Pandemik ubah cara imarah masjid - Utusan Malaysia

Pandemik ubah cara imarah masjid

PANDEMIK Covid-19 menyebabkan bilangan jemaah yang boleh hadir solat fardu adalah terhad selain program pengajian terpaksa dijalankan secara dalam talian. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tempat yang paling mulia di muka bumi ialah masjid kerana ia adalah rumah Allah SWT. Para sahabat r.a berkata: “Sesungguhnya masjid adalah rumah Allah maka menjadi hak kepada Allah memuliakan sesiapa yang menziarahinya”.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya masjid itu untuk ibadat kepada Allah semata-mata maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapa pun bersama-sama Allah. (al-Jin: 18)

Sebahagian tanda keimanan seseorang ialah mengambil perhatian kepada masjid sama ada dalam bentuk pengimarahan, pembinaan, bersolat, berzikir kepada Allah. Masjid juga adalah tempat dan jalan untuk mendapat hidayah.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Hanyasanya yang layak memakmurkan masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan Allah. Dengan ada sifat-sifat tersebut maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk. (al-Taubah: 18)

Dalam peristiwa hijrah, sejurus Nabi SAW sampai di Madinah Munawwarah beberapa perkara telah dilakukan. Perkara utama yang dilakukan bagi memperkukuh asas pembinaan kerajaan Islam yang kuat adalah membina dua Masjid iaitu Masjid Quba dan Masjid Nabi.

Masjid adalah syiar kepada kerajaan Islam dan rahsia kekuatan umat. Masjid juga adalah madrasah yang pertama dalam Islam dan tempat untuk membina modal insan yang kuat dan bernilai.

Semua pahlawan di permulaan Islam yang berjaya dalam penyebaran Islam lahir daripada tarbiah di masjid.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya masjid yang engkau bina wahai Muhammad yang telah didirikan atas dasar takwa dari mula wujudnya sudah sepatutnya engkau solat padanya. Di dalam masjid itu ada orang lelaki yang suka mengambil berat membersihkan iaitu mensucikan dirinya. Allah mengasihi orang yang membersihkan diri mereka zahir dan batin. (al-Taubah: 108)

Masyarakat Islam adalah masyarakat yang memberi perhatian kepada kebersihan, nilai yang baik dan terpuji. Semua perkara tersebut tidak dapat dicapai melainkan dengan tarbiah di masjid.

Terdapat satu ayat al-Quran yang memberi isyarat kepada kebersihan luaran dan dalaman muslim melalui mendirikan solat.

Ini kerana solat yang sempurna bermula dengan kebersihan pada pakaian, tempat, tubuh badan dan bersih dari hadas kecil dan juga hadas besar.

Solat ketika itu akan membersihkan segala dosa bahkan menjaga tuannya dari melakukan kemungkaran.

Firman Allah SWT: ..Dan dirikanlah solat dengan tekun sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar. Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar faedah dan kesannya. Ingatlah Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. (al-Ankabut: 45)

Kelebihan yang Allah kurniakan kepada Nabi Muhammad SAW ialah menjadikan bumi ini sebagai tempat sujud yang bersih untuk didirikan solat. Kelebihan tersebut terus kekal sehinggalah hari kiamat.

Dalam situasi pandemik Covid-19 yang melanda dunia, para ulama yang pakar dalam bidang syariat dan maqasid telah mengambil hukum dengan mengutamakan orang yang sujud kepada Allah daripada memakmurkan masjid. Menjaga kehidupan atau nyawa orang yang sujud kepada Allah adalah lebih utama.

Kesan Covid-19 yang boleh membawa kepada kematian diletak sebagai kehancuran yang lebih berat daripada masyaqqah iaitu kesusahan. Seluruh dunia Islam mengambil langkah penjagaan yang teliti menepati hukum syarak. Perkara ini bertujuan menjelaskan mauqif islam yang betul.

