Pakar tempatan bina teknologi mudah jejak objek bergerak - Utusan Malaysia

Pakar tempatan bina teknologi mudah jejak objek bergerak

Aplikasi yang terlibat dalam sistem aeroangkasa yang dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula dengan kajian Sistem Pengesanan Satelit Pesawat Termaju (AASTS) teknologi ini dikembangkan sebagai sistem pemerolehan data gerakan dan kedudukan untuk ujian penerbangan dan beberapa aplikasi lain.

Teknologi ini dilengkapi sistem telemetri Global System for Mobile Communications (GSM) dan komunikasi satelit untuk memuat naik data penerbangan ke pelayan (server). Ia untuk pemantauan dan analisis kestabilan serta prestasi dinamik pesawat.

Bagaimanapun sejak kemalangan pesawat MH370 beberapa tahun lepas, peranti ini dinaik taraf untuk menjadikannya sistem pemantauan data posisi penerbangan yang terintegrasi.

Ia seperti yang diperlukan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di bawah Global Aeronautical Distress Safety System (GADSS).

Menurut ketua penyelidiknya, Kolonel Mohamed Tarmizi Ahmad yang juga pensyarah aeroangkasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), peranti AASTS yang ada sekarang dinaik taraf daripada menggunakan sistem 4G ke arah 5G sejajar keperluan kerajaan bergerak menuju sistem internet termaju.

MOHAMED TARMIZI AHMAD

Katanya, penyelidikan bermula pada 2013 di peringkat kajian pelajar sebelum ditambah baik secara berperingkat sejajar dengan perkembangan teknologi GSM dan teknologi maklumat (IT) masa depan.

“Peranti ini telah melalui beberapa ujian dan berfungsi sepenuhnya tetapi untuk dipasang di mana-mana pesawat ia perlu disahkan oleh pihak Directorate General Technical Airworthines (DGTA) bagi keperluan ketenteraan dan CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia) untuk pesawat awam,” katanya yang juga pakar dalam teknologi aeroangkasa.

Turut sama sebagai penyelidikan adalah Dr. Md. Amzari Md. Zhahir dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan tiga penyelidik UPNM iaitu Kol. (B) Prof. Dr. Khairol Amali Ahmad, Mejar (B) Dr. Razali Abidin, Mohd Nor Hafizi Noordin dan Wan Mohd Hanif Wan Ya’acob.

Turut terlibat ialah Michael Lam Soo Chin daripada syarikat Worldgate Technology Sdn. Bhd. (WGT) yang juga Felo Pusat Penyelidikan dan Teknologi Pertahanan (CODRAT) UPNM.

Teknologi ini juga berfungsi mengkaji kestabilan dan prestasi dinamik pesawat satu peranti mudah alih dengan sensor gerakan seperti Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS), gyros, accelerometer dan magnetometer.

Teknologi ini perlu supaya pelajar kejuruteraan aeroangkasa boleh menggunakan data tersebut tanpa bergantung kepada instrumen pesawat untuk menganalisis pergerakan penerbangan pesawat.

Dengan adanya peranti ini, pelajar boleh membandingkan data proses yang diperoleh daripada instrumen penerbangan pesawat dengan data daripada peranti ini secara terus.

Bagi membangunkan peranti ini, perbincangan dengan WGT diadakan bagi melihat keperluan objektif projek dan potensi peranti.

Hasilnya, syarikat berkenaan bersedia membangunkan sensor bergerak dan beberapa kajian mengenai keperluan serta spesifikasi operasi telah dilakukan.

Katanya, prototaip pertama telah dihasilkan dan ujian penerbangan pertama dilakukan pada pesawat dua tempat duduk UPM SR20 Cirrus.

Ujian pertama menunjukkan peralatan ini berfungsi dengan baik dan ujian ini berjaya.

Bagaimanapun, disebabkan kapasiti pesawat yang amat terhad, hanya dua pelajar boleh mendapatkan data dalam satu masa.

Justeru kajian lanjut diteruskan dengan memasang GSM pada peranti supaya pelajar dapat mengesan kedudukan pesawat melalui capaian internet sahaja.

Maka kata beliau, melalui kaedah tersebut semua pelajar boleh mendapatkan data secara terus melalui dalam talian di laman sesawang yang dihasilkan. Dengan ini tempoh ujian dapat disingkatkan selain mengurangkan kos ujian penerbangan.

