Didik anak bangsa cinta negara - Utusan Malaysia

Didik anak bangsa cinta negara

PELAN Perpaduan Keluarga Malaysia antara lain diharapkan dapat melahirkan rakyat yang membudayakan perpaduan untuk mengukuhkan ekosistem perpaduan negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AR-RAUDHAH

Adalah penting bagi setiap anak bangsa mencintai dan memberi perhatian dalam membangun dan memajukan negara. Memiliki sifat patriotik adalah satu kebanggaan bagi anak bangsa untuk membela dan melindungi negara daripada kerosakan.

Dalam sambutan Hari Malaysia tahun ini, amat perlu bagi kita sebagai anak bangsa memberi perhatian yang mendalam demi menjaga nilai-nila keharmonian dan kekeluargaan di antara rakyat Malaysia.

Negara adalah gabungan rakyat, wilayah bersempadan dan kerajaan yang memiliki undang-undang dan sistem pemerintahan yang dipelihara.

Tidak dinamakan negara jika tiada undang-undang atau tapak untuk di tinggal dan juga penduduk.

Pada umumnya dasar kecintaan negara ialah sangat penting oleh kerana kita dibesarkan di wilayah itu dan telah mengambil kebaikan iaitu keperluan hidup.

Tidak lupa keamanan dan keperluan pokok yang kita nikmati di wilayah yang kita tinggal juga bahagian penting yang menjadi sebab utama kecintaan pada negara.

Oleh sebab itu, menjadi tanggung jawab bersama untuk menjaga kestabilan dan keharmonian untuk hidup berkeluarga di dalam negara.

Dalam Rukun Negara disebut: “Kepercayaan kepada Tuhan” yang menjelaskan konsep ketuhanan atau beriman kepada Allah SWT.

Islam sebagai agama bagi negara ini wajib dijaga kesuciannya agar tidak ada mana-mana pihak yang berusaha meruntuhkan negara dengan mengganggu sensitiviti agama.

Di samping itu agama lain bebas diamalkan oleh penganutnya. Keharmonian dalam kepelbagaian ialah dasar penting kerukunan hidup dalam negara.

Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (al An’am: 108)

Dengan dasar kepercayaan kepada Tuhan inilah yang menjadi Rukun Negara. Umat Islam wajib menunaikan kewajipan dan tanggungjawabnya dalam membangunkan negara.

Negara akan membangun dan maju apabila ada keamanan di dalamnya. Di dalam al-Quran Allah SWT menceritakan permintaan Nabi Ibrahim a.s untuk kota Mekah: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. (al-Baqarah: 126)

Ada dua permintaan dalam ayat ini iaitu aman dan tanah yang subur yakni sumber ekonomi. Di antara faktor-faktor yang dapat menghilangkan keamanan ialah fanatik perkauman yang melampau.

Di saat terjadi perselisihan antara Abu Dzar Al Ghifari dan Bilal bin Abi Rabah, Abu dzar berkata: Wahai anak wanita berkulit hitam? Maka Rasulullah SAW menegurnya dan bersabda: Adakah kamu menghinanya dengan merendahkan keturunan ibunya? Sesungguhnya engkau memiliki perangai orang jahiliah”.

Tidaklah salah seseorang itu berbangsa atau berketurunan tertentu, namun apabila ia menjadi neraca bagi mengukur mulia atau rendahnya seseorang maka akan menyebabkan hubungan masyarakat yang tidak harmoni.

Di antara kewajipan terhadap negara ialah memberi sumbangan dalam memajukan negara dengan kepakaran yang dimiliki.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan (setelah mendengar pengakuan perempuan-perempuan itu), raja berkata: “Bawalah Yusuf kepadaku, aku hendak menjadikan dia orang yang khas untuk aku bermesyuarat dengannya. Setelah (Yusuf dibawa mengadap, dan raja) berkata-kata dengannya (serta mengetahui kebijaksanaannya) berkatalah raja kepadanya: “Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf), seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai di kalangan kami”. Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”. (Yusuf: 54)

Nabi Yusuf a.s bukan lahir di Mesir tetapi tinggal di negara itu. Maka baginda menawarkan dirinya menyumbang untuk negeri mesir dengan kepakaran yang diberi oleh Allah SWT.

Di antara kewajipan terhadap negara iaitu tidak merosakkan aset dan fasiliti yang dimanfaatkan oleh semua pihak dengan salah guna. Allah SWT memberi contoh manusia di sebuah negeri yang salah guna nikmat yang diberi, maka Allah turunkan azab untuk mereka.

Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan. (an-Nahl: 112)

Di antara kewajipan bernegara ialah teguran yang membangun bukan menjatuhkan. Ini termasuk teguran terhadap rakyat atau pemimpin. Rasulullah SAW bersabda: Agama ini nasihat. Kami (para sahabat berkata: untuk siapa?) Baginda SAW bersabda: untuk Allah dan Rasul-Nya, untuk kitab-kitab-Nya dan untuk pemimpin kaum muslimin dan seluruh kalangan orang awam. (Riwayat Muslim)

Cukup menjadi contoh teguran kepada pemimpin di saat Nabi Musa dan Nabi Harun a.s diperintah oleh Allah untuk menegur Firaun dengan kata-kata yang lemah lembut.

  • Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×