Rawatan dan penawar kanser kolorektal - Utusan Malaysia

Rawatan dan penawar kanser kolorektal

Gesaan tubuhkan semula tabung pesakit kronik bagi membantu mereka yang tidak berkemampuan untuk mendapat rawatan di hospital swasta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kanser kolorektal (CRC) adalah jenis kanser kedua yang paling biasa di Malaysia. Kanser kolorektal juga merupakan penyebab kematian kanser ketiga yang paling biasa di Malaysia.

Rawatan untuk kanser kolorektal biasanya melibatkan pembedahan membuang barah dan sebahagian usus. Rawatan lain termasuk kemoterapi dan radioterapi juga disyorkan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, rawatan pembedahan untuk kanser kolorektal, menunjukkan kemajuan yang ketara.

Beberapa rawatan lanjutan termasuklah Hyperthermic Intraperitoneal Chemotherapy (HIPEC) dan Pressurized Intraperitoneal Aerosol Chemotherapy (PIPAC).

Pakar Perunding Am dan Pembedahan Kolorektal Pusat Perubatan Mahkota, Dr Ang Chin Wee, berkata ia disyorkan untuk kanser kolorektal yang telah merebak ke lapisan perut yang disebut peritoneum, sejenis kanser tahap empat.

Dr. Ang Chin Wee.

Di mana ia lazim terjadi pada lima hingga 10 peratus pesakit dalam diagnosis awal kanser kolorektal. Atau pada 20 peratus pesakit semasa susulan selepas pembedahan kanser usus.

“Pesakit dengan kanser di peritoneum biasanya mempunyai kadar hidup yang rendah dan kualiti hidup yang merosot.

“Pembedahan HIPEC menawarkan peluang penyembuhan kepada kumpulan pesakit ini, sementara PIPAC dapat membantu mengatasi gejala kanser peritoneal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rawatan yang kian popular di negara maju, ini sudah ada di negara ini sejak 2018 namun kurang diketahui umum, berikutan kerumitan rawatan dan intensif sumber daya yang diperlukan.

KESAN SAMPINGAN
Dr Ang, berkata memandangkan cara pemberian ubat kemoterapi berbeza, profil keselamatan atau kesan sampingan antara HIPEC dan PIPAC serta kemoterapi konvensional adalah berbeza.

“Kesan sampingan sistemik kemoterapi konvensional adalah lebih banyak berbanding dengan kesan sampingan sistemik kemoterapi HIPEC PIPAC.
“Ini kerana penyerapan kemoterapi di rongga perut ke dalam peredaran sistemik sangat rendah, justeru menyebabkan kesan sampingan yang minimum,” katanya.

Dr Ang turut berkongsi pengalaman menjalankan HIPEC untuk seorang pesakit wanita berumur 21 tahun, iaitu kes HIPEC pertama yang dilakukan olehnya di Pusat Perubatan Mahkota. Pesakit sembuh dan discaj dari hospital selepas seminggu.

“Pesakit ini didiagnosis menghidapi kanser usus pada tahun 2019 dan menerima rawatan pembedahan dan onkologi di Hospital Muar. Beliau datang ke Pusat Perubatan Mahkota kerana pakar onkologinya mendapati abnormaliti dalam imbasan susulannya.

“Beliau dirujuk kepada saya dan telah didiagnosis menghidapi kanser usus metastatik ke peritoneum dan ovari. Pembedahan tersebut melibatkan pembuangan rahim dan ovari oleh Pakar Obstetrik dan Ginekologi kami, Dr Chua Peng Teng, dan saya pula melakukan pembuangan semua peritoneum dan omentum, diikuti dengan HIPEC dalam pembedahan tersebut,” katanya.

Selesai pembedahan pesakit menyatakan tidak merasa sakit dan tidak mengalami kesan sampingan dari rawatan HIPEC berbanding dengan kemoterapi konvensional yang dia terima sebelumnya.

TIADA TANDA
Kanser kolorektal merupakan barah yang terdapat di dalam usus besar atau rektum. Kolon juga dikenali sebagai usus besar yang bergabung dengan usus kecil. Sementara itu rektum adalah saluran pendek berukuran kira-kira 15 hingga 18 sentimeter yang menghubungkan usus besar ke dubur.

Pada peringkat awal, sebilangan besar pesakit dengan kanser kolorektal tidak mempunyai tanda atau gejala.

“Gejala disebabkan oleh kanser kolorektal agak tidak spesifik. Pesakit mungkin mengalami perubahan terhadap konsistensi atau kekerapan pembuangan air besar.

“Konsistensi mungkin berbeza ikut jenis. Jenis longgar, keras atau kedua-dua keadaan najis itu boleh berlaku secara berselang-seli.

Kekerapan boleh meningkat atau menurun jika dibandingkan dengan kebiasaan individu.

“Sebilangan pesakit mungkin melihat darah atau lendir di dalam najis. Pesakit lain mungkin mengalami ketidakselesaan atau sakit perut, kehilangan selera makan, penurunan berat badan, gejala anemia, benjolan di perut atau saluran belakang,” katanya.

Dr Ang menjelaskan, kanser ini biasa berlaku kerana ia merupakan penyakit berbudaya barat atau individu menjalani gaya hidup tidak sihat.
Ini termasuklah kurang aktif, merokok, kegemukan, banyak makan daging merah dan pengambilan alkohol yang tinggi.

KOMPLIKASI KANSER
Pesakit yang menghidap kanser kolorektal boleh mengalami komplikasi antaranya kehilangan darah dan anemia.

“Kanser juga boleh tumbuh ke dalam lumen kolon atau rektum dan menyebabkan penyumbatan usus atau perforasi. Ia akan menyebabkan sakit perut, distensi, muntah, sepsis yang teruk.

“Sekiranya tidak dirawat, kanser kolorektal akan tumbuh dan akhirnya merebak melalui dinding usus ke organ atau kelenjar limfa yang berdekatan, atau ke organ yang jauh seperti hati, paru-paru, tulang, dan otak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×