Hamidah mengembara bersama setem - Utusan Malaysia

Hamidah mengembara bersama setem

Hamidah menyimpan koleksi setemnya di rumah dan ada juga dipamerkan di bilik pejabatnya di sekolah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setem ibarat pengembara yang merentasi tempat dan masa. Kecil atau besar bentuknya, setiap keping setem itu ada cerita yang penuh sejarah. Tidak hairanlah sekeping setem itu amat berharga nilainya kepada insan bergelar pengumpul setem.

Setiap rupa, bentuk dan koleksi setem ada nilai istimewa kepada pengumpulnya. Apabila terdapat koleksi setem baharu di pasaran pasti mereka tidak ketinggalan untuk memilikinya.

Malah mereka sanggup berhabisan wang, masa dan tenaga mencari dan menyimpan pelbagai koleksi setem baru atau lama yang diimpikan.

Salah seorang pengumpul setem tegar ini ialah Guru Besar, Hamidah Abdul Hamid. Wanita berusia 46 tahun dan menetap di Kuantan, Pahang ini mula mengumpul setem sejak berumur lapan tahun. Baginya setiap setem dimilikinya itu amat berharga dan ada kisahnya yang tersendiri.

“Saya memilih menjadi pengumpul setem kerana melalui setem kita boleh mengembara ke seluruh dunia. Ini kerana setiap keping setem itu memberi informasi atau pengetahuan yang sangat berguna kepada kita,” katanya.

Mengendalikan setem dengan penyepit, mengelakkan setem rosak.

Hamidah berkata, hobi itu diterokai sewaktu berusia lapan tahun di mana dia mengambil sekeping setem yang terdapat pada sampul surat milik ibu saudara.

“Apabila ibu saudara saya itu tahu saya suka dengan setem itu terus dia hadiahkan kepada saya setem tersebut,” katanya bercakap kepada Utusan Malaysia mengimbas kisah permulaan hobinya itu.

Daripada tidak ada hobi, Hamidah mula jadi pengumpul setem. Semuanya kerana beliau seronok melihat pelbagai gambar dan motif pada setem.

Bagi seorang kanak-kanak yang dahagakan ilmu pada ketika itu, setiap setem yang dikumpul itu seakan membuka dunia baru dalam hidupnya.

Hobi mengumpul setem itu diteruskan dengan penuh bersemangat. Daripada memiliki sekeping setem, Hamidah tekad untuk menambah koleksi baharu. Beliau juga mula membeli buku setem di kedai buku untuk menyimpan setiap keping setem yang ada.

“Saya amat bertuah kerana mendapat sokongan daripada keluarga apabila mereka tahu saya suka kumpul setem. Kalau saya hendak setem baharu, abah saya akan belikan. Begitu juga dengan ibu saudara, dia selalu juga beri setem kepada saya untuk dikumpul,”katanya.

BERKAWAN MELALUI SETEM

Setiap hobi yang dipilih pasti ada manfaat kepada penggemarnya. Bagi Hamidah, hobi mengumpul setem ini banyak manfaatnya terutama kepada pengumpul setem tegar sepertinya.

“Banyak manfaat yang diperolehi dengan mengumpul setem. Kita akan dapat mengetahui budaya, sejarah dan juga peristiwa penting dalam sesebuah negera melalui setem.

“Melalui sekeping setem juga dapat menterjemahkan pelbagai pengetahuan kepada kita. Sekeping setem memberi naluri ingin tahu yang tinggi kepada pengumpulnya untuk mendalami apa yang tersirat di dalamnya.”

Hamidah puas hati dengan hobinya ini terutamanya apabila beliau mendapat koleksi setem yang diinginkan.

“Melalui setem anda berkawan. Saya seronok kerana melalui setem saya dapat mengenali sahabat-sahabat yang berada di luar negara seperti Qatar, Mexico, Scotland, Perancis dan lain-lain.”

Dalam keseronokan mengumpul setem, Hamidah tidak menafikan terdapat juga cabaran dalam hobi ini. Cabaran utama bagi pengumpul setem adalah untuk sentiasa mendapatkan koleksi terkini.

“Sebab itu setiap pengumpul setem perlu kenal pasti koleksi yang akan keluar dan pastikan diri tidak ketinggalan untuk mendapatkannya.” katanya kepada individu yang baharu hendak bermula mengumpul setem, nasihatnya adalah bersedia untuk menjadi peneroka dunia.

“Bersedialah untuk menjadi peneroka dunia. Dengan setem kita akan meneroka dunia. Kita akan jadi kaya dengan pengetahuan. Ketahuilah pelaburan untuk hobi ini sangat berbaloi.”

Gambar sekeluarga turut diabadikan dalam bentuk setem.

SERTAI KELAB

Hamidah mempunyai pelbagai cara untuk mendapatkan setem.

Mengambil setem pada setiap sampul surat yang diterima itu adalah kebiasaan yang dilakukan.

Sebab itu setiap kali menerima sekeping surat, pasti beliau rasa tidak sabar untuk melihat setem yang ditampal pada sampul surat tersebut.

“Saya bertukar-tukar setem dengan kawan-kawan ada juga yang saya beli,” katanya yang turut menjadi ahli SODA bagi mendapatkan setem yang diinginkan.

SODA bermaksud Standing Order Deposit Account atau Akaun Pesanan Tetap untuk pesanan produk filateli secara langganan di mana pelanggan boleh mendaftar sebagai ahli dan pesanan akan dihantar ke alamat penerima setiap kali keluaran setem tema baru. Ahli SODA berdaftar dengan POS Malaysia.

Hamidah turut menyertai Kelab Sahabat Setem Kuantan, Kelab Setem dan Filateli Sekolah sentiasa update dengan dunia setem.

3,080 SETEM

Memiliki lebih 3,080 keping setem, 220 sampul surat hari pertama, 200 keping lembaran mini, dan 30 keping set folder.

Setem paling tua dalam simpanannya berusia 41 tahun. Manakala yang paling berharga ada dalam simpanannya adalah dua keping setem daripada New Zealand yang dihadiahkan arwah guru beliau iaitu Norliah Saad semasa berada di darjah 5.

Setiap setem dikumpul, dijaga dan disimpan dengan rapi dan penuh berhati-hati.

Beliau akan menyimpan setiap setem yang ada di dalam album setem dan folder khas untuk sampul surat hari pertama, dan album untuk koleksi lembaran mini. Cara ini dilakukan agar setiap koleksi tersimpan dengan lebih kemas dan tersusun.

Seniman Agung P. Ramlee antara koleksi kebanggaan Hamidah.

Mengulas mengenai kos, Hamidah berkata kalau kita sudah minat, kos semua tolak tepi.

Hamidah bertuah kerana suaminya, Mohd. Arif Zakaria turut berkongsi memiliki hobi yang sama. Suami Hamidah akan mengambil setem yang terdapat di pejabatnya. Setem ini akan dibawa pulang dan akan menjadi koleksi milik mereka berdua.

“Saya tidak pernah menjual koleksi setem yang dimiliki. Kalau ada pengumpul lain yang berminat untuk membeli setem daripada saya, hasrat itu akan dipertimbangkan. Itupun kalau ada saya ada lebihan koleksi sama yang ingin dilepaskan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×