EMPAT tahun berturut-turut tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelbagai jenis kek sempena bulan kemerdekaan.
Namun situasi suram disebabkan pandemik Covid-19 itu, bukanlah penamat buat pemilik Cakes Valley, Hazwan Najib Mullah Mohd. 33.
Sebaliknya dia bijak mencipta kek bendera comel pada harga promosi RM39.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, katanya dia tetap membuat Kek Merdeka 2021 seperti kelaziman, cumanya dalam skala lebih kecil dan rupa kek yang lebih sederhana.
“Sebelum ini saya buat banyak kek ready stock untuk tempahan pelanggan terdiri daripada sekolah yang menyambut merdeka di sekolah. Ada majlis keraian seperti pertunangan dan hari jadi,” katanya.
Hazwan berkata, kek diterima untuk tempahan tahun ini juga bersaiz kecil atau setingkat sahaja berbanding tahun-tahun lalu yang biasa ditempah oleh pelanggan iaitu kek dua tingkat ke atas dan bersaiz besar.
Lulusan Diploma Seni Bina Landskap, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak ini berkata, kek bertingkat ditempah untuk hari merdeka berharga dalam lingkungan RM200 hingga RM350 bergantung kepada jenis kek.

KEK RM39
Namun, kini dia membuat Kek Merdeka setingkat dengan harga promosi serendah RM39 sahaja.
Kecil tidak bererti cincai, kata Hazwan ia mengambil masa setengah hari untuk menyiapkan kek comel itu kerana aspek ketelitian tidak boleh dipandang sebelah mata.
Teliti dan perfectionist dalam menghasilkan sebiji kek, beliau pernah diberikan kepercayaan membuat kek untuk usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa; penyanyi, Dia Fadila; pelakon dan pelawak, Enot serta influencer, Nizam Rahman.
Bercerita mengenai pembabitannya dalam dunia seni pembuatan kek, Hazwan berkata ia hanya dilakukan secara suka-suka, namun kemudian timbul minat selepas tertarik melihat kek yang dihasilkan oleh seorang baker di Instagram @bakedinchelsea.
Tamat belajar pada 2009, Hazwan mula membuat cup-cake semasa bekerja di Muar, Johor. Detik mula minatnya terhadap kek timbul pada 2015 selepas kagum melihat baker di instagram
@bakedinchelsea.
Selepas tiga tahun menceburi bidang ini, barulah Hazwan ke kelas pada 2019 untuk memantapkan lagi kemahiran dalam seni pembuatan kek secara profesional.
“Saya tidak menyangka daripada seni bina landskap kepada seni ‘bina’ atau melakar seni di atas kek. Bagi saya, kedua-dua bidang ini mempunyai kaitan dalam rekaan.
“Kerana minat dalam bidang rekaan terutama mencipta sesuatu, saya gunakan kemahiran yang ada dipersembahkan pada kek walaupun bukan bidang sebenar yang saya pelajari,” katanya.











