Empat dalam 10 rakyat Asia menghidapi Osteoartritis (OA) dan sakit sendi percaya sekatan pergerakan memberi impak negatif terhadap kualiti kehidupan mereka dari aspek emosi dan secara praktikal.
Pendedahan itu diperoleh menerusi tinjauan dalam talian yang dilakukan ELMA Research untuk Viatris di Malaysia, Thailand, Korea Selatan dan China. Ia diadakan sempena Hari Atritis Sedunia yang diraikan pada 12 Oktober setiap tahun. Tinjauan berkenaan turut bertujuan mengenal pasti impak emosi, praktikal dan fizikal dalam kehidupan pesakit akibat kawalan dan sekatan pergerakan sepanjang tempoh Covid-19.
Tinjauan itu turut mendedahkan 43 peratus daripada responden mendapati kehidupan mereka kian sulit untuk diuruskan kerana kualiti kehidupan dari segi praktikal dan psikologi mereka turut mengalami kesukaran.
Manakala, empat daripada 10 pesakit OA di negara ini, merasa sukar untuk mengatasi masalah emosi semasa kawalan pergerakan dilaksanakan.
Bagi penghidap kurang upaya, penyakit tersebut adalah antara kemungkinan punca kematian awal dan dikaitkan dengan peningkatan kadar kematian. Di mana sekatan pergerakan memberikan impak terhadap kualiti kehidupan mereka.
Sebanyak 43 peratus pesakit mengatakan keadaan mereka menjadi lebih buruk ketika langkah kawalan sosial mula dikuatkuasakan.
LANGKAH MENGAWAL SAKIT SENDI
OA adalah salah satu daripada 10 jenis penyakit yang melemahkan tubuh, prevalensnya meningkat dengan usia dan indeks jisim badan. Penyakit ini dijangkakan akan meningkat kira-kira 350 juta orang menjelang 2025.
Antara langkah mengawal sakit sendi ini adalah, senaman minda dan tubuh, pengawalan berat badan dan pelan pemakanan sihat.
Memandangkan kawalan pergerakan dilaksanakan sepanjang tempoh pandemik, ia turut memberi kesan kepada aktiviti untuk bersukan dan riadah seperti berjalan atau bersosial, hal ini telah menyukarkan lagi kehidupan pesakit.
Individu menghidapi sakit sendi perlu kerap mendapatkan nasihat doktor bagi memastikan mereka mengikut pelan rawatan yang betul.
Di samping itu, ahli farmasi juga memainkan peranan penting iaitu dari aspek kekerapan dan pengesyoran rawatan proaktif.
Dalam menangani cabaran menghadapi populasi berusia, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membentuk sebuah inisiatif bertajuk ‘Dekad Penuaan Sihat’.
Inisiatif ini menggalakkan penjagaan bersepadu dan jangka panjang bagi pengurusan keadaan kronik di alami pesakit. OA adalah satu penyakit progresif dengan simptom yang turut merangkumi kesakitan, kekejangan, bengkak dan kehilangan fungsi sendi yang normal.










