Seni itu infiniti. Kalau tidak berkaryapun, mengumpulkan hasil seni orang lain turut dibaratkan memiliki jiwa seni.
Buktinya, Salehuddin Nor Azman, 38, sanggup berhabis hampir RM200,000 semata-mata melahirkan impian mengangkat karya lawak tempatan.
Lebih membanggakan, Salehuddin adalah satu-satunya pengumpul majalah Ujang yang memiliki set lengkap daripada keluaran pertama hingga 505 (edisi terakhir) termasuk koleksi keluaran peribadi kartunis yang sukar didapati.
Beliau mengumpul majalah Ujang ini sejak dikeluarkan pada 1994 ketika berada di bangku sekolah kerana minat menjadikannya sebagai bahan bacaan malah menganggap karya yang dihasilkan kartunis terkenal tanah air begitu unik.
“Saya mula mengumpul majalah Ujang bersama abang sejak zaman 90-an ketika itu darjah 5. Saya begitu tertarik kerana majalah ini sangat bermakna dan mempunyai nilai sentimental yang tinggi.
“Lawak yang dilontarkan juga membuatkan kita berfikir dan detail lukisan yang dihasilkan kartunis begitu unik dan hidup,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain kartunis Ujang, beliau turut meminati karya Gayour, Sukun dan Allahyarham Aie.

KOLEKSI ANTARABANGSA
Tambah bapa seorang anak itu, koleksi majalah Ujang miliknya pernah musnah dan hilang sekelip mata pada 2014 akibat banjir besar di Temerloh, Pahang.
“Saya bukan sahaja pengumpul majalah Ujang, malah mempunyai pelbagai majalah lawak tempatan dan komik Hong Kong lain yang dikumpul sejak 1992 hingga 2014.
“Namun dalam banjir besar di kampung ketika itu, menyebabkan kesemua koleksi saya habis musnah. Disebabkan minat, saya gagahkan semula untuk mengumpul majalah, buku dan komik yang hilang pada 2015.
“Majalah Ujang pula, saya kumpul dalam tempoh setahun sahaja. Saya berjaya melengkapkan semula majalah Ujang keluaran pertama hingga akhir bermula 2017 hingga September 2018,” katanya yang menyimpan setiap naskhah majalah secara cermat, dibaluti dengan plastik untuk pastikan ia tidak melekat antara satu sama lain.
Selain majalah dan komik, Salehuddin turut mengumpul hasil lukisan kartunis terkenal tanah air.
Berkongsi pengalaman membeli koleksi majalah Ujang, Salehuddin berkata, dia sanggup membeli keluaran pertama dengan harga RM1,100 bagi melengkapkan koleksi yang hilang.
“Nilai majalah Ujang ini sangat tinggi. Bayangkan, satu set keluaran pertama hingga 10 pernah terjual dengan harga lebih RM3,000 manakala koleksi 300 ke bawah sekurang-kurangnya akan dijual pada harga RM20 hingga RM30 senaskhah.
“Keluaran 400 hingga 505 boleh didapati dengan harga lebih murah sekitar RM10 hingga RM15 senaskhah,” katanya.

Salehuddin yang juga ejen hartanah turut berkata, dia memasang impian untuk memiliki galeri sendiri suatu hari nanti supaya dapat memperkenalkan koleksi majalah lawak dan komik yang mana semua orang boleh datang melihat dan membaca terutama generasi baharu.
“Untuk perancangan awal atau permulaan, saya akan berpindah ke Sungai Buloh, Selangor tahun depan dan menjadikan tingkat atas rumah sebagai tempat khas atau galeri kecil yang boleh dikunjungi oleh orang awam dan peminat majalah lawak serta pelbagai komik lain.
“Saya juga mengalu-alukan generasi baharu untuk mengenali majalah lawak tempatan dan lain-lain yang dikeluarkan pada zaman 90-an.
“Saya sedari, hanya ada orang yang seperti saya sahaja dan pengumpul lain yang menjual.
“Malah pembeli pun berusia 30-an yang masih mengumpulkan koleksi seperti ini. Generasi umur 20-an mereka sudah tidak tahu dan tidak berminat,” katanya.











