SEORANG bekas pensyarah Institut Perguruan Ipoh (IPG) Kampus Ipoh di Perak mencipta inovasi baharu dalam pengajaran dan pembelajaran membaca al-Quran menerusi kaedah Haraki iaitu menggunakan teknik Total Physical Response (TPR).
Zakaria Nasirudin, 57, berkata, TPR adalah cara belajar membaca al-Quran menggunakan pergerakan anggota yang biasanya digunakan oleh guru-guru dalam pengajaran bahasa Inggeris. Teknik itu telah digunakan sejak tahun 60-an lagi.
Menurutnya, kaedah Haraki merupakan alternatif dalam membantu mereka yang lemah dalam pembacaan al-Quran dengan menggunakan kaedah yang cepat, mudah dan menarik. Ia bagi melahirkan lebih ramai umat Islam yang celik al-Quran.
Katanya, kaedah itu sesuai untuk mereka yang tidak kenal huruf dan tajwid, lebih cepat, tepat dan mudah.
“Kaedah ini membantu cepat membaca al-Quran secara bertajwid dan belajar tanpa menggunakan Iqra’ seperti mana kebiasaan.
“Saya memperkenalkan kaedah Haraki ini sejak tahun 2015 lagi menerusi seminar namun sejak Covid-19 melanda negara pada Mac tahun lalu, sekarang saya hanya mengadakan kelas dalam talian secara percuma dalam Facebook dan laman rasmi kaedah Haraki-Hq.
“Sambutannya amat menggalakkan malah semakin bertambah terutama daripada golongan dewasa disebabkan beberapa faktor iaitu malu dan masa.
“Biasanya orang dewasa malu untuk belajar mengaji namun jika secara online, tiada siapa yang kenal. Begitu juga dari segi masa, belajar secara online lebih mudah kerana tidak perlu ke kelas malah jika tidak faham, mereka boleh lihat semula di online apa yang telah dipelajari,” katanya.
Menurutnya, kaedah TFR sesuai untuk semua golongan, kanak-kanak dan orang dewasa.
Malah, beliau telah mencuba kaedah TFR kepada kepada Orang Asli iaitu belajar membaca al-Quran menerusi pergerakan badan.
“Orang Asli mudah faham dan mereka dapat membaca al-Quran. Ini satu pendekatan yang mudah.
“Malah saya pernah mengajarkan kaedah ini kepada orang bukan Islam termasuk orang Cina dan India dan ia berkesan apabila mereka pun boleh membaca al-Quran,” katanya.

Menurut Zakaria, kaedah Haraki diilhamkan pada Mac 2013 iaitu ketika beliau cuba mengajar dua pelajarnya di IPG Kampus Ipoh yang baru memeluk agama Islam untuk membaca al-Quran.
Katanya, tanpa disangka menerusi kaedah yang digunakannya itu, dalam tempoh yang singkat iaitu menerusi bimbingan sejam sehari selama tujuh hari, kedua-dua pelajarnya itu boleh membaca al-Quran.
“Dari situ saya sedar kaedah yang saya gunakan berkesan untuk membantu belajar membaca al-Quran.
“Kaedah ini saya bawa dalam Pertandingan Inovasi Peringkat Negeri Perak 2013 sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri.
“Saya menang Anugerah Guru Inovatif Negeri Perak 2013. Selepas itu saya menyertai pelbagai pertandingan termasuk di peringkat antarabangsa yang diadakan di Malaysia dan berjaya meraih beberapa kemenangan,” katanya.
Bersara awal mahu tumpu ajar al-Quran
Menurutnya, kerana mahu mengembangkan kaedah Haraki atas niat mahu lebih ramai masyarakat celik al-Quran, dia akhirnya membuat keputusan bersara awal dan berhenti sebagai pensyarah di IPG Kampus Ipoh pada tahun 2015.
Katanya, setelah bersara, beliau dapat bergerak lebih bebas untuk mengembangkan kaedah Haraki.
“Saya rasakan kepuasan kerana dapat mengajarkan teknik ini sehingga seluruh Nusantara, dapat bergerak bebas, berkongsi pengalaman dengan masyarakat, dengan agensi dengan jabatan, inilah kepuasan sebenar,” katanya.

Mengenai cabaran, Zakaria berkata, saat paling mencabar ialah ketika awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 lebih setahun lalu apabila kelas dan seminar tidak dapat diadakan.
Katanya, apatah lagi dia mempunyai 20 kakitangan untuk dibayar gaji.
“Kalau dulu semasa makan gaji, saya hanya tunggu gaji setiap bulan, tapi apabila saya bergerak sendiri, saya kena pastikan pekerja ada gaji.
“Dulu saya buat road show, seminar namun disebabkan PKP, tiba-tiba semuanya dihentikan.
“Namun saya berjaya atasi semua itu demi mengembangkan kaedah ini agar ramai lagi yang celik al-Quran,” katanya.
Antara pengalaman paling berharga sepanjang memperkenalkan kaedah Haraki ialah ketika beliau membantu seorang pelajar perempuan Orang Asli dapat membaca al-Quran dengan baik dalam tempoh yang singkat.
“Pelajar itu kini menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar saya. Dia juga kini mengajar Orang Asli membaca al-Quran.
“Dia mengajar dalam bahasa Temiar, cara itu lebih berkesan buat masyarakat Orang Asli dari kaum Temiar, inilah kepuasan buat saya,” katanya.
Orang ramai yang mahukan maklumat lanjut mengenai kaedah Haraki boleh menghubungi Zakaria di 010-3425467.