Penambahbaikan pada peranti ini tidak berhenti di situ sahaja, ujian penerbangan seterusnya menunjukkan liputan isyarat GSM tidak mencukupi pada jarak sekitar 400 kaki dari permukaan bumi.

Oleh itu, penambahbaikan dilakukan dengan penambahan sistem satelit Iridium short burst transceiver pada peranti iaitu secara automatik akan memberikan isyarat satelit dan menghantar data setiap kali terdapat kehilangan isyarat GSM.

Pesawat ARON M727 yang digunakan untuk pengujian keberkesanan sistem penjejak satelit termaju yang dibangunkan.

Penambahbaikan ini juga akan meningkatkan penerimaan lebih banyak data secara automatik jika pesawat melakukan pergerakan pada arah yang sama iaitu kanan, kiri, turun dan naik.

Hasilnya, data kinematik yang diperoleh dapat membantu pelajar menganalisis gerakan dinamik dan prestasi pesawat secara berkesan.

Pembangunan teknologi pelbagai pihak

Pembangunan alat pengesan atau penjejak menggunakan geran penyelidikan industri. Sementara sistem udara dibiayai oleh syarikat WGT dengan kos percubaan penerbangan dan ujian operasi menggunakan pesawat UPM Cirrus SR20 semasa eksperimen makmal penerbangan dan pengendali helikopter.

Kos untuk satu unit akan lebih murah dibandingkan peralatan yang sedia ada.

Anggaran kos untuk satu unit peralatan ini ialah RM1,500. Bagi unit yang melepasi tahap piawaian aeroangkasa dijangka akan lebih mahal. Ini kerana komponen dan bahan yang digunakan adalah mengikut piawaian aeroangkasa.

Rangkaian hubungan saling berinteraksi yang dapat mempercepatkan proses mencari dan mengesan pesawat.

Peranti ini mendapat pengiktirafan peringkat nasional dan antarabangsa. Ia juga menang pingat emas dalam pameran antarabangsa di Pameran Perdagangan Antarabangsa Reka Cipta Idea Produk Baru (iENA) di Jerman dan Ekspo Teknologi Malaysia (MTE).

Peranti ini juga membantu mempercepatkan proses pencarian nahas dengan cepat dan pantas oleh pasukan SAR.

Untuk masa depan, Mohamed Tarmizi berkata, kumpulannya bercadang membangunkan peranti yang stabil dan mempunyai ketahanan yang tinggi serta sesuai digunakan oleh pesawat tanpa pemandu (UAV) dan boleh digunakan untuk pelbagai aplikasi.

“Buat masa sekarang peranti ini dalam proses mendapatkan persijilan untuk memenuhi piawaian industri penerbangan. Ini melibatkan institusi lain seperti SIRIM Berhad, Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) DGTA dan CAAM,” ujarnya.

Inisiatif pensijilan melibatkan UPNM dan UPM dengan kerjasama industri WGT dan institusi lain seperti DGTA, CAAM, STRIDE dan SIRIM Berhad.

Kelebihan teknologi

• Mempunyai lebih banyak ciri baharu berbanding dengan peralatan sama yang ada di pasaran.
• Keselamatan pesawat dan kenderaan darat dapat dipertingkatkan.
• Peranti ini boleh digunakan dalam pelbagai keadaan sama ada panas atau sejuk.
• Boleh digunakan memantau pergerakan, kelajuan dan salah laku terutama bagi latihan penerbangan seterusnya boleh juga dijadikan sebagai bahan bukti.
• Dapat mengecilkan kawasan pencarian dan menyelamat berbanding dengan pesawat ACARS (Aircraft Communication Addressing and Reporting System) yang ada sekarang.
• Ciri pelengkap kotak hitam yang berfungsi untuk memberikan kedudukan kemalangan pesawat yang tepat.

Komponen AASTS:

a) Segmen ruang angkasa yang terdiri daripada satelit GNSS dan komunikasi satelit
b) Segmen udara yang terdiri daripada pesawat yang di pasang dengan peranti penjejak bergerak, antena dan aksesori
c) Segmen daratan yang terdiri daripada pelbagai rangkaian telekomunikasi dan sistem internet serta pelayan yang menyediakan data hubungan sebenar kepada pengguna alat peranti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN