menekan, tetapi mereka berdalih.
“Saya harap mereka sedar akan tanggungjawab mereka. saya tidak mahu artis lain juga mengalami perkara sama,” jelasnya.
Namun, kata Ir, dia masih terbuka untuk berbincang. Dia tidak mahu bermusuhan, apatah lagi bermasam muka dengan pihak di sebelah sana.
“Kalau boleh, saya tidak mahu menyusahkan mereka. Saya nak mereka sedar sendiri.
“Tetapi, saya tetap mahukaan jawapan. Mungkin juga akan berbincang dengan pihak mereka. Hak cipta mereka pegang.saya tidak terima langsung perolehan hasil lagu.
“Dalam keadaan pandemik sekarang semua orang susah. Mereka sepatutnya bantu saya ketika fasa mencabar ini, kalau ada masalah, janganlah senyap terus,” ujarnya.
SURVIVAL FASA MENCABAR
Seperti ramai penyanyi lain yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19, anak lelaki tunggal ini mengakui hidup di kala pandemik agak mencabar dan penuh dugaan.
Namun katanya, dia tidak punya pilihan selain menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dan berbuat sesuatu demi menyara keluarga.
“Memang pandemik menguji, anak seni pun sukar meneruskan karier. Saya tengah belajar untuk sesuaikan diri supaya lebih inovatif dan memanfaatkan platform digital untuk berkarya.
“Sekarang ini berbeza, kalau tak biasa kita akan terasing. Namun saya bersyukur, di Sarawak sambungan Internet adalah pada tahap yang bagus. Jadi boleh dimanfaatkan.
“Saya pernah bekerja di belakang tabir. Pengalaman itu saya gunakan untuk menguruskan program pencarian penyanyi, Bakat Kamek yang telah dimulakan sebelum pandemik lagi.
“Itu banyak membantu saya,” katanya.
Peritnya Instagram kena godam
Pengalaman akaun Instagram digodam bukanlah sesuatu yang mudah dihadam seorang Ir Radzi.
Sesiapapun akan terduduk bila akaun media sosial dengan jumlah pengikut yang ramai dirampas dengan sekelip mata.
Terang Ir, dia telah pun melaporkan isu berkenaan kepada pihak berkuasa.
Namun, katanya tidak ada apa yang boleh dilakukan selain menerima keadaan dengan penuh sabar.
“Akaun Instagram tersebut ada 47,000 followers (pengikut) dan masih ada sampai sekarang. Tetapi saya dan penggodam tersebut tidak dapat mengaksesnya.
“Laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah dibuat, namun respons yang saya terima adalah itu di luar bidang kuasa mereka.
“Mereka hanya ambil tindakan jika berlaku fitnah dan ancaman keselamatan,” jelasnya.
Kebergantungan terhadap media sosial adalah tinggi, lebih-lebih ketika musim pandemik ini.
Justeru, banyak program bersama peminat yang dirancang untuk mendekatkan lagi jurang antaranya dengan peminat.
“Sekarang ini jemputan menyanyi kurang memandangkan keadaan yang masih tidak membenarkan. Jadi jalan yang terbaik adalah dengan menggunakan platform Youtube, Facebook, Instagram.
“Ada peminat yang minta saya buat persembahan secara maya. Rancang memang nak buat dekat studio Oha Music.
“Jadi saya akan tetap buat online showcase bersama peminat,” katanya.










