PETALING JAYA: “Saya tiada niat mahu jadi hero ataupun ada hasad dengki kepada beliau.”
Demikian tegas Firdaus Wong Wai Hung, bagi menepis salah faham orang ramai berhubung tindakannya baru-baru ini yang lantang membangkitkan isu gangguan seksual dalam kalangan pendakwah.
Sebaliknya, pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Multiracial Reverted Muslim (MRM) itu berkata, hero sebenar dalam kes itu adalah masyarakat yang terbela, keluhuran sistem perundangan serta dedikasi pihak berkuasa yang mengambil tindakan sewajarnya dalam mengendalikan kes tersebut.
Menurut beliau, ekoran isu pendakwah terkenal yang terlibat dengan siasatan polis berhubung gangguan seksual, MRM yang lantang mengangkat kes tersebut dikecam hebat kononnya berhasad dengki terhadap pesaing lain dalam bidang dakwah.
Namun beliau menegaskan, tidak timbul soal iri hati atau dendam, sebaliknya MRM mahu mematangkan masyarakat agar melihat satu-satu perkara secara rasional, sekali gus memastikan kebenaran dapat diadili dan agama Islam dapat dipelihara dari persepsi negatif.
“Tiada niat menjadi hero pun, sebab hero sebenar adalah masyarakat, hero sebenar adalah sistem perundangan, heronya adalah pihak berkuasa yang akan mengambil tindakan.
“Kalau kami mahu membalas dendam atau berhasad dengki, kita wajar gunakan akal yang sihat. Kenapa kami begitu bodoh menggunakan akaun Facebook dan Telegram saya sendiri untuk kongsi maklumat? Buat akaun palsu misalnya di Twitter, kongsikan semua benda dan bukti, dan malukan saja.
“Tapi kenapa kami terpaksa menjalani satu proses yang mengakibatkan kami didera secara mental, difitnah, dikeji dan sebagainya, sampai ke tahap itu.
“Kalaulah seperti yang orang kata, kami dengki, kami mahu balas dendam dan sebagainya, kenapa kami tak gunakan saja cara yang telah dilakukan oleh ahli politik, iaitu sebarkan khabar angin? Buat surat layang? Kenapa mahu lalui proses menyakitkan ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia kelmarin.
Sejak isu itu berlegar, jelasnya, MRM memikirkan kesannya terhadap imej dan reputasi agama Islam, serta kemungkinan pihak yang memusuhi Islam akan menggunakan isu tersebut untuk melakukan sebarang penghinaan terhadap agama.
Justeru, katanya, sepanjang siasatan polis berhubung kes tersebut, MRM konsisten melakukan program dan aktiviti kesedaran, bertujuan mematangkan masyarakat agar lebih objektif dan rasional dalam menilai perkara tersebut.
“Bila kes ini sampai, kami fikirkan tentang imej dan reputasi agama Islam. Bagaimana imej agama kita. Bagaimana kita mahu jaga imej agama kita daripada dirosakkan? Bagaimana kita mahu jaga agama kita daripada dihina oleh orang lain bila kes ini bocor, bila nama mula dipanggil?
“Sebab itu, sehingga pihak polis memanggil individu tersebut tempoh hari, kami tak pernah sebut nama dia pun. Sebab waktu itu adalah proses untuk kami mematangkan masyarakat, memberikan kesedaran kepada masyarakat.
“Dan sebab itu kalau perasan, di pihak unit kajian dalaman kami, mereka masih tak tahu kes itu (pada awal ia bocor) sebab kes ini terlalu berat untuk mereka uruskan,” katanya.
Pada 19 Ogos lalu, negara digemparkan apabila seorang pendakwah terkenal hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memberi keterangan dan merakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung laporan kes gangguan seksual.
Bertindak atas laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menyifatkan perkara itu sebagai satu fitnah yang sangat kejam dan melampau, pendakwah berkenaan menunjukkan jiwa besar apabila memaafkan semua pihak yang memfitnahnya. – MINGGUAN
Ikuti wawancara penuh di muka surat 12 dan 13










