Diusir selepas ibu bapa angkat meninggal - Utusan Malaysia

Diusir selepas ibu bapa angkat meninggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu ini saya akan berkongsi kisah Siti Munirah (bukan nama sebenar) seorang anak angkat yang ditinggalkan tanpa wasiat harta daripada ibu bapa angkat.

Dari segi faraid, Siti Munirah memang tidak layak mendapat harta pusaka kerana dia bukan waris dan tiada pertalian darah dengan ibu bapa angkatnya.

Walaupun dia tidak berhak mewarisi harta pusaka, bukanlah bermakna ibu bapa angkatnya langsung tidak boleh memberikan sebarang harta milik mereka.

Semasa hayat ibu bapa angkatnya berjanji menyerahkan rumah pusaka mereka kepada Siti Munirah selepas kematian mereka.

Namun sebagai manusia, mereka hanya mampu merancang, Allah yang menentukan.

Ibu bapa angkatnya meninggal dunia sebelum sempat membuat wasiat.

Di situlah kisah sedih Siti Munirah bermula.

Apa yang berlaku, semua harta menjadi hak waris iaitu anak kandung ibu bapa angkatnya, Aiman (bukan nama sebenar).

Maka dalam keadaan Siti Munirah yang tidak punya sesiapa dalam hidupnya, dia bergantung belas kepada ihsan Aiman, sama ada ingin memberi atau tidak bahagian harta pusaka yang diperoleh kepadanya.

Akui Siti Munirah, dia tidak berniat membuka cerita lama tetapi sebagai pengajaran kepada diri sendiri dan orang lain yang mungkin berdepan situasi sama.

Menyingkap kisah lalu, Siti Munirah dipelihara oleh Khalid dan Hasanah (bukan nama sebenar) sejak usianya sehari.

Pasangan ini tidak dikurniakan zuriat walaupun setelah hampir lapan tahun berkahwin.

Kehadiran Siti Munirah persis sebuah lagu yang meritmakan melodi ceria dalam rumah tangga pasangan ini.

Dia dibesarkan dan ditatang bagai minyak penuh oleh Khalid dan Hasanah. Melimpah ruah kasih sayang dicurahkan kepada Siti Munirah.

Sehinggalah ketika usia Siti Munirah mencecah dua tahun, Hasanah hamil buat pertama kali.

Bayi yang dikandung dari rahim sendiri itu diberi nama Aiman (bukan nama sebenar) dan kehadirannya umpama pelengkap kebahagian mereka.

Siti Munirah dan Aiman hadir menjadi sepasang zuriat yang menyerikan pelayaran bahtera rumah tangga mereka.

Kelahiran Aiman tidak pernah sesekali melunturkan kasih sayang mereka terhadap Siti Munirah. Lantas tidak pernah ada perbezaan layanan yang diberikan kepada kedua-dua anak tersebut.

Malah pasangan ini menganggap Siti Munirah pembawa tuah kepada keluarga mereka kerana setelah sekian lama menantikan zuriat. Kehadiran Siti Munirah akhirnya menghadirkan Aiman sebagai pelengkap kebahagiaan yang didam­bakan.

Sama seperti Aiman, Siti Munirah diberi pendidikan akademik dan agama serta keperluan yang serba mencukupi. Tiada terlebih mahu pun terkurang berbanding Aiman.

Namun dari segi pelajaran, Siti Munirah agak lemah berbanding Aiman.

Disebabkan itu dia hanya menamatkan tingkatan lima manakala Aiman melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Siti Munirah mengambil keputusan bekerja kilang di bandar berhampiran.

Atas permintaan ibu bapa angkat juga Siti Munirah terpaksa melupakan hasratnya untuk keluar mencari pekerjaan di tempat yang jauh dengan keluarga angkatnya.

Pengorbanan Siti Munirah bukan sekadar itu sahaja. Di saat-saat akhir hayat hidup ibu bapa angkat, dialah memikul tugas dan tanggungjawab menjaga mereka.

Biarpun, hubungan mereka hanya sebagai ibu bapa serta anak angkat, Siti Munirah berasa bertanggungjawab menjaga mereka dengan penuh ikhlas kerana merekalah yang membesar dan mendidiknya.

BERHENTI KERJA

Siti Munirah sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menjaga Hasanah yang ketika itu menghidap kencing manis kritikal.

Bukan itu sahaja, Siti Munirah terpaksa menolak pinangan teman lelakinya kerana tidak sanggup meninggalkan ibu bapa angkatnya.

Aiman ketika itu sudah berumahtangga tinggal di Kuala Lumpur jarang pulang menziarahi ibu bapanya kerana sibuk dengan urusan pekerjaan dan keluarga.

Keakraban dan kasih sayang Siti Munirah terhadap ibu bapa angkatnya menyebabkan dia merasa ibarat separuh jiwanya hilang apabila Hasanah pulang ke alam barzakh pada pertengahan November 2000.

Namun dia menguatkan semangat untuk meneruskan kehidupan waima tanpa insan bergelar ibu di sisi.

Selang beberapa bulan bapa angkatnya pula jatuh sakit. Akui Siti Munirah, dia sememangnya berada dalam dilema menjaga bapa angkatnya yang sakit.

Ini terutamanya dalam situasi seperti aurat bapa angkat tidak terjaga ketika menguruskannya.

Namun atas rasa kasih sayang terhadap insan yang selama ini menjaga dan membesarkannya, Siti Munirah meneruskan tanggungjawab itu sehinggalah bapa angkatnya menghembuskan nafas terakhir setahun selepas itu.

Walaupun sedih dengan kehilangan orang tersayang dalam hidupnya, dia tetap reda menerima takdir.

Kisah Siti Munirah tidak berakhir di situ sahaja. Belum reda kesedihan kehilangan dua insan yang banyak berjasa kepadanya, Aiman memutuskan untuk menjual rumah pusaka yang diduduki Siti Munirah.

Entah apa yang merasuk saudara angkatnya itu, Siti Munirah diusir keluar dari rumah pusaka itu tanpa diberi satu sen pun.

Siti Munirah faham kedudukannya sebagai anak angkat. Tiada apa yang boleh dilakukan dalam hal-hal berkaitan harta pusaka. Apa yang membuat Siti Munirah terkilan bagaimana saudara angkatnya yang dibesarkan bersama-sama langsung tidak ada sifat belas ihsan terhadapnya.

Itu kisah Siti Munirah 20 tahun lalu.

Dia kini bergelar isteri kepada Azli (bukan nama sebenar) sejak tiga tahun lalu. Mereka mengambil keputusan mengambil anak angkat iaitu Anum (bukan nama sebenar) setahun lalu selepas hasil pemeriksaan doktor mendapati dia tidak boleh mengandung.

Akui Siti Munirah, sebagai langkah awal, dia dan suami telah membuat perancangan ke atas harta mereka dengan merujuk kepada pihak yang lebih arif.

Mereka bercadang menghibahkan rumah miliknya kepada Anum dan menulis wasiat agar harta-harta yang lain juga diserahkan kepada anak angkatnya.

Pengalaman dilaluinya mengajar dia untuk lebih bersedia dan melakukan apa yang perlu demi masa depan Anum. Dia tidak mahu apa yang pernah dilaluinya menimpa Anum selepas ketiadaan mereka.

Sejujurnya, walaupun terpaksa melalui pengalaman hitam selepas ketiadaan kedua ibu bapa angkatnya, Siti Munirah tetap bersyukur kerana dapat berbakti kepada mereka sehingga akhir usia mereka.

Firman Allah: Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik. (al-A’raf: 56)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya