PETALING JAYA: Jumlah hartanah yang dilelong diramal meningkat sehingga 40 peratus pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya ekoran ramai pemilik yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sehingga tidak mampu menjelaskan tunggakan pinjaman.
Malah, pelelong menjangkakan bermula tahun hadapan akan ada lagi pertambahan rumah dilelong apabila moratorium enam bulan yang diberi kepada peminjam berakhir.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penasihat lelongan yang juga pelelong berlesen, Muhd. Firdaus Zahari berkata, rumah lelong bertambah selepas pelaksanaan sekatan pergerakan penuh menyebabkan kebanyakan rumah lelong sebelum ini ditangguhkan penjualannya dan juga disebabkan sambutan menggalakkan terhadap bidaan dalam talian.
Katanya, dengan wujudnya e-Bida, pembeli sudah boleh memilih dan akses untuk membeli rumah lelong secara dalam talian sahaja.
“Jika sebelum ini, hartanah yang dilelong biasanya dalam 2,000 hingga 3,000 unit sebulan, akan datang dijangkakan menjadi 3,000 hingga 5,000 unit hartanah sebulan dengan dianggarkan lebih daripada 30 peratus hingga 40 peratus kenaikan dari tahun sebelum ini.
“Dijangkakan bermula tahun hadapan akan ada lagi pertambahan rumah lelong apabila moratorium enam bulan yang diberi kepada peminjam berakhir,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mulai 1 Julai lalu, kerajaan memberi moratorium enam bulan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang memperuntukkan sehingga RM80 bilion kepada kalangan peminjam individu dan perniagaan.
Moratorium itu ditawarkan kepada semua peminjam individu merangkumi golongan B40, M40 serta T20 dan usahawan mikro, tanpa dikenakan syarat seperti pengurangan pendapatan atau hilang pekerjaan.
Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan jumlah penganggur meningkat sedikit kepada 778,000 orang pada Julai berbanding 768,700 orang pada bulan sebelumnya namun kadar pengangguran kekal pada 4.8 peratus.
Menurut Muhd. Firdaus, tujuan rumah dilelong adalah kerana bank atau pihak mahkamah mahu mendapatkan kembali baki hutang daripada tuan hartanah .
“Biasanya jika ada tertunggak melebihi tiga bulan, sesebuah rumah atau hartanah itu boleh kena lelong,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kemungkinan berlaku rumah yang dilelong harganya kurang 10 peratus berbanding harga asal yang dilelong, namun harga ditawarkan masih ikut prosedur biasa.
“Langkah pertama sebelum rumah dilelong, bank melantik penilai dulu untuk tentukan harga pasaran, selepas peroleh laporan penilaian, baru bank tentukan harga rizab yang sesuai untuk satu-satu rumah itu,” katanya.
Katanya, harga rumah itu akan dikurangkan daripada harga asal sebanyak 10 peratus dan terus berkurangan 10 peratus untuk lelongan seterusnya jika masih tiada pembeli,” katanya.
Katanya, walaupun terdapat rumah lelong yang sangat murah, ia tetap bergantung kepada lokasi rumah tersebut.
“Mungkin ada yang bawah 50 peratus daripada harga pasaran, tetapi lokasi biasanya luar dari kawasan bandar atau tempat yang tidak banyak permintaan.
“Jenis hartanah pun pelbagai, flat, apartment, teres, banglo harganya lain. Jenis soho, sovo, tanah kosong semua jenis termasuk kategori hartanah yang boleh dilelong,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pembida-Pembida Malaysia, Ahmad Safwan Ahmad Rashdan juga menyifatkan moratorium adalah penyelamat kepada rakyat yang terkesan akibat Covid-19 yang tidak mempunyai sumber pendapatan untuk membayar ansuran pinjaman hartanah.
Katanya, bank juga banyak membantu peminjam daripada terus membiarkan rakyat hilang aset begitu sahaja.
“Walaupun ramai yang hilang kerja, mereka masih mempunyai moratorium, maka mereka tidak perlu cemas untuk membayar hutang bagi mengelakkan harta dilelong.
“Jika tiada moratorium itu, kita anggarkan dalam 10 orang hilang kerja, dua rumah akan dilelong,” katanya. – UTUSAN










