KELETAH dan kepetahan burung kakaktua yang sering memanggil ‘abah’ sama ada ketika pulang dari kerja atau semasa di rumah menjadi terapi buat Mohd. Azarizan Ali, 37, terutama sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Keunikan haiwan itu sekali gus menyebabkan Mohd. Azarizan sanggup berhabis lebih RM15,000 semata-mata untuk memelihara kesemua 10 ekor burung berkenaan sejak 10 tahun lalu.
Penjual kenderaan terpakai itu berkata, burung kakaktua lebih mudah dijaga berbanding haiwan peliharaan lain kerana tidak cerewet selain sifatnya yang mendengar kata.
Katanya, burung pertama yang dibeli pada 2011 ialah daripada spesies African Grey yang berharga RM2,000 termasuk kos lesen daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Selain abah, burung kakaktua saya juga boleh memberi salam di samping menyebut hai dan bye.
“Kesemuanya sudah dianggap sebagai keluarga kerana sifat manja, bijak dan jinak. Malah ia juga cepat tangkap setiap kali diajar bertutur termasuk boleh meniru suara kucing,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Kenanga, Kuala Terengganu baru-baru ini.
Menurut Mohd. Azarizan, antara yang paling disayangi ialah Blue-Gold Macaw kerana tergolong dalam spesies terancam dengan habitatnya hanya di Amerika Selatan di samping Chestnut-Fronted Macaw, Sulphur Crested Cokatoo dan Hahn Macaw.
Katanya, bagi yang berminat untuk membela haiwan itu, perbelanjaan makanan agak tinggi kerana hanya membabitkan kekacang, sayur dan buah-buahan yang dimakan dua kali sehari.

Bebaskan kakak tua setiap petang
Kesemua 10 ekor kakaktua peliharaan Mohd. Azarizan lazimnya dilepaskan di sekitar rumah pada waktu petang.
Rutin itu bertujuan mengelakkan haiwan berkenaan stres akibat dikurung di dalam sangkar.
“Jika bulunya mula gugur atau tercabut, itu menandakan burung kakak tua stres dan jika tiada langkah diambil, ia berisiko mati.
“Walaupun dibiarkan terbang bebas tetapi saya bersyukur, kerana burung-burung saya tidak pernah hilang dan kebanyakannya akan pulang semula ke rumah,” katanya.
Mohd. Azarizan berhasrat untuk mendapatkan seekor lagi burung kakak tua jenis Green-Wing Macaw yang menjadi idaman ramai kerana warna kepaknya yang cantik.










