Sekilas pandang, pasti ramai tidak menyangka hiasan dalaman yang selalu dilihat di Pinterest dan juga akaun Instagram luar negara ini direalisasikan di Malaysia.
Berlatarkan rona putih serta natural, dengan gabungan daun-daun sebagai penyeri utama menghidupkan lagi suasana tenang dan nyaman seakan berada di taman bunga.
Konsep natural boho jungalow jelas terpapar dalam dekorasi rumah milik Atika Omar, 32, yang membuatkan siapa sahaja memandang pasti ingin mengambil gambar di ruangan tersebut.
Menjengah masuk ke ruang tamu rumah kondominium bersaiz 819 kaki persegi tanpa balkoni milik Atika ini, sudah tersergam indah pelbagai jenis tumbuhan hijau segar sehingga ada yang tumbuh menjalar ke ruangan tingkap.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Atika berkata, dia amat meminati konsep jungalow iaitu konsep hiasan dalaman menggunakan tumbuh-tumbuhan hijau.
“Ia menenangkan jiwa serta sedap mata memandang apabila berada di rumah. Walaupun tiada ruang luar atau balkoni, rumah terasa segar dengan adanya tumbuh-tumbuhan hijau,” kongsinya.
Setiap penjuru rumah anak jati Perak ini diserikan dengan kehadiran bunga dan dedaunan berwarna hijau bagi menaikkan lagi suasana segar dan damai.
Pemilihan warna natural
Dari segi hiasan perabot, kebanyakan menggunakan perabot berasaskan warna kayu natural untuk efek lebih alami.

Aksesori rumah juga kebanyakan terdiri daripada warna dan elemen kayu serta rotan bagi menyesuaikan dengan padanan daun-daun hijau.
Bagi hiasan dalam rumah, aksesori seperti kerusi dan peralatan rumah menggunakan material kayu dengan sedikit sentuhan kontemporari.
Atika gemar meletakkan sedikit buku-buku dalam menyusun atur dan menghias ruangan rumahnya bagi menghidupkan lagi suasana dan pemandangan estetik.
“Warna natural juga dapat menjadi latar belakang baik untuk pokok-pokok saya di samping memberikan sedikit rasa seolah berada di luar rumah,” kongsinya.
Jelas Atika, elemen terpenting untuk kediaman kecil adalah ruang penyimpanan yang teratur dan sistematik agar rumah sentiasa kelihatan kemas.
INSPIRASI dari #ighometourMalaysia
Menurutnya, dia mendapat inspirasi dalam membuat dekorasi ruangan rumahnya adalah melalui tanda pagar (# hashtag) yang terdapat di aplikasi Instagram.
“Terdapat banyak hashtag di Instagram berkaitan hiasan dalaman rumah kediaman, dan salah satunya adalah #ighometourmalaysia digunakan oleh ramai peminat hiasan dalaman di negara ini.
“Hashtag ini seakan menjadi sebuah komuniti digital dimana peminat dekorasi rumah tempatan dapat berkongsi idea, pandangan, dan juga dekorasi terkini rumah masing-masing. Semuanya cantik dan menarik belaka,” kongsinya teruja.
Katanya, dekorasi rumah memainkan peranan penting bagi menjamin keselesaan dan ketenangan, terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Berbelanja secara dalam talian
Atika berkata, bagi menjimatkan masa, wang dan tenaga, dia berbelanja secara dalam talian iaitu di shopee.
“Bagi hiasan serta keperluan lain, saya lebih kerap membeli secara dalam talian melalui Shopee memandangkan cara ini lebih mudah, menjimatkan wang, masa, dan tenaga,” kongsinya.

Ditanya mengenai tips mengelak serangan serangga dan nyamuk, Atika berkata, bagi mengelakkan perkara itu, dia kerap menukar air pokok-pokoknya.
“Untuk elak nyamuk selalunya saya akan kerap memeriksa pokok-pokok saya. Memang kadang-kala ada serangan serangga dari pokok yang baru dibeli. Tapi saya gunakan penyembur organik atau larutan minyak Neem bagi menghalau serangga,” katanya.










