Anak kurang upaya tidak boleh dikecualikan daripada mendapat pendidikan sempurna, lebih-lebih berkaitan dengan ilmu keagamaan seperti solat dan mengaji.
Sungguh pun Covid-19 menjadi halangan mempraktikkan pengajaran secara bersemuka, tetapi ia bukan halangan untuk ibu bapa terus mendidik anak istimewa tentang ibadat dan kecintaan terhadap Penciptanya.
Malah Penasihat Yayasan Faqeh, Nor Aziah Mohd Daud, berkata didikan keagamaan diberikan kepada anak orang kurang upaya (OKU), membantu mereka lebih tenang dalam melalui norma baharu rentetan pandemik Covid-19.
Katanya disiplin ditawarkan ibadah seperti solat, mengaji dan berpuasa membantu anak-anak menjadi lebih berdikari dan menghormati masa.
“Dalam ibadah solat contohnya, ia akan menjadikan anak-anak faham tentang perlunya menjaga waktu solat lima kali sehari. Secara tidak langsung ia akan menepati waktu dan berdisiplin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Bual Bicara Rentan – Penjagaan Kesihatan Anak-anak Istimewa Dalam Era Pandemik secara dalam talian baru-baru ini. Ia dianjurkan Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Nor Aziah menegaskan, ibu bapa perlu jadikan menjadikan norma baharu ini sebagai ujian positif dengan memanfaatkan setiap masa melakukan sesuatu yang lebih produktif termasuk merapatkan hubungan dengan anak-anak menerusi aktiviti menyeronokkan.
Nor Aziah adalah pelopor kaedah bacaan al-Quran untuk anak istimewa di Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan Faqeh).
Kaedah dibangunkan pada 2009 itu, bukan saja yang pertama di negara ini, tetapi mendapat banyak pengiktirafan termasuk Anugerah Ibnu Sina, pingat emas pada program i-Fakih (aplikasi iPad) menerusi kerjasama Universiti Malaya (UM) dan pingat emas di The British Invention Show 2013 (BIS 2013), London menerusi kerjasama Universiti Malaysia Perlis
Akademik
Bukan sesuatu luar biasa ibu bapa menghantar anak OKU ke kelas akademik atau kelas kemahiran seperti berenang, bermain piano atau berkuda.
Namun agak jarang ibu bapa menghantar anak istimewa ke kelas agama dan pengajian al-Quran.
Bukan kerana tidak mahu menghantar ke kelas agama, tetapi kadangkala kesukaran mendapatkan pusat pembelajaran khas yang menyediakan pendidikan sedemikian.
Nor Aziah mengakui situasi itu, kerana katanya jika ada pun tenaga pengajar tidak dilatih dalam menyantuni anak istimewa dalam bidang al-Quran.
Namun katanya ia bukanlah halangan untuk ibu bapa mengambil peluang kekurangan yang ada dengan mengajar sendiri anak mereka tentang aspek ibadah.
“Saya selalu memberi contoh tentang rutin solat. Biarlah kita solat di depan anak supaya mereka dapat mencontohi kita. Walaupun mereka istimewa, mereka boleh belajar perkara yang mereka lihat,” katanya yang menjelaskan penggunaan alat bantuan seperti kad imbas turut membantu memberikan lebih pemahaman.
OKU itu istimewa
Nor Aziah yang turut mempunyai anak OKU pendengaran, berkata menjaga anak istimewa seharusnya istimewa seperti gelarannya.
Bekas Guru Agama Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temerloh Jaya, Pahang, ini berkata sama seperti ibu bapa lain, pada peringkat awal dia juga seolah-olah tidak percaya bahawa anaknya cacat pendengaran.
Sebagai guru mengajar murid dengan masalah pendengaran, beliau turut mengakui terpukul dengan ketentuanNya.
Namun beliau akur untuk redha dan ikhlas memiliki anak istimewa.
Nor Aziah, turut mengingatkan ibu bapa untuk kuat daripada segi mental kerana mereka pasti pernah berdepan dengan cemuhan masyarakat.
“Kadangkala tohmahan masyarakat amat memeritkan seperti mengatakan anak istimewa ini disebabkan keturunan, hingga menyebabkan seluruh keluarga putus asa. Kita sebagai ibu bapa sudah tentu sedih tetapi kita perlu berlapang dada,” katanya.
Ibu bapa jangan malu
JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM)mendedahkan seramai 598,000 mendaftar sebagai OKU. Angka itu kata Nor Aziah, sangat besar dan ia menunjukkan berlaku peningkatan saban tahun.
Lantaran itu, katanya ibu bapa perlu ada ilmu dalam mendidik cahaya mata istimewa ini.
Katanya, sebagai contoh walaupun ibu bapa mempunyai lebih daripada seorang anak istimewa, kedua-dua anak itu pasti mempunyai sifat yang berbeza. Oleh itu, ibu bapa perlu mempunyai ilmu supaya dapat menjaga dan mendidik anak mengikut sifat dan situasi setiap anak.
“Jangan malu bertanya dengan orang lain yang ada pengalaman menguruskan anak istimewa. Belajar daripada mereka dan ambil iktibar daripada kisah mereka. Inspirasi positif, membantu ibu bapa mendekati dan memahami anak-anak istimewa mereka tanpa ada perasaan tertekan,” katanya.