Dalam seruan azan disebut “marilah mengerjakan solat”. Seruan mengajak manusia mengerjakan solat dalam situasi keamanan dan tidak ada wabak atau kemudaratan.

Mereka yang hatinya terpaut dengan masjid akan bergegas pergi ke masjid sebaik azan dilaungkan untuk menunaikan solat.

Namun apabila ada larangan pergi ke masjid hati terasa sayu dan hiba. Seakan perlu kepada satu tindakan yang tuntas berfikir apakah perkara lain yang perlu dilakukan untuk mengelak hal ini terus berlaku di masa hadapan.

Dalam suasana kemudaratan, Nabi SAW mengarahkan bilal yang melaungkan azan menyatakan “Solatlah kamu di rumah kamu”. Arahan ini menggambarkan bahawa Islam bersifat memberi keringanan jika berlaku mudarat.

Memakmurkan Masjid

Fungsi masjid sebagai tempat melakukan ibadat dan pengajaran terjejas dengan pandemik yang berlaku.

Umat Islam perlu mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib dengan mengehadkan bilangan jemaah untuk solat fardu dari semasa ke semasa.

Namun begitu masjid yang aktif dengan pengajaran sebelum pandemik ini berlaku telah mengambil satu langkah yang amat baik dengan mengadakan pengajian dalam talian.

Inisiatif ahli jawatankuasa masjid dalam menguruskan perjalanan kuliah dalam talian perlu dipuji dan disokong.

Mereka menyusun program dengan penceramah dan penyiaran yang dilakukan dapat memberi manfaat kepada ahli jemaah dan kariah yang dekat atau jauh. Bahkan pengajian dalam bentuk talian ini boleh digunakan dalam semua ilmu termasuk talaqqi al-Quran.

Masjidilharam di Mekah dan Masjid Nabi di Madinah telah mengamalkan pengajian dalam talian sejak dahulu. Mereka membuka peluang kepada seluruh umat Islam bertalaqqi al-Quran secara hafazan dalam semua riwayat.

Jadual disusun dan memberi tempoh yang sesuai kepada pelajar dengan syarat mesti mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan semasa sesi talaqqi berlaku. Antara syaratnya ialah talian yang digunakan dapat berinteraksi dengan jelas.

Segala teguran guru terhadap bacaan murid dapat dilakukan dengan baik. Selain itu ia juga memberi syarat dalam tempoh talaqqi, mesti ada perjumpaan bersemuka antara murid dengan guru.

Pertemuan itu sama ada sekali atau dua kali untuk memastikan suara yang membaca atas talian ada sama dan segala hukum-hakam bacaan yang dibaca dalam talian adalah sama dengan bacaan di hadapan guru.

Umat Islam amat sayang kepada masjid dan perlu menjaga keutuhan institusi masjid dengan program pengimarahan.

Langkah untuk meneruskan program dan aktiviti di masjid ialah memberi sumbangan tenaga, kemahiran dan dalam bentuk pembiayaan.

Melalui pengiklanan pihak jawatankuasa masjid, ahli kariah perlu berlumba memberi infak dan sumbangan bagi menjayakan program yang telah diaturkan.

Sebenarnya membiayai program pengajaran di masjid atau membayar bil elektrik dan semua perkara yang ada kaitan dengan masjid adalah termasuk dalam pengimarahan masjid.

Kasih sayang kepada masjid perlu ditunjukkan dalam bentuk pengimarahan dan menjauhi perkara yang boleh membawa kepada perpecahan umat di masjid.

Semoga wabak ini diangkat dengan cepat dan pengimarahan masjid dilakukan seperti biasa.

Nabi SAW bersabda: Tujuh golongan yang mendapat lindungan Allah pada hari yang tiada lindungan kecuali lindungannya. Salah satunya ialah golongan yang hatinya terlekat kepada masjid. (Riwayat al-Bukhari)

  • PM Dr Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×