Harus amal wirid bukan daripada nabi - Utusan Malaysia

Harus amal wirid bukan daripada nabi

Umat Islam di negara ini mengamalkan wirid selepas solat yang diajar oleh Nabi SAW dan juga yang disusun oleh para ulama bersumberkan al-Quran dan hadis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada edisi yang lalu dibahas tentang amalan umat Islam dengan Selawat Tafrijiyyah. Kali ini, penulis ingin menerangkan tentang pentingnya umat Islam memiliki amalan zikir harian yang dilazimi secara istiqamah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sedihnya kerana masih ada yang berasa pelik dengan wirid-wirid tertentu yang sudah diamalkan ulama Islam sejak berzaman bahkan terkenal seantero dunia.

Para ulama telah menyusun wirid-wirid terkenal sehingga hari ini semisal Hizb al-Nawawi yang disusun oleh Imam al-Nawawi (w. 676H/1277M), Hizb al-Bahr, Hizb al-Barr, Hizb al-Nasar yang disusun oleh Sheikh Abu al-Hasan al-Shadhili (w. 656H/1258M).

Ratib al-Haddad yang disusun oleh Qutb al-Irshad Habib Abdullah al-Haddad (w. 1132H/1720M), Ratib al-Attas susunan Habib Umar bin Abd al-Rahman al-Attas (w. 1072H/1661M). Ada juga yang menyusun selawat sebagai amalan harian seperti Dalail al-Khayrat karangan al-Sharif Muhammad bin Sulayman al-Juzuli (w. 870H/1465M).

Lebih istimewa, sebuah wirid berjudul al-Awrad al-Qushashiyyah atau al-Awrad al-Madaniyyah susunan Sheikh Ahmad al-Qushashi (w. 1071H) guru Sheikh Abd al-Rauf al-Singkel (w. 1105H/1693M) dan dimasyhurkan oleh al-Singkel di Alam Melayu.

Ia mengandungi pelbagai zikir diambil daripada beberapa ayat al-Quran dan hadis. Zikir inilah yang dibaca setiap habis solat fardu lima waktu di masjid-masjid di Malaysia secara beramai-ramai.

Kitab wirid ini pernah ditahkik dan dicetak oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Negeri Sembilan pada tahun 2005.

Bahkan amalan berwirid beramai-ramai selepas solat juga telah dijelaskan sumbernya oleh Sheikh Abd al-Rauf al-Singkel.

Salah satunya ialah hadis yang bermaksud: Jika kamu melalui taman-taman syurga, maka hendaklah kamu mengambil nikmat daripadanya. Mereka bertanya: Apakah itu taman-taman syurga itu? Baginda menjawab: halaqah-halaqah zikir. (Sunan al-Tirmidzi).

Pertikaian mengamalkan wirid-wirid ini timbul daripada pemikiran apa sahaja amalan yang tidak ditemui sumber yang 100 peratus daripada al-Quran dan sunnah dianggap bidaah dan sesat. Walhal, ulama sejak berzaman tidak memandang sedemikian.

Imam Ibn Allan (w. 1057H/1647M) menukilkan dari Imam al-Nawawi bahawa berzikir dengan zikir-zikir yang ma’thur (diriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW) adalah afdal, sedangkan mengamalkan wirid-wirid ulama adalah tidak mengapa. (al-Futuhat al-Rabbaniyyah: 1/17).

Tidakkah mereka tahu bahawa wirid-wirid yang disusun ulama ini semuanya bersumberkan al-Quran dan sunnah sama ada yang bersifat umum atau khusus?

Setelah itu ia disusun oleh ulama mengikut keadaan dan tujuan wirid tersebut. Misalnya Hizb al-Nasar bertujuan memohon keamanan daripada Allah daripada musibah ataupun kesusahan yang menimpa seseorang.

Maka ia disusun berdasarkan ayat-ayat yang bersifat pertolongan yang dilihat sebagai rahsia daripada ayat-ayat yang dibaca.

Ada pula yang mempertikaikan wujudnya ayat-ayat awal surah seperti KafHa’Ya’AinSad yang tidak diketahui maknanya. Maka membacanya di dalam amalan harian membawa kepada bidaah.

Bagi menjawab persoalan ini, Sheikh Ahmad Zarrouq (w. 899H/1493M) menjelaskan, perbezaan pendapat ulama tentangnya:
1. Tiada yang mengetahui maknanya melainkan Allah, dan menurut Ibn al-Subki sebahagian para wali Allah mendapatkan rahsianya;
2. Nama Allah;
3. Rumus yang mengandung isi penting daripada surah tersebut.

Apapun ia adalah ayat al-Quran yang jika dibaca mendapatkan pahala. (Mafatih al-Izz wa al-Nasr: 81-84).

Buku yang membahas amalan Ratib al-Haddad yang amat masyhur di Alam Melayu sejak berzaman. Ia diamalkan oleh golongan bangsawan, ulama dan marhaen.

Bahkan seumpama kita celik dengan fatwa dan hukum-hakam yang diberikan ulama, maka amat banyak pendapat ulama yang mengharuskan beramal dengan amalan harian seperti di atas.

Salah seorangnya ialah Sheikh al-Azhar, Prof. Dr. Abd al-Halim Mahmud (w. 1978M) yang menjelaskan di dalam fatwanya tentang keharusan berzikir dengan wirid ulama yang tidak diriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW.

Beliau mengemukakan beberapa hadis yang menceritakan bagaimana ada lelaki yang duduk di hadapan Rasulullah SAW memuji Allah SWT dengan pujian yang belum pernah dilakukan oleh baginda SAW (Fatawa: 1/337).

Salah seorang ulama besar dalam dunia haraki, al-Imam al-Shahid Hasan al-Banaa (w. 1946M), pengasas parti Ikhwan Muslimin di Mesir juga menyusun buku wiridnya yang diberi nama al-Ma’thurat.

Nama tersebut diberi kerana ia mengandung zikir-zikir dan doa yang diriwayatkan dalam pelbagai hadis Nabi SAW.

Oleh sebab itu, wirid beliau menjadi terkenal sehinggakan di Malaysia, banyak institusi mengamalkannya sebagai zikir harian.

Akan tetapi, kalau dibandingkan dengan Ratib al-Haddad dan Ratib al-Attas, sebenarnya al-Ma’thurat tidak jauh bezanya dengan kedua-dua wirid ini.

Ini kerana Ratib al-Haddad dan Ratib al-Attas juga bersumberkan nas-nas syarak seperti yang disebutkan oleh Habib Alawi Ahmad al-Haddad cicit kepada Habib Abdullah al-Haddad, penyusun Ratib al-Haddad.

Ia dikukuhkan dengan kajian Ustaz Abdul Razak Abdul Rahman yang menyeluruh. Hampir semua wirid ini terdapat kitab-kitab yang mensyarahi maksud penyusun dan sumber zikir tersebut.

Kesimpulannya, al-Ma’thurat boleh diterima, mengapa tidak Ratib al-Haddad? Sedangkan Ratib al-Haddad jauh lebih tua daripada al-Ma’thurat.

  • Dr. Ayman al-Akiti, Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, UIAM & Felo Kehormat IKIM
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN