KEDAULATAN Negara Tanggungjawab Bersama’ yang menjadi tema Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-88 tahun ini memberi satu pengertian luas bukan sahaja dalam kalangan perajurit tetapi kepada semua generasi masa kini.
Justeru tarikh 16 September begitu sinonim dengan sambutan Hari Malaysia dan Hari ATM memberi pengertian besar kepada seluruh rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi ia disambut serentak.
Persoalannya berapa ramai rakyat di negara ini mengetahui ATM turut meraikan hari ulang tahunnya pada tarikh tersebut ?
Selain daripada generasi zaman merdeka, adakah generasi masa kini mengetahui peranan anggota tentera kita dalam mencapai kemerdekaan?
Berapa ramai di antara kita menjiwai kemerdekaan hari ini dengan penuh kesyukuran, paling tidak pun rasa rasa bangga?
Menyedari perkara tersebut, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, ini antara faktor tema sambutan dikekalkan dengan harapan generasi masa kini turut merasai kepayahan memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.
“Dengan cara ini, kita semua akan lebih menghayati erti kemerdekaan serta mendalami pengorbanan para perwira dan perajurit ATM terdahulu bagi mendapatkan kemerdekaan buat kita pada hari ini.
“Semoga pengorbanan mereka ini mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah SWT,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Mengulas berkaitan ancaman zaman moden, Affendi berkata, keadaan kini berbeza dan perlu bergerak seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dalam setiap perkara.
“Namun, di dalam konteks keselamatan negara, kita tidak boleh leka kerana IR4.0 ini boleh dimanipulasikan untuk menyokong serangan fizikal mahupun mencapai objektif tertentu secara langsung.
“Inilah gaya peperangan terkini yang dikenali dengan Peperangan Hibrid dan ia telah pun berlaku sejak tahun 2006. Sehubungan itu, kesepaduan antara rakyat dan kerajaan perlu dimantapkan agar tindakan keselamatan menyeluruh yang berpaksikan konsep Whole of Government and Whole of Society dapat dilaksanakan bagi mengekang ancaman sebegini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Affendi berkata, ATM komited mengatur gerak anggota dan asetnya pada setiap masa ketika ancaman Covid-19 berlaku termasuk dalam negara.
“Biarpun terdedah kepada risiko dijangkiti, ia tidak sedikit pun melemahkan semangat warga ATM untuk terus bertugas di barisan hadapan kerana inilah yang dikatakan pengorbanan.
“Oleh itu, kesepakatan seluruh rakyat diperlukan untuk mencapai imuniti kelompok agar agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat direalisasikan,” jelasnya.
Affendi turut memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba memberi ancaman kepada negara terutama tekong dan juga tali barut yang cuba membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Hentikan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan kerana petugas Op Benteng akan terus mengekang aktiviti tidak bermaruah ini,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Affendi berkata, kesiapsiagaan ATM akan diperkasa berpandukan Kertas Putih Pertahanan (KPP) dengan berpegang kepada empat teras utama seperti yang ditegaskan di dalam perintah ulungnya sebelum ini.
Empat teras itu adalah Memperkasakan Kesiagaan Aset ATM; Memperkasa Warga ATM Yang Cemerlang; Mengukuhkan Keupayaan ATM dalam Domain Siber dan Menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan.
“Pada tahap operasi dan taktikal pula, aspek man, machine, method and mates menjadi asas bagi warga ATM agar tahap kesedaran, kompetensi serta kebersamaan sepasukan menjadi lebih mampan.
“Dengan kombinasi bersepadu ini, matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur akan dapat dicapai,” katanya.
Selain kesiapsiagaan ATM, Affendi berkata, keutamaan akan turut diberi bagi meningkatkan martabat anggota dan para veteran ATM yang berada di takuk lama termasuk aspek kebajikan warganya akan dititik beratkan.
Antara yang terkini adalah kajian berkaitan skim perkhidmatan anggota sedang dilaksanakan iaitu melihat semula kadar pemberian pencen yang berpatutan kepada anggota yang berkhidmat selama 12, 15 dan 18 tahun.
“Pada masa sama, Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) turut mengadakan inisiatif bagi memperkasa para isteri warga ATM. Mereka ini diberi peluang meningkatkan kemahiran kursus keusahawanan secara digital melalui Program Transformasi Digital Bakat atau e-BAKAT.
“Dengan ini, para isteri berpeluang menjana pendapatan tambahan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup keluarga. Kebajikan semasa ini penting dalam memastikan warga ATM sentiasa bermotivasi dan pada masa sama sebagai persediaan bagi menghadapi cabaran kehidupan di dunia luar kelak,” ujarnya.
PROSES PERALIHAN
Tambah Affendi, warga ATM turut berdepan cabaran menerusi proses peralihan daripada dunia ketenteraan kepada awam.
Katanya, ini kerana bakal pesara berpotensi terjerumus ke dalam golongan berpendapatan rendah (B40) jika hanya mengharapkan wang pencen sebagai pendapatan utama setelah bersara kelak.
Untuk itu, beliau berkata, beberapa inisiatif diwujudkan dengan kerjasama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).
Antaranya Program Recognition of Prior Experiental Learning (RPEL), kursus-kursus peralihan yang melayakkan mereka memperolehi sijil yang diiktiraf oleh sektor awam dan swasta serta beberapa program kesedaran yang dapat memberi kelangsungan dan kebolehpasaran mereka.
“Selain itu, mereka juga diingatkan untuk berjimat dan menggunakan wang gratuiti yang bakal diterima dengan penuh manfaat,” katanya.
Di samping aspek persaraan dan kebajikan warga ATM, Affendi turut memberi fokus untuk mengubah nasib para veteran yang rata-rata terpaksa hidup di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) sehingga terpaksa bergantung harap kepada sumbangan kerajaan dan ehsan orang ramai.
“Ketika ini Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) telah menyediakan sebanyak lima skim bantuan khusus kepada para veteran dan juga beberapa bantuan lain seperti elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia; Tabung Zakat Yayasan Veteran ATM dan juga sumbangan Tabung Pahlawan.

“Dalam masa sama, beberapa inisiatif baru turut dikaji yang antaranya adalah Program Kerjaya Kedua dan Program Keistimewaan yang akan melibatkan kerjasama para majikan di seluruh Malaysia.
“Jika kedua-dua program ini berjaya direalisasikan, taraf sosioekonomi para veteran akan meningkat sekali gus mampu memperkasakan kualiti kehidupan yang sekian lama ditagih mereka,” tegasnya.
Bersempena sambutan Hari ATM ke-88 ini, Affendi berharap, kerjasama semua pihak bagi menjaga kedaulatan negara selari dengan tema sambutan iaitu ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’.
“Saya ingin mengajak seluruh rakyat untuk sama-sama berganding bahu mencurahkan keringat dalam terus mempertahankan pertiwi tercinta ini. Inilah caranya untuk kita menghayati pengorbanan para perwira dan perajurit terdahulu.
“Semoga di kemudian harinya, pengorbanan yang kita lakukan pada hari ini akan turut dikenang dan dihargai oleh generasi-generasi yang akan datang.
“Akhir kata, syabas buat seluruh warga ATM dan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong keabsahan ATM sebagai benteng utama pertahanan negara. Selamat Hari ATM ke-88,” jelasnya.











