Resipi chicken and mushroom pie atau pai ayam dan cendawan adalah sajian masakan Inggeris yang menjadi kesukaan ramai.
Kini ada cara mudah untuk membuatnya dengan menggunakan pastry puff ready made atau kulit pastri segera yang boleh dibeli dari kedai barang kek atau pasaraya.
Boleh cuba perkongsian resipi chicken mushroom pie oleh Nadia Hazieqah Abdul Hapiz ini. Beliau menggunakan kulit pastri segera kerana ia memudahkan kerja. Tidak perlu buat kulit pai. Anda hanya perlu membuat inti ayam dan cendawan sahaja.
Menurut Nadia Hazieqah, sebelum menggunakan kulit pastri segera ini, pastikan anda membiarkannya pada suhu bilik, sebaik sahaja mengeluarkannya dari peti sejuk beku.
Ini bagi memastikan kulit pastri itu kembang terlebih dahulu sebelum digunakan. Jika kulit pastri tidak kembang, pasti pai kurang menjadi dengan eloknya. Selamat mencuba.
Resipi pai ayam dan cendawan
Bahan-bahan:
Kulit pastri segera
2 sudu besar mentega
1 biji bawang Holland – dipotong dadu
3 biji bawang putih – dicincang
2 sudu besar tepung gandum
Sedikit air
5 biji cendawan shiitake
½ batang lobak merah
300 gm isi ayam
Daun parsley
Daun oregano
Serbuk lada hitam
Garam secukup rasa
½ cawan whipping @ cooking cream
½ cawan susu segar
Bahan-bahan untuk sapuan telur (egg wash):
Kuning telur
Susu segar
Cara membuat egg wash:
1-Campurkan kuning telur dan susu segar.
2-Kacau kedua-duanya sehingga jadi sebati.
Cara-cara membuat pai ayam dan cendawan:
1-Cairkan mentega dalam kuali.
2-Tumiskan bawang Holland yang telah dipotong dadu dengan bawang putih yang telah dicincang.
3-Setelah tumisan berwarna keperangan, masukkan tepung gandum dan sedikit air. Kacau seketika.
4-Masukkan pula cendawan shiitake dan lobak merah. Kacau sampai cendawan itu agak masak.
5-Selepas itu masukkan isi ayam, daun parsley, oregano, serbuk lada hitam dan garam secukup rasa.
6-Akhir sekali masukkan whipping atau cooking cream serta susu segar. Kacau seketika dan biarkannya mendidih.
7-Setelah isi pai masak, angkat dan biarkan seketika.
8-Sejukkan terlebih dahulu kulit pastri segera. Canaikan sekeping kulit pastri mengikut ukuran diingini.
9-Selepas itu letakkan kulit pastri itu ke dalam acuan kek cawan aluminium foil.
10-Masukkan isi pai yang telah dimasak tadi ke dalam kulit pastri di dalam acuan kek cawan aluminium foil.
11-Ambil sekeping kulit pastri lagi dan canaikan. Letakkan sebagai penutup atas kulit pastri berisi inti tadi.
12-Tekap bentuk bulat sebagai penutup pai berisi inti ayam itu. Kelimkan dengan garfu pada bahagian tepi kulit pastri agar melekat dengan elok.
13-Kemudian sapukan telur atau egg wash yang diperbuat daripada campuran kuning telur dan susu segar pada kulit pastri yang telah dikelim tadi.
14-Bakar pai ini dalam ketuhar pada suhu 200 darjah lebih kurang 20 hingga 25 minit.
15-Setelah masak, bolehlah keluarkan dari ketuhar dan hidangkan.
Terima kasih: Nadia Hazieqah Abdul Hapiz
Facebook: Nadia Hazieqah Abdul Hapiz / https://www.facebook.com/nadia.hazieqah
https://www.facebook.com/groups/MasakApaHariNiMAHN.my/permalink/3751804245142864










